Tuesday, September 13, 2011

Kita Ibarat Bulan

Belakangan ini saya putus kata.

"Memerhati lebih nikmat dan asyik" [pada hemat saya]

Sebab musabab? Tidak pula saya pasti. Oh, mungkin faktor-faktor luaran menjadikan saya agak pasif melontar kata di ruang ini. [usah menuding jari ya!]

Namun tak bermakna ruang ini akan terbiar sepi.

"Berkongsi sehabis mungkin!", kata-kata rangsangan yang menyebabkan neuron saya kembali aktif. Jika bukan lontaran ideaku, pandangan orang lain juga bermanfaat. Terima kasih Bro Azree Hanafiah!

Selamat menjamu hidangan minda. Membaca dengan mata diri, juga mata hati.


Kita Ibarat Bulan

Setiap orang ibarat bulan, memiliki sisi kelam yang tidak pernah ingin dia tunjukkan pada sesiapa. Tetapi cukuplah bagi kita memandang sejuknya permukaan bulan pada sisinya yang ingin ditunjukkan keindahannya.


Begitulah setiap dari kita tidak lari daripada membuat kesilapan. Tidak kira dia, saudara dan juga saya. Malah ada beberapa perkara yang memalukan tentang diri kita yang ingin kita rahsiakan daripada orang lain.
Umpama bulan pada waktu malam yang kita lihat hanyalah bahagian yang terang dan cantik sahaja. Tetapi jika dikaji betul-betul menggunakan satelit atau apa sahaja baru kita nampak adanya bahagian kelamnya. 
Sama halnya dengan manusia, sahabat atau orang yang rapat dengan kita. Kalau kita cari kekurangannya, memang akan ditemuilah kekurangannya. Tetapi apabila kita melihat kepada kebaikannya, hubungan itu akan jauh lebih rapat.
.
Hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya

Apabila kita asyik mencari kesalahan orang lain, itu bererti kita tidak cuba hidup untuk memberi. Sebaliknya kita lebih suka menerima – menunggu orang lain buat sesuatu dan kita hanya mengambilnya sahaja.

“Kenapalah design si Aman itu buruk sangat? Harap pandai sahaja guna software Adobe Photoshop tetapi design buruk.”

Melalui dialog di atas kita dapat kenal pasti kelebihan dan kekurangan Aman. Kelebihannya adalah dia pandai menggunakan software untuk kerja-kerja design. Kekurangannya pula dia tidak berapa kreatif dalam design sesuatu kerja.

Sekiranya kita hanya menunggu dia menyiapkan design yang terlawa untuk kita, harapnya memang lambatlah siap kerja. Sebab kita sendiri sudah tahu yang Aman itu tidak kreatif orangnya. Jadi apa kata kita yang kreatif dan banyak idea ini menyumbangkan beberapa idea kepada Aman untuk dia designkan.

Jangankan satu design yang dapat Aman itu siapkan, malah mungkin lebih.

Rugi apabila mencari kelemahan orang lain

Kadang kita tidak sedar kita mencari kekurangan seseorang itu. Atau kadang kita tidak cuba langsung mencari kelebihannya, terus sahaja kita serkap jarang kata orang itu tidak boleh buat itu dan ini.

Contoh apabila kita tengok ada seorang lelaki pakai seluar jean dengan rambut tidak bersikat. Terus dalam kepala kita terfikir, betulkah dia ini boleh buat kerja dengan baik?

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sekiranya kita fokus kepada kepada kelebihannya, kita akan dapat mengoptimumkan kelebihan orang tersebut. Sekiranya kita fokus kepada kelemahannya, yang kita dapat adalah masa yang terbuang untuk memperbaiki kelemahan orang tersebut.

“Apabila kita terlalu memikirkan sebab-sebab untuk menyelesaikan sesuatu masalah, maka kita kerugian dua perkara. Pertama masa dan kedua wang,” kata Puan Ainon Mohd kepada saya.

Katanya lagi, “Apabila kita memikirkan punca sesuatu masalah tersebut berlaku, otak kita akan berfikir ke belakang. Berbeza dengan kita terus mencari kelebihan sesuatu perkara tersebut. Apabila kita memikirkan apa yang boleh dibuat dengan kelebihan yang ada pada sesuatu perkara itu, otak kita akan berfikir ke depan.”

Cara berfikir mencari punca atau kekurangan sesuatu perkara itu lebih sesuai dalam proses maintenance. Contohnya bangunan itu sudah siap kukuh. Jadi, perkara yang tinggal adalah hendak maintain bangunan tersebut dengan baik sahaja. Pada ketika itu barulah kita menggunakan cara berfikir mencari punca-punca masalah yang berlaku.

Dan ingatlah kita pun ada kelemahan sendiri. Sekiranya kita adalah bos dan asyik mencari kekurangan pekerja. Di belakang kita, pekerja pula yang akan bergosip sakan tentang kelemahan kita.

Setiap orang adalah aset

Dalam sesebuah organisasi, setiap orang adalah aset. Kalau kita tidak menggunakan aset-aset itu sebaik mungkin, ia hanya akan menjadi satu bebanan sahaja kepada kita. Lebih-lebih lagi sekiranya kita berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan ahli dalam organisasi tersebut. Lagi terbeban kepala dibuatnya.

Sebaliknya kita lihat pada keistimewaan mereka dan gunakan keistimewaan yang mereka ada sebaiknya. Apa yang kita hendak, kita pun dapat. Hati pun gembira.

Hidup bermasyarakat umpama hidup dalam sebuah organisasi besar. Hiduplah dengan melihat kelebihan dan keistimewaan setiap orang di sekeliling kita.

No comments: