Tuesday, May 24, 2011

Cerita Dihya Al-Kalbi ra.

                    Bazzar telah memberitakan dari Dihyah Al-Kalbi ra. katanya: Aku telah diutus oleh Rasulullah SAW dengan membawa sepucuk surat kepada Kaisar, Pembesar Romawi. Bila aku tiba di negerinya, aku terus mendatanginya, lalu aku serahkan surat itu kepadanya, sedang di sampingnya keponakannya yang berkulit merah, dan berambut lurus. Dia pun membaca surat itu yang berbunyi (Nas surat menyurat itu tersebut di dalam Al-Bidayah Wan-Nihayah 3:83)

                    Dari Muhammad Utusan Allah, kepada Heraklius, Pembesar Romawi. Mendengar bunyi surat itu, keponakan Pembesar Romawi mulai marah, lalu menyanggah:
"Surat ini tidak boleh dibaca sekarang!" dia menyeringai. "Kenapa?" tanya Kaisar. "Dia memulai dengan namanya dulu sebelum engkau. Kemudian dia memanggilmu dengan pembesar Rom, bukan Maharaja Rom!". "Tidak", sambut Kaisar, "biar surat ini dibaca untuk diketahui isinya". Surat Nabi SAW itu terus dibacakan hingga selesai, dan setelah semua pengiring-pengiring Kaisar keluar dari majelisnya, aku pun dipanggil untuk masuk. Bersamaan dengan itu dipanggilkan Uskup yang mengetahui seluk-beluk agama mereka. Kaisar lalu memberitahu Uskup itu, dan dibacakan sekali lagi surat itu kepadanya. "Inilah yang selalu kita tunggu-tunggu, dan Nabi kita Isa sendiri telah memberitahukan kita lama dulu!" jawab Uskup itu kepada Kaisar. "Apa pendapatmu yang harus aku buat?" tanya Kaisar kepada Uskup. "Kalau engkau tanya pendapatku, aku tentu akan mempercayainya dan akan mengikut ajarannya", jawab Uskup dengan jujur. "Tetapi aku jadi serba salah", kata Kaisar, "jika aku ikut nasihatmu, akan hilanglah kerajaanku!".

                  Kami pun keluar meninggalkan tempat itu. Dan kebetulan sekali, waktu itu, Abu Sufyan bin Harb sedang berada di Rom. Abu Sufyan dipanggil oleh Kaisar ke istananya dan ditanyakan tentang diri Muhammad SAW itu. "Coba engkau beritahu kami tentang orang yang mengaku Nabi di negerimu itu?" tanya Kaisar. "Dia seorang anak muda", jawab Abu Sufyan. "Bagaimana kedudukannya dalam pandangan masyarakat kamu, dia mulia?". "Tentang kedudukannya dan keturunannya, memang tiada siapa yang melebihi kedudukan dan keturunannya!" jawab Abu Sufyan jujur. "Ini tentulah tanda-tandanya kenabian", Kaisar berbisik-bisik kepada orang-orang yang di sampingnya. "Bagaimana bicaranya, adakah dia selalu berkata benar?" "Benar", jawab Abu Sufyan, "dia memang tidak pemah berkata dusta". "Ini lagi satu tanda-tandanya kenabian!" Kaisar terus berbisik-bisik kepada orang-orang yang mengiringnya itu. "Baiklah", kata Kaisar lagi. "Orang yang rnengikutnya dari rakyatmu itu, adakah dia meninggalkan agamanya, lalu kembali semula kepadamu?" "Tidak", jawab Abu Sufyan. "Ini lagi satu tanda-tandanya kenabian!" kata Kaisar pula. "Adakah terjadi peperangan di antara kamu dengannya?" "Ada!" jawab Abu Sufyan. "Siapa yang
selalu menang?" "Kadang-kadang dia mengalahkan kita, dan kadang-kadang kita mengalahkannya", jelas Abu Sufyan. "Ini lagi satu tanda-tanda kenabian!" kata Kaisar Romawi itu.

                    Berkata Dihyah Al-Kalbi ra. seterusnya: Maka aku pun dipanggil oleh Kaisar Romawi itu, seraya dia berkata kepadaku: "Sampaikanlah berita kepada pembesarmu itu, bahwa aku tahu dia memang benar Nabi", dia menunjukkan muka yang sungguh benar dalam kata-katanya. "Tetapi apa daya", katanya lagi, "aku tak dapat buat apa-apa, kerana aku tidak bersedia ditumbangkan dari kerajaanku!"

                  Kata Dihyah Al-Kalbi ra. yang menghayati semua peristiwa ini: Adapun sang Uskup itu pula, maka ramailah orang yang datang ke gerejanya setiap hari Ahad. Dia terus menemui mereka dan menyampaikan semua ajaran Nasrani itu. Memang itulah kerjanya setiap hari Ahad. Tetapi apabila tiba hari Ahad sesudah pertemuan itu, dia terus berdiam di rumahnya, tiada mau keluar seperti biasanya. Sesudah perkenalan hari pertama, memang aku sering datang kepadanya untuk berbicara mengenai agama Islam, dan dia terus-menerus menanyakanku tentang Nabi SAW. Ahad berikutnya, Uskup itu terus berdiam diri, dan orang ramai merasa kecewa menunggu, namun dia tidak datang juga. Maka datanglah orang ke rumahnya menanyakan kabar, maka dia minta diuzurkan kerana sakit. Hal serupa ini berlangsung sehingga berkali-kali, sehingga orang mencurigainya. Mereka lalu mengirim utusan kepada Uskup itu, memberikan peringatan kepadanya, jika tidak mau datang juga ke gereja untuk menyampaikan ajarannya, maka mereka akan datang beramai-ramai ke rumahnya dan akan membunuhnya, kerana mereka telah menyangka, bahwa sejak datangnya si orang Arab itu ke Rum, sikap Uskup telah banyak berubah. Uskup Romawi itu pun memanggilku datang ke rumahnya. "Ini suratku, ambillah dan serahkan kepada pembesarmu itu", pesan Uskup itu dengan hati yang tidak tenang. "Sampaikan salamku kepadanya, dan beritahukan bahwa aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah, dan babwasanya Muhammad itu adalah Utusan Allah. Katakan juga, bahwa aku beriman dengannya, mempercayainya, dan menjadi pengikutnya. Dan kaumku telah mengingkari semua kata-kata dan nasihatku, kemudian engkau ceritakanlah pula apa yang engkau saksikan itu", pesan Uskup itu kepadaku. Apabila Uskup itu enggan datang ke gereja lagi, mereka marah, lalu mereka membunuhnya.
(Al-Haitsami: Majma'uz-Zawa'id 8:236-237. Abu Nu'Alm pula meriwayatkan cerita yang sama, tetapi ringkas, dalam Dalaa'ilun-Nubuwah, hal. 121.)


                 Abdan memberitakan dari Ibnu Ishak yang menukil dari beberapa orang yang mengetahui peristiwa ini, katanya bahwa Heraklius berkata kepada Dihyah Al-Kalbi ra. "Celaka engkau, memang demi Allah, aku tahu bahwa pembesarmu itu adalah Nabi yang diutus, dan dialah orang yang kita tunggu selama ini, dan sifatnya tersebut di dalam kitab kami. Akan tetapi, apa daya, aku bimbang aku akan ditumbangkan dari kerajaanku. Kalau tidak kerana itu, tentu aku akan mengikutnya. Coba engkau pergi kepada Uskup kami dan jelaskan tentang perkara pembesarmu itu, kerana Uskup itu lebih dihormati orang dari hal agama dan bicaranya tentu lebih diterima!". Maka Dihyah pun mendapatkan Uskup itu dan menceritakan berita yang dibawanya itu, maka setelah didengar semua berita itu, Uskup itu berkata: "Pembesarmu itu, demi Allah, adalah seorang Nabi yang diutus, kami mengetahuinya dengan sifat-sifatnya dan namanya! Uskup itu lalu melepaskan pakaian gerejanya, dan menukarnya dengan pakaian serba putih. Dia pun keluar di khalayak ramai sambil mengisytiharkan penyaksiannya menjadi Islam. Orang ramai pun mengerumuninya dan membunuhnya.

 .............................................................................................................................

-> Sahabat Nabi

Sunday, May 8, 2011

Kita, anak soleh?

Sifat anak yang soleh...
Mentaati ibu ayah..
Tidak membantah malah mentaatinya....

Lirik 'Anak Soleh' nyanyian kumpulan nasyid UNIC ini, benar-benar memberi kesan. Bait-bait lirik yang membawa makna besar dalam diri seorang anak. Wajar bagi individu yang bergelar anak, mengambil iktibar daripada senikata lirik ini. Ya, saya, awak, kita, sebagai anak, perlu menghayatinya.

Sedikit perkongsian mengenai anak soleh. Pada hemat saya, pandangan Ustaz Baei ini sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita, sebagai seorang anak.
.......................................................................................................................................................................................


Tindakan anak soleh
Di sini saya menyenaraikan tindakan wajar yang patut dilakukan oleh anak terhadap ibu mereka:
1. Mentaati perintah ibu
Sebagai anak anda wajib mentaati perintah ibu berdasarkan ayat di atas. Malah Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang masyhur:
 الجنة تحت اقدام الامهات
Maksudnya: Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Maknanya untuk menikmati syurga anak perlu mengikut langkah dan rentak ibu. Apa yang dikata dan apa yang disuruh perlu diikut. Namun ketaatan itu hendaklah pada perkara yang tidak menderhakai Allah. Sabda Rasulullah: 
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Allah.
Maknanya jika ibu menyuruh anak mencuri barang orang atau menyuruh anaknya menyebarkan fitnah, maka perkara itu tidak boleh ditaati. Tetapi perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud anak boleh menentang ibu. Malah anak tidak boleh memusuhi ibu. Sebaliknya anak perlu memberi alasan yang islami mengapa dia tidak boleh mentaati perintah ibu itu.
Ingatlah ibu tetap ibu walaupun mereka terdiri daripada orang yang pernah derhaka kepada Allah. Walaupun anak tidak boleh mentaati ibu dalam perkara maksiat, tidak bermakna si anak boleh mengisytiharkan perang terhadap ibu. Jadi, perkara baik yang disuruh tetap wajib ditaati, hanya perkara yang bercanggah dengan Islam sahaja yang patut diabaikan.

2. Berdoa untuk ibu
Berdasarkan ayat 24 Surah al-Isra’ di atas, si anak wajar mendoakan ibunya semasa hidupnya apatah lagi selepas dia mati. Sabda Rasulullah:
اذا مات ابن الادم انقطع عمله الا ثلاث، صدقة جارية،
علم ينتفع به، وولد صالح يدعوله
Maksudnya: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
Namun tiga perkara di atas banyak bergantung kepada usaha ibu semasa hidupnya. Kalau ibu banyak buat sedekah yang berupa wakaf, tentu faedahnya berkekalan, kalau ibu ada mendidik anaknya dan anak orang lain dengan ilmu yang berfaedah atau dia menghasilkan buku yang boleh dimanfaatkan orang lain, tentulah manfaatnya berpanjangan. Begitu juga kalau anaknya soleh, pasti dia mendoakan ibunya baik waktu hidup mahu waktu matinya.

3. Tidak menyakitkan hati ibu
Anak tidak boleh menyakitkan hati ibu walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun anak tidak suka kepada tindakan ibu, tidak bolehlah bertindak menyakitkan hatinya. Carilah jalan yang boleh membuatkan ibu sentiasa gembira. Ingatlah sabda Rasulullah yang antara lain bermaksud: 
“Keredaan Allah s.w.t. ada dalam keredaan ibu bapa, dan murka Allah ada dalam kemurkaan ibu bapa.”

4. Tidak menyusahkan ibu
Anak juga tidak wajar menyusahkan ibu dalam apa tindakan. Kadang-kadang anak tidak sedar bahawa tindakannya boleh menyebabkan ibu menjadi susah hati. Permintaan yang bukan-bukan juga boleh menyebabkan ibu rasa susah untuk mendapatkannya. Kalau ibu orang yang berada, bolehlah dia mengadakannya, namun hati ibu tetap tidak senang. Apatah lagi kalau ibu orang yang miskin.
Berdasarkan senarai ini saya dapati pengorbanan ibu yang begitu besar, jarang dihargai. Anak-anak sering mengabaikan ibu, apatah lagi sesudah tua. Oleh sebab itu amat wajarlah hari ini disambut sebagai Hari Ibu. Setidak-tidaknya anak yang terlalai seketika dapat dikejutkan semula. Walaupun dalam Islam, mentaati, menghormati dan mengasihi ibu perlu dibuat setiap hari, tetapi realitinya tidak begitu. Oleh sebab itu mulai hari ini kasihilah ibu dan kekalkanlah dalam keadaan itu sehingga ke akhir hayat.
Ingatlah pesanan Rasulullah, tiga keadaan umat manusia yang mereka tidak akan masuk syurga iaitu orang yang membuat dosa kepada ibu bapa, orang yang tiada cemburukan anak atau isterinya bertemu dengan orang laki-laki (yang bukan mahram), dan orang perempuan yang (berpakaian) menyerupai laki-laki. Wallahu a'lam.

Kerna Dirimu Sungguh Bermakna

Ibu, Bonda, Emak, Mama, Mummy, Ummi.

Ini panggilan mesra, pengikat hati antara anak dan juga insan mulia yang digelar ibu. Zaman kini, tiada insan yang dilahirkan tanpa seorang ibu. Ibu merupakan watak utama dalam kehidupan seorang anak. Peribadi seorang anak banyak dipengaruhi oleh didikan ibu kerana banyak masa dihabiskan bersama-sama.

........Hari Ibu, Mother's Day.... 

Saya kurang gemar untuk meraikan ibu pada hari yang khusus sebegini. Pada pendapat saya, setiap hari, hari yang istimewa untuk ibu. Saya lebih gemar meraikan ibu pada ulangtahun kelahirannya atau ulangtahun perkahwinan. Namun, semuanya bergantung kepada individu.

Saya gunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka yang bergelar ibu dan guru. Terima kasih atas jasa dan kasih yang kalian curahkan. Hanya doa yang mampu diberikan, Allah jua yang layak membalas jasa kalian.

Inilah hal yang saya suka berkaitan Hari Ibu, saya punya peluang untuk menganggap mereka, para ibu dan guru-guru, sebagai ibu saya. Saya sayang mereka!

Pastinya kasih yang tak berbelah bagi ini tetap kepada insan yang kukasihi dan kuhormati, Ibu.


Kasih Ibu hingga ke syurga....