Wednesday, September 28, 2011

Apabila Terbiasa

"Wah, seronoknya. Kelas tiada!" bersorak gembira pelajar tatkala mengetahui kuliah pada hari itu dibatalkan. Pelbagai rencana mula terawang-awang dalam kotak pemikiran. Satu persatu. Hingga serabut menyusunnya, mana satu perlu dituruti.

* Itu kehendak. Pilihan nafsi. Rencana bermanfaat atau mudarat. Pilihan di tangan sang empunya diri. *
                                                                                                                                                               

Sedang mencari maklumat berkaitan kuliah juga tugasan (sambil mencuci mata..), kesukaan lama kembali bertandang. Berkongsi makanan minda. Ini buah tangan SyazwanAdzhar.

*Pastinya saya hanya 'kopi pes'. heh..
                                                                                                                                                                

Apabila Terbiasa

Sudah lebih sebulan di negara orang.

Macam-macam dah rasa - dalam tempoh sekejap. Dari homeless ke ada rumah. Allah sahaja yang tahu bagaimana kerisauan itu hadir, bertimpa-timpa.

Tetapi Alhamdulillah, masa memberi ruang dan peluang. Sedikit demi sedikit, kami bertatih mencari rentak - memenuhi situasi kewangan, menghadiri kelas, pengorbanan bangun awal pagi untuk berjalan kaki sehingga ke kelas.

Segala-galanya, jadi alah bisa tegal biasa.

Dan itulah timbul masalahnya. Penyakit manusia - apabila kesenangan menyapa, jauh berlari daripada Allah.Seakan-akan lupa - seolah-olah jahil - bahawa semuanya itu datang daripada Allah jua.

Benarlah. Kesenangan itu lebih mengancam jiwa ruhani daripada kesusahan.

Yang baik ditinggal-tinggalkan, yang sunat dijauh-jauhkan. Nantikan kalau kesusahan menimpa baru tersungkur di bumi Allah meminta darripada-Nya.

Saya pesan pada diri, jangan jadi Haman.

Ikut resmi padi - yang tunduk apabila lebih terisi - tunduk kepada kebenaran, tunduk kepada keputusan.

Saya pesan pada diri, ingat Allah di waktu senang, agar Allah ingat engkau di waktu susah.

Tetapi, hati yang kontang perlukan masa - dan curahan hidayah. Benih pon tidakkan terus ria membunga dan membuah tanpa tanah yang subur.

Biarlah sebanyak mana benih tarbiyyah cuba disemai, tetapi jika hati itu kontang tidak tercurah, dan dikerja dengan penuh mujahadah, benih tetap akan jadi benih.

Tidak ada bunga iman yang menenteramkan. Tidak ada buah keikhlasan yang memaniskan.

Allah, semoga diberi kekuatan.

Tuesday, September 27, 2011

Penunggu

Express Rakyat
Cepat-cepat 
Jangan Terlambat
Express Rakyat
Jam delapan akan berangkat
Jentera yang membawa berbagai rupa
Tidak kira tua ataupun muda
Bergerak laju mengikut waktu
Meniti landasan berliku tanpa jemu


Penunggu waktu
setia bersama kenderaan masa
menempuh relung kehidupan.

Sampai tiba saat ketika
destinasi berkunjung tiba
Berasak-asak mencipta langkah
ke destinasi yang baharu.

Destinasi asing.

Daerah sunyi.

Kita ini penunggu setia
dalam kenderaan kehidupan.

Monday, September 26, 2011

Tik.. Tok.. Tik...

Tik... Tik... Tik...

Masa kan terus berlalu, kenangan terbiar sepi.

Sepi atau sunyi,
gembira atau ceria,
duka atau nestapa.

Diri jua mengemudinya.
.                                                                                                                                                     .

Saat berziarah di alam maya, seringkali... kerapkali....

 -Hilang kata-

Ya, hanya mampu menghadam secara nafsi. Tidak adil bukan?
.                                                                                                                                                      .


Lohong.

Blackhole?

Pusaran puaka? [dush... fikir apa ni....] 


Hakikatnya, setiap insan punya lubuk di dalam diri. Diri, mungkin hati.

Yang pasti, dalam hakikat insan itu, punya cerita yang diketahui oleh si polan dan Tuannya sahaja. Mungkin indah, pahit, maung, payau, pelbagai rasa.

Ini cerita dalam, cerita batin. Manakan sama dengan ceritera rakyat yang kerap didendangkan.

Cerita diri, bagaimana?

~ Diri juga perlu ruang. Usah biarkan lohong itu kekal zulmat, suram, seram.



Monday, September 19, 2011

Setulus Dian


Antara kenangan yang paling kurindu,
Saat-saatku bersamamu,
Kita sama berlari,
Mengejar pantasnya waktu yang berlalu

Daerah ini menjadi saksi bisu,

Jatuh dan bangunku denganmu,
Kita redah bersama,
Segala cerita suka dan duka

Manisnya hari-hari yang ditempuh,

Biarpun kadangkala mencabar hati,
Tetapi kita lalui,
Menguatkan langkah kaki

Ada kala kita hampa,

Terduduk tahan kecewa,
Tapi bukan penamat cerita

Dan ada masa-masanya,

Kita ketawa gembira,
Berjaya menjulang yang dicita

Di sini mimpi bermula,

Diseri pelbagai ragam dan warna,
Selalu jadi rindu...
Indah....
 

Friday, September 16, 2011

Bapa Burik Yang Anaknya Tidak Rintik

Orang-orang dahulu mungkin benar. Bapa burik anaknya rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sangat dipatuhi anak-anak. Hati anak-anak bersih. Hatinya basah dengan doa ibu bapa. Tidak pernah kering dan kaku. Beku. Kata ibu adalah perintah. Kata bapa adalah noktah. Bukan bermakna ibu dan bapa menjadi autoktarik hingga pendapatnya tidak boleh disanggah. Kebijaksanaan ibu bapa yang penuh pengalaman menjanjikan banyak kesejahteraan kepada anak-anak. Jodoh pertemuan ditentukan oleh ibu bapa. Ibu paling kritis memilih menantu. Tentunya yang pandai berkemas rumah. Dapur dan bilik. Pandai memasak. Masin, masam dan manisnya mencukupi rasa. Kain baju dijahit sendiri. Kelimannya rapi. Jahitannya halus menawan. Tutur katanya lemah lembut. Menawan telinga yang mendengar. Jalannya lembut tidak didengar bunyi. Lambang isteri yang patuh taat kepada suami. Wanita solehah yang dijanjikan syurga.
Anak lelaki gagah usaha. Sejak kecil pandai diajar untuk menangani hidup. Survivalnya tinggi. Usia muda menjadi dewasa dengan pengalaman hidup berdikari. Makan minum berbudi dengan tanah. Rumah dari kayu yang dibalak sendiri dengan kudrat tenaga yang ada. Berumahtangga pandai mengatur hidup selesa. Anak-anak dididik untuk hidup bersederhana. Ilmu agama pasti menjadi teras hidup beragama. Islam sentiasa di hati, di telinga, di mata dan dalam minda. Orang kampung kesepakatannya bersepadu. Gotong royongnya melebihi keperluan. Semua ahli menyumbang untuk mensejahterakan sesama mereka. Itulah lelaki dahulu. Itulah wanita dahulu. Hidupnya sangat simple. Terhindar semua yang menggoda. Bebas dari melakukan yang tidak wajar. Segalanya berkecukupan. Bahagia dalam alam sekitar yang sentiasa damai.
Era zaman ini sudah berubah. Acuan keluarga bukan lagi penentu. Kadang-kadang ibu bapa tidak dapat menjangka apa yang akan ada. Bapa tidak lagi merintikkan anak. Warna-warna bapa tidak lagi diturunkan kepada anak. Warisan hanya DNA sahaja yang ada. Rupa paras mungkin serupa. Pemikiran mungkin ada iras-irasnya. Tetapi tingkah laku bukan lagi ditentukan oleh ibu bapa. Persekitaran memainkan peranan gila mencorakkan anak-anak hingga tiada lagi mirip keluarga. Acuan yang tersedia sudah tiada lagi gunanya. Media menutup segala peranan ibu bapa. Orang-orang tua durjana di luar sana merosakkan benih dan bibit anak bangsa. Mereka mempunah dan memusnahkan semua yang dibina. Menjengah keluarga bukan lagi menentukan warisan mereka diturunkan kepada anak-anak. Kuih bukan lagi mengikut acuannya. Anak-anak bukan lagi dibentuk oleh ibu  bapa.
Memilih pasangan selalu dirujuk bangsanya. Ibu bapanya. Keturunannya. Anak cucunya. Penyakitnya. Tingkah lakunya. Nasab keturunannya. Sah taraf atau tidaknya. Mungkin itu dahulu. Mungkin itu sewaktu segala-galanya mengikut acuan. Sekarang tidak lagi. Terlalu banyak yang berubah dan diubah. Anak-anak bukan lagi duduk di bawah ketiak ibu dan bapa. Boleh lagi ditunjuk arah. Dunia di luar sana terlalu menggamit anak-anak ke alam yang jauh berubah. Ibu bapa hanya mampu melahirkan. Membesarkan seketika. Waktu kritikal inilah yang menentukan fitrah tingkah laku anak-anak. Jika gagal kawalan peringkat awal ini pasti anak-anak meliar seolah-olahnya di luar sana segala-galanya. Malangnya mereka tidak cukup bekal untuk melawan anjakan-anjakan durjana segala macam kemaksiatan yang di depan mata. Ramai yang kecundang. Terlalu ramai yang roboh benteng imannya. Yang lemas dalam asakannya. Yang hancur kerananya.
Bapa burik hanya peribahasa lama yang benar pada zamannya. Orang sekarang gagal memanfaatkan falsafah hidup orang-orang dahulu. Mereka merasakan yang dahulu hanya retorik masa. Mereka membina falsafah baru yang kacau. Yang tidak pernah terbukti benar. Tidak teruji. Mereka hanya teruja dengan momokan gila yang dilihat seperti benar. Lagilah anak-anak teknologi yang melihat benar apa yang maujud. Sayangnya yang maujud itu hanya bayang-bayang jauh yang diluar jangkauan. Mereka di dunia lain yang entah dimensi ke kerapa. Segalanya menjadi tidak bertapak di bumi nyata. Di bumi Islam. Di Bumi agama. Sudah lama anak-anak teknologi mengnyahkan adat. Resamnya sudah tiada. Sopannya sudah terbang. Santunnya sudah terbuang. Mereka gila dengan teknologi yang lebih banyak maya. Dikawal oleh sesuatu yang bukan fitrah.
Ibu bapa sekarang lemas dalam cahaya. Mereka nampak kecacatan masa dan ruang. Tetapi mereka banyak tertinggal dari segi paradigma. Mereka tertinggal jauh dari arus perdana. Yang mereka nampak hanyalah bahagian kecil dari cebisan ketidak selarian hidup dahulu dan sekarang. Hendak mengikut arus tidak terdaya.  Tidak mengikut arus bermakna tertinggal antara jurang masa. Akhirnya ibu bapa terkapai-kapai antara percaya dengan tidak. Anak-anak mereka menjadi bebanan yang tidak terhingga melukakan hati. Di luar sana tiada siapa yang peka. Hidup ini seolah-olah tiada matlamatnya. Tiada destinasinya. Jauh dari wawasan. Jauh dari visi. Jauh dari hal-hal yang meyakinkan positifnya. Yang selalu dikejar ialah umpan dunia yang tidak ada sudahnya. Dikejar semakin menjauh. Dipegang tiada.
Bapa burik yang baik tidak berupaya lagi untuk semestinya melahirkan anak-anak yang cukup rintiknya. Hanya cebisan rintik yang terlalu kecil sahaja yang ada. Yang menjadi. Terlalu banyak cacat celanya. Amat mengecewakan. Harapan yang tinggal harapan. Warisan keluarga mungkin hanya pada paras rupa. Mungkin hanya pada pigmen kulit. Hanya pada hidung dan mata. Dagu dan kening. Tinggi dan timbangan berat. Yang lainnya terserah kepada persekitaran yang sukar dikawal. Anak-anak banyak di luar dari di rumah. Banyak bersama kawan dari adik beradik. Kita tidak tahu siapa rakan taulan mereka. Jenis apa mereka semua. Sekali mereka terlepas seluruh hidup kita menyesali apa yang telah tersilap segala-galanya. Kawalan itu sepatutnya dari mula. Dari rebung yang sangat lembut. Itupun jika kita tahu dan kenal rebung. Tahu cara melenturnya. Tahu untuk apa dilentur.
Nothing can be taken for granted. Nothing is simple. Semuanya mesti dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Ibu bapa mesti menyediakan lorong-lorong yang boleh dipilih secara positif. Terowong gelap tanpa cahaya mestilah dielakkan kerana di dalamnya banyak perangkap maut.  Perangkap membinasakan. Yang susahnya ialah ibu bapa juga yang akhirnya menanggung kesemua kesilapan dan kekhilapan aanak-anak. Kembali kepada bangsa. Keturunan. Keluarga. Sebab itu tanggungjawab menjadi ibu dan bapa tidak pernah ada hentinya. Check and balancenya ada sepanjang usia. Anak-anak tetap amanah hingga roh tiada. Malah nanti di alam barzah kita masih ditanya. Di akhirat masih ditanya. Bagaimanakah didikan kita terhadap anak-anak. Bagi yang masih muda ambillah iktibar. Mungkin masih ada harapan untuk membina anak-anak yang menjadi soleh dan solehah. Semuanya ada di tangan kita. Pohonlah kepada Allah agar anak-anak kita menjadi yang terbaik. Menjadi imam dalam kategorinya. Dalam lingkungannya. Dalam zamannya.
Dunia sudah semakin sempit. Semakin pendek. Putarannya semakin laju. Kitarannya juga laju. Jika tidak berpijak dengan asas agama dan Islam yang kukuh maka kita akan terpelanting jauh terawang-awanng tanpa berjejak di bumi nyata. Khayal dan kemabukan semata-mata. Ya Allah! Selamatkanlah diriku dan diri keluargaku. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikan kami dalam Islam. Hanya kepadaMu juga kami mohon keampunan dan pertolongan. Sesungguhnya Kaulah Yang Amat Memberi Keampunan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
 
~ Tulisan Cikgu Yusof Jamar, hidup. Banyak yang dapat saya hadamkan. Semuanya berkaitan kehidupan. Ternyata, anak-anak zaman milenia ini perlu banyak refleksi diri masing-masing. Ya, saya juga. Harap kamu pun sama. 
Hidup ini, penuh onak dan duri. Berhati-hatilah....
Hidup di dunia sementara, semoga bahagia selamanya di sana kelak, insya Allah.
 

Tuesday, September 13, 2011

Kita Ibarat Bulan

Belakangan ini saya putus kata.

"Memerhati lebih nikmat dan asyik" [pada hemat saya]

Sebab musabab? Tidak pula saya pasti. Oh, mungkin faktor-faktor luaran menjadikan saya agak pasif melontar kata di ruang ini. [usah menuding jari ya!]

Namun tak bermakna ruang ini akan terbiar sepi.

"Berkongsi sehabis mungkin!", kata-kata rangsangan yang menyebabkan neuron saya kembali aktif. Jika bukan lontaran ideaku, pandangan orang lain juga bermanfaat. Terima kasih Bro Azree Hanafiah!

Selamat menjamu hidangan minda. Membaca dengan mata diri, juga mata hati.


Kita Ibarat Bulan

Setiap orang ibarat bulan, memiliki sisi kelam yang tidak pernah ingin dia tunjukkan pada sesiapa. Tetapi cukuplah bagi kita memandang sejuknya permukaan bulan pada sisinya yang ingin ditunjukkan keindahannya.


Begitulah setiap dari kita tidak lari daripada membuat kesilapan. Tidak kira dia, saudara dan juga saya. Malah ada beberapa perkara yang memalukan tentang diri kita yang ingin kita rahsiakan daripada orang lain.
Umpama bulan pada waktu malam yang kita lihat hanyalah bahagian yang terang dan cantik sahaja. Tetapi jika dikaji betul-betul menggunakan satelit atau apa sahaja baru kita nampak adanya bahagian kelamnya. 
Sama halnya dengan manusia, sahabat atau orang yang rapat dengan kita. Kalau kita cari kekurangannya, memang akan ditemuilah kekurangannya. Tetapi apabila kita melihat kepada kebaikannya, hubungan itu akan jauh lebih rapat.
.
Hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya

Apabila kita asyik mencari kesalahan orang lain, itu bererti kita tidak cuba hidup untuk memberi. Sebaliknya kita lebih suka menerima – menunggu orang lain buat sesuatu dan kita hanya mengambilnya sahaja.

“Kenapalah design si Aman itu buruk sangat? Harap pandai sahaja guna software Adobe Photoshop tetapi design buruk.”

Melalui dialog di atas kita dapat kenal pasti kelebihan dan kekurangan Aman. Kelebihannya adalah dia pandai menggunakan software untuk kerja-kerja design. Kekurangannya pula dia tidak berapa kreatif dalam design sesuatu kerja.

Sekiranya kita hanya menunggu dia menyiapkan design yang terlawa untuk kita, harapnya memang lambatlah siap kerja. Sebab kita sendiri sudah tahu yang Aman itu tidak kreatif orangnya. Jadi apa kata kita yang kreatif dan banyak idea ini menyumbangkan beberapa idea kepada Aman untuk dia designkan.

Jangankan satu design yang dapat Aman itu siapkan, malah mungkin lebih.

Rugi apabila mencari kelemahan orang lain

Kadang kita tidak sedar kita mencari kekurangan seseorang itu. Atau kadang kita tidak cuba langsung mencari kelebihannya, terus sahaja kita serkap jarang kata orang itu tidak boleh buat itu dan ini.

Contoh apabila kita tengok ada seorang lelaki pakai seluar jean dengan rambut tidak bersikat. Terus dalam kepala kita terfikir, betulkah dia ini boleh buat kerja dengan baik?

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sekiranya kita fokus kepada kepada kelebihannya, kita akan dapat mengoptimumkan kelebihan orang tersebut. Sekiranya kita fokus kepada kelemahannya, yang kita dapat adalah masa yang terbuang untuk memperbaiki kelemahan orang tersebut.

“Apabila kita terlalu memikirkan sebab-sebab untuk menyelesaikan sesuatu masalah, maka kita kerugian dua perkara. Pertama masa dan kedua wang,” kata Puan Ainon Mohd kepada saya.

Katanya lagi, “Apabila kita memikirkan punca sesuatu masalah tersebut berlaku, otak kita akan berfikir ke belakang. Berbeza dengan kita terus mencari kelebihan sesuatu perkara tersebut. Apabila kita memikirkan apa yang boleh dibuat dengan kelebihan yang ada pada sesuatu perkara itu, otak kita akan berfikir ke depan.”

Cara berfikir mencari punca atau kekurangan sesuatu perkara itu lebih sesuai dalam proses maintenance. Contohnya bangunan itu sudah siap kukuh. Jadi, perkara yang tinggal adalah hendak maintain bangunan tersebut dengan baik sahaja. Pada ketika itu barulah kita menggunakan cara berfikir mencari punca-punca masalah yang berlaku.

Dan ingatlah kita pun ada kelemahan sendiri. Sekiranya kita adalah bos dan asyik mencari kekurangan pekerja. Di belakang kita, pekerja pula yang akan bergosip sakan tentang kelemahan kita.

Setiap orang adalah aset

Dalam sesebuah organisasi, setiap orang adalah aset. Kalau kita tidak menggunakan aset-aset itu sebaik mungkin, ia hanya akan menjadi satu bebanan sahaja kepada kita. Lebih-lebih lagi sekiranya kita berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan ahli dalam organisasi tersebut. Lagi terbeban kepala dibuatnya.

Sebaliknya kita lihat pada keistimewaan mereka dan gunakan keistimewaan yang mereka ada sebaiknya. Apa yang kita hendak, kita pun dapat. Hati pun gembira.

Hidup bermasyarakat umpama hidup dalam sebuah organisasi besar. Hiduplah dengan melihat kelebihan dan keistimewaan setiap orang di sekeliling kita.

Monday, September 5, 2011

Permaidani Doa

Andai ada doa lebih tinggi
dari diampun segala dosa
dari pelepasan neraka
dari kurnia Jannatulfirdaus
dari limpahan redha-Nya
dari memandang wajah-Nya
dari sapaan dan senyum Nabi...

Andai ada
pasti telah kudoakan untukmu ayah ibu

kerana permaidani ini masih banyak celanya
moga kan tersedia jalan lebih sempurna
menghantar kalian ke syurga.


- tepianmuara


~ buat ayahanda jua bonda, permaidani ini masih banyak celanya....