Sunday, April 22, 2012

Kisah Manis Hati Anakanda

Mata Amira sudah merah, dan ada surat di tangannya. Entah beberapa kali Amira membaca surat itu, tetapi setiap kali membacanya, pada setiap kali itu juga hati Amira umpama dirayapi semut merah yang bisa.

Amira sekali lagi membaca surat di tangannya.

Assalamualaikum,

Apa khabar anakanda di sana? Ayah doakan semoga anakanda ceria semasa membaca surat ini. Maafkan ayah kerana masih ketinggalan zaman. Perkara yang sepatutnya diberikan melalui e-mel, ayah hantarkan melalui surat. Salah ayah juga kerana tidak bertanya e-mel baru anakanda.

Ringkaslah ceritanya, ayah sudah tahu kisah anakanda daripada bonda. Kisah manis hati anakanda. Namun janganlah anakanda khuatir sehingga surat ayah ini anakanda berhenti baca, kerana ayahanda bukanlah mahu marah, bukan juga mahu mengarah-ngarah anakanda yang sudah dewasa, melainkan ayah cuma mahu bercerita kepada anakanda berkenaan apa dalam hati ayah ini.

Ayah yakin dan sangat percaya, anakanda adalah anak yang solehah, yang taat kepada agama. Namun pada usia anakanda, ayah juga tahu suatu perkara, anakanda dalam diam sedang berperang dengan perasaan di dalam dada.

Ayah khuatir betul dengan perkara yang namanya cinta. Walaupun sudah ayahanda jelaskan, dan walaupun puas bonda terangkan kepada anakanda berkenaan cinta, pasti ada ketika hati anakanda terdetik juga mahu mencuba apa rasanya cinta, dan ayah tahu sudahlah datang waktu itu kepada anakanda.

Janganlah salahkan bonda kerana memberitahu ayah, tetapi ayah jugalah yang salah kerana setiap hari ayah bertanya tentang kamu daripada bonda. Bonda kamu itu sangat taat kepada ayah, dan tidak mungkinlah dia mampu merahsiakan sesuatu pun daripada ayah.

Ingat lagi ayah, pada ketika anakanda baru empat tahun dan anakanda mahu membeli belon warna merah. Ayah belikan dan anakanda sangat gembira. Anakanda terus berlari-lari dengan belon merah di tangan sambil ketawa riang. Malangnya, belon anakanda pecah tergeser daun lalang. Anakanda menangis, dan ayah sekuat hati memujuk anakanda dan waktu itu walaupun anakanda sangat kecewa, marah dan sedih tetapi tetap juga anakanda terpujuk dengan kata-kata ayah. Terpujuk apabila ayah mengangkat anakanda tinggi dan meletak anakanda pada bahu ayah. Anakanda gembira, dan tangisan pun mereda.

Namun kini, apa yang ayah takutkan semasa anakanda umur empat tahun, terjadi lagi. Bukan lagi belon yang pecah tetapi akankah hati anakanda yang pecah? Itulah yang ayah khuatirkan tentang anakanda, pada ketika umur anakanda sudah tidak memungkin ayah meletak anakanda pada bahu ayah, itu juga bermakna anakanda tidak mungkin lagi terpujuk.

Itulah cinta sebelum nikah, ia seperti belon merah yang anakanda inginkan semasa kecil. Ia lembut, ia menggoda dan ia nampak manis. Namun hakikatnya, ia sangat nipis, dan banyak perkara mampu membuatnya pecah pada ketika anakanda membawanya berjalan di jalan penuh lalang.

Ayah, berharap tahan-tahan dahulu perasaan kamu itu. Jangan ditunjuk kepada si lelaki sehingga anakanda terlihat murah. Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa.

Banyakkan ingat Allah sayang. Banyakkan menyebut namanya. Berzikirlah, bertahmidlah, bertasbihlah dan bertakbirlah. Banyakkan membaca ayat-ayat-Nya. Kerana hanya kepada Dia anakanda dapat bergantung dengan sepenuh hati selepas ayah dan bonda jauh dari anakanda.

Janganlah pula anakanda menyangka ayah ini kolot orangnya sehingga tidak mahu anakanda bercinta. Tidak salah anakanda bercinta, cuma bagi setiap perkara akan ada masanya yang tepat. Seperti embun yang lembut, tidaklah ia turun ketika matahari sudah tegak di kepala, tidak juga turun pada ketika matahari condong ke barat, ia turun pada waktunya yang tepat, walaupun singkat tetapi itulah yang terindah untuknya.

Sedangkan embun di hujung daun pun punya waktu, apatah lagi cinta yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anakanda bertanya, bila waktu yang tepat untuk yang bernama cinta? Jawab ayah, pada ketika semuanya sudah bersedia.

Cinta itu anakanda, bukan sekadar hati yang bersedia menerima dan memberi tetapi, fikiran juga perlu bersedia, emosi perlu bersedia, fizikal perlu bersedia, dan paling utama, adakah pasangan anakanda itu juga sudah bersedia untuk semuanya? Bersedia menerima dan memberi? Pada ketika hanya hati yang bersedia, pada ketika itulah cinta itu umpama belon yang mudah pecah.

Pada ketika anakanda sudah tidak mampu menahan rasa hati, ingatlah anakanda ayah dan bonda di sini. Jaga air muka kami dengan menjaga air muka anaknda, jaga maruah kami dengan menjaga maruah anakanda, dan jaga akhirat kami dengan menjaga akhirat anakanda. Ingat jugalah, jodoh itu terkadang datang lebih awal daripada cinta.

Sekiranya anakanda berasa surat ayah ini sudah keterlaluan, ketahuilah, ayah memang keterlaluan dalam soal sayang dan kasih kepada anakanda. Sayang ayah dan bonda kepada anakanda, keterlaluan sepertinya matahari yang terik, bukannya seperti matahari pagi tidak juga seperti matahari senja.

Sekiranya keterlaluan sayang dan kasih itu salah untuk anakanda, maafkan ayah kerana ayah tidak mampu untuk mengurangkannya. Tidak mampu walaupun sekuman. Baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata dalam hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil.

Akhir kata, semoga anakanda sudah mengerti sedikit hati ayah. Tidak banyak, sedikit pun itu sudah membuat ayah tersenyum. Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah.

Salam sayang,
Ayah.

...............................................................................

Sentuhan hati : Bahruddin Bekri

3 comments:

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Sekadar muzakarah saja.
Adakalanya anak muda terlalu mengikut kata hati. Berapa lamalah kita mengenali org luar yang kita mudah jatuh cinta. Kata pepatah Arab,` Cinta membutakan pandangan (views)`. Sebaliknya berapa lama pula kita hidup bersama ibubapa kita. Tak sepatutnya seseoranh itu sanggup menanggung risiko yang sangat tinggi w/pun psgnnya menjanjikan atas dasar Islam! Jgn lupa bahawa Nabi Adam a.s. pun tertipu dgn Iblis apabila bersumpah dgn nama Allah. Secara logiknya, tak mungkinlah seorang makhluk sanggup menipu dgn nama Allah. Begitu jugalah analoginya, tak mungkinlah seseorang itu sanggup menipu atas nama Islam! Surah Al`Araaf:21 وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِي Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".
Sebab itu tugas seorang bapa memelihara keluarganya supay tidak tersentu oleh api neraka. Surah AtTahrim:6 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارً‌ا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَ‌ةُ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).
Begitu juga, jangan nanti diakhirat mereka meyalahkan ibubapa mrk lantaran tersalah jalan dan berlaku kesyirikan. Surah Al`Araaf:173 أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَ‌كَ آبَاؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّ‌يَّةً مِّن بَعْدِهِمْ ۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ tau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"

Perjalanan hidup ini masih jauh jika umur panjang tetapi terlalu banyak ranjau yang perlu dilalui. Andaikata tersilap-langkah, manusia ini terlalu sukar utk berpatah-balik. Walaupun kita memberi pelbagai alasan nanti, kesemua itu sudah tidak diterima diakhirat oleh Allah SWT. Surah AlQiyammah:14 بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَ‌ةٌ Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, 15. وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَ‌هُ Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
Wallahualam.

Anonymous said...

tajnur, jiwa muda sentiasa memberontak,kan? mujur sebagai seorang muslim, telah dibekalkan kepada kita Al-Quran dan hadis. Alhamdulillah, moga menjadi panduan berguna. Jazakallah.

-najwa

Anonymous said...

"Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa."

"Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah."

~boleh meleleh nih kalu dgr depan2. *taching*