Wednesday, May 30, 2012

Perjalanan


Melangkau jarak; masa
pasti.
Mahu diam bertapa 
atau laju melangkah?

***

"Jauhnya nak berjalan, lebih baik kalau ada jet sendiri. Mesti cepat sampai. Sekarang ni musim panas, haus je rasanya," Hanif mengomel sambil mendengus. Mukanya umpama beg bertali yang menpunyai jerut. Saat habis tali dijerut, berkedut-kedut. Masam mencuka. Duduknya pula tidak tetap. Kadang menghadap ke kiri, kadang menghadap ke kanan. Resah. 

Hanis tersenyum melihat gelagat adik bongsunya itu. Sejak kecil, Hanif memperoleh pelbagai kesenangan. Kata orang, lahir ke dunia, cuci kaki. Makan, dihidangkan. Kasut sekolah, dicucikan pembantu. Hatta beg sekolah juga digalas pembantu hingga tiba ke sekolah. Hanis menggeleng perlahan. "Semoga Hanif tidak hanyut dan lebih bersyukur," Hanis berbisik di dalam hati.

Kereta menderu laju, melepasi susuk-susuk kayu nan teguh di tepi jalan. Malar hijau meliuk lentok saat angin berpapasan. Sesekali camar terbang sekawan, melewati kereta yang meluncur di atas jalanraya. Perjalanan kali ini terasa jauh, walhal Sungai Juru ke Kuala Kedah mengambil masa kira-kira sejam sahaja. Kuala Kedah sudah tidak asing dalam hidupnya. Di sanalah tempat Hanis mencicip ilmu, mengajarnya berpijak di bumi nyata. Selut lumpur padi membuka ruang matanya untuk melihat dunia dengan mata hati. 

Teman lama sering berpesan, dunia ini seharusnya kita jadikan seperti sejadah. Sejadah inilah yang kita gunakan untuk beribadah, berzikir dan beramal dengan pelbagai amalan soleh.Tidak ada manusia yang bentangkan sejadah untuk melakukan maksiat. Mimik muka Hilal yang bersungguh-sungguh memberi nasihat saat  membentang sejadah untuk jemaah solat Jumaat terpapar di kotak fikiran. Hilal seorang yang pemurah dengan nasihat. Ketika memberi nasihat, pasti tubuh badannya terutama kedua-dua belah tangan pasti turut ligat bergerak, memberi peneguhan terhadap nasihat yang diberi. "Apa khabar Hilal sekarang ya?" Hanis berbisik kecil. Rasa rindu menggerit jiwa.

____________________________________________________________

Membelek-belek naskhah akhbar, pasti menemui pelbagai realiti kehidupan yang dipilih sebagai tajuk-tajuk harian. Ditokok tambah atau diambil dari sumber asal sepenuhnya, namun semua itu adalah realiti kehidupan. Sedih, riang, gembira, suka, duka, hampa, aneka rasa dan perasaan.

Antara dunia dan Akhirat.
Realiti nampak kejam bukan?. Tetapi itulah dunia, sekejam mana ia, kita tetap cintakan ia bukan. Cara paling mudah untuk mengubati hati ini, adalah dengan kita mengharapkan segala apa yang kita kehendaki di dunia ini digantikan oleh Allah swt di akhirat.

Lalu apakah cara yang terbaik bagi memberi penjelasan terhadap diri perihal dunia sebagai jambatan akhirat? Duduk sahaja lalu penjelasan itu datang dengan sendirinya?

Mudah sahaja. Dengan kita tanamkan sikap tidak terlalu berharap pada dunia, kita semakin mendambakan Akhirat. Apa yang kita luahkan pada Allah dalam solat kita, dalam doa kita, walhal dalam hati kita sekalipun Allah dengar. Ini juga strategi untuk mendekatkan kita dengan Allah. Justeru, jangan berkecil hati dengan dunia, kerana kita akan berbahagia dan gembira di akhirat kelak. Apa yang ada di dunia ini sementara, tetapi apa yang ada di akhirat itu kekal selamanya.





Meniti titi rumah Cik Esah
Jalan berhati terhantuk jenang,
Kala hati resah gelisah
Ke rumah Allah mendamba tenang.

2 comments:

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Sememangnya bumi ini kita patut jadikan sejadah krn asalnya Allah SWT mewariskan dunia ini hanya utk orang2 solih dan termaktub sejak zaman NabI Daud a.s. Surah AlAnbiya`:105 وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ‌ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ‌ أَنَّ الْأَرْ‌ضَ يَرِ‌ثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".
Sebagai pewaris Bumi, Rasulullah saw telah berusaha dlm tempoh 23 tahun membebaskan bumi Allah SWT (w/pun x dpt semua)ini dari kekuffaran dan kemaksiatan dgn adanya daulah Islamiyyah. Semuanya bermula dgn pentarbiyyahan AlQuran pada zaman Makiyyah. Oleh itu, semestinyalah kita penyambung warisan meneruskan syiar ini. Berusahalah dari sekarang selagi ada tempohmasa hayat kita. Wallahualam.

Najwa Najihah said...

tajnur, ayuh!