Friday, November 2, 2012

One in a million

Dari dinding Dr. Zainurrashid:


 
Satu dalam seribu....

Ditakdirkan Allah, pada tahun lepas saya telah diberikan peluang untuk menemuduga dan memilih seorang pakar perunding pembedahan untuk bekerja bersama saya di sebuah institusi pendidikan perubatan.

Setelah lebih setahun berinteraksi dan memerhatikan selok belok kerjayanya, saya dapati bahawa dia adalah seorang pakar bedah yang 'lain daripada yang lain'.


Selain daripada popular di kalangan pesakit, di kalangan para mahasiswa serta kakitangan hospital dan universiti, beliau juga akan menambat hati sesiapa yang mengenali keperibadiannya.

Beliau murah dengan senyuman dan sentiasa mendahulukan salam kepada sesiapa yang ditemuinya. Kerja-kerja pembedahan dan pendidikannya kemas, beliau menepati waktu dan suka menawarkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan pertolongan miski pun beliau sendiri punyai tugasan yang sedia ada.

Saban waktu, beliau akan berada di saf hadapan untuk solat berjamaah atau mengimami solat di surau melainkan sekiranya beliau sibuk di wad atau di dewan pembedahan.

Sebagai 'supervisor' kepada beliau, saya mengetahui bahawa pendapatannya di Malaysia sekarang tidak selumayan gajinya ketika bekerja di negara teluk beberapa tahun yang lalu tetapi beliau tidak pernah 'buka suara' atau mengeluh mengenainya. Jawabnya mudah, dia bersyukur dengan apa yang diberikan berdasarkan kelayakan yang dimilikinya.

Apabila saya bertanya, apakah rahsianya yang menyebabkan beliau berjaya menjadi seorang pakar perunding pembedahan yang berjaya tetapi 'lain daripada yang lain' apabila diukur keperibadiannya, amalannya, disiplinnya dan bagaimana orang-orang sekelilingnya begitu senang dengan 'watak Islam yang hidup'
yang dimiliki, beliau menjawab bahawa segala yang ada hasil daripada didikan ibunya yang telah mendidiknya semenjak kecil.

Ibunya adalah seorang wanita yang sangat berpegang kuat kepada agamanya. Beliau menceritakan bahawa di sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah melihat ibunya meninggalkan solat tahajjud dan berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis.

Ibunya sentiasa memperingatkannnya agar sentiasa meletakkan taqwa sebagai bekalan hidupnya dan inginkan anaknya hidup dengan bermanfaat kepada manusia sekeliling dan umat Islam sejagat.

Ya, sememangnya beliau adalah satu sosok peribadi yang istimewa.

Saya doakan agar beliau istiqamah dengan kebaikannya sehingga ke penghujung kehidupannya dan saya berharap agar diberikan peluang untuk melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh perubatan dan pembedahan yang 'mithali' di masa depan.

-------------------------------------------

Ibu bapa acuan terbaik anak-anak. 
 
Tiada istilah terlalu awal untuk membentuk diri demi membentur generasi masa hadapan.
 
Ayuh bermula sekarang.
 
Sebelum telat dan menyesal akhirnya... 
 
*****
 
Syukuri kurniaan terindah Tuhan,
ibu bapa. 
 
Kesempatan itu tak pernah menunggu.
 
Saat kehilangan, 
mendung membayangi. 

Doa jua menyelimut tiap rasa.

Hargai. Bahagia.


No comments: