Tuesday, January 15, 2013

Cinta Si Pendayung

Sekali lagi, menjamah puisi. Puisi segar titipan ayahanda yang dirindui. 

Sesekali menjenguk kamar aksara ayahanda, banyak rupanya ayahanda menitip pesan. Diri ini juga sering terlupa. Kadangkala malah sering sengaja melupakan.

Lewat waktu, ada kesedaran yang menjalar. Dalam dan teguh.

Moga ayahanda sentiasa dalam rahmat Allah sentiasa bersama keluarga tercinta.


Laut 

ANAKANDA,
Nikmat memandang laut yang serba luas dan indah,
Masakan sama dengan kepuasan
mencipta sebuah sampan lengkap dengan pendayungnya.
Sebelum berkayuh di dada laut,
Maka kami binakan sebuah sampan daripada tangan mahir para penukang.
Kayunya dari negeri atas gunung,
yang tumbuh dicelah dataran tinggi menghijau.
Serba kukuh diuji ribut, tegap dalam dingin kabut.
Besinya dari negeri yang paling rendah daripada muka laut.
Sulit untuk ditempa, kukuh membentuk rangka.

Anakandaku,
Setelah dibekalkan sebuah sampan dan pendayung,
Janganlah takut melihat ombak laut yang serba menggulung.
Saat berkayuh di dada laut, serapahkan dengan bismillah
kemudian bertawakallah dengan nama Allah.
Biarpun kayunya kukuh yang tumbuh dari negeri atas gunung,
besinya berat ditempa ringan hingga terapung-apung,
ketahuilah bahawa sampan tidak akan berlayar,
jika tangan tidak memegang pendayung.

Anakandaku,
Berkayuhlah dengan cinta seorang pendayung
mencari cinta Tuhan yang Maha Agung.

- Al-Kurauwi,
Minggu Penulis Kanak-Kanak 2012,
12-16 Disember 2012.

No comments: