Friday, January 18, 2013

Detik Pertama

Perkara yang sangat-sangat sukar dilakukan oleh insan yang ditimpa musibah,kesukaran, atau sedang diuji adalah tidak mengeluh.

Kebiasaannya kita setelah mengeluh, mengadu, bercerita dan berkata itu dan ini mengenai musibah dan ujian yang menimpanya, kemudian barulah kita tiba ke satu titik akhir iaitu "takpe, baik aku bersabar" atau "sabar lah wahai hati."

Sedangkan dalam hadith riwayat Imam Bukhari, Rasulullah berpesan:
"إنما الصبر عند الصدمة الأولى"

Maksudnya, "sesungguhnya kesabaran itu adalah di saat detikan pertama."

Iaitu detik pertama insan ditimpa ujian, contohnya mendengar berita kematian, kemalangan keluarganya, mendapat tahu berita kecurian rumahnya, kegagalan dalam peperiksaan, kesusahan dalam kehidupan, maka di saat-saat awal semua ini berlakulah Allah sedang menilai hamba manakah yang layak untuk Allah memberi ganjaran di atas kesabaran mereka dari awal musibah hingga ke akhirnya.

Maka bukanlah kita insan yang sabar jika cepat sahaja mengeluh, melatah, berkata yang buruk, mengadu dan berbising-bisingkan tentang musibah yang menimpa diri, dan setelah itu baru memujuk hati dengan kesabaran.

Timbang taralah setiap yang keluar dari mulut kita, dan setiap gerak geri kita disaat ujian datang. Mudah-mudahan dengan timbang tara itu, tergolongnya kita dalam golongan yang mana Allah bersama-sama mereka seperti dalam ayat 2:249:

"...dan Allah bersama orang-orang yang sabar."

-Jeda-

Terima kasih Sahabat. Barakallahu fik.

No comments: