Tuesday, July 19, 2011

Beza Bercinta Sebelum Kahwin dan 'Couple'

Entri ini mungkin buat anda terasa
Entri ini mungkin buat anda meluat
Entri ini mungkin buat anda tak singgah blog ini lagi
Entri ini mungkin buat anda hanya berdiam dan membiarkan sebegitu sahaja
Yang penting entri ini, untuk kita jadikan renungan, dan mengambil iktibar di sebaliknya.



Adakah anda bersedia membaca untuk ayat ke seterusnya? Kerana apa yang diutarakan adalah amat panjang sekali. Dan pengakuan dari penulis ini sendiri. Bukan mudah untuk menulis pengalaman sebegini rupa, dan bukan bermaksud memperlekehkan mereka yang berkenaan, tetapi sama-sama kita menyelami maksud tajuk di atas, membawa pemikiran kita menyelami apa perbezaannya, samada meninggalkan impak kepada anda atau tidak, semuanya dariNya.


Telah banyak entri sebelum ini ku sampaikan secara kiasan, tentang bercinta sebelum kahwin, apatah lagi tentang kapel. Yang bijak menafsirkan, pasti akan faham maksud tersirat. Yang hanya melihat sekadar entri tersurat, mungkin dapat juga yang disampaikan.


Kali ini, entri akan menerangkan mana yang patut, dan selebihnya kita cuba menafsir di dalam pemikiran. Ianya disampaikan secara penceritaan halus, bukan point-point jelas yang terdapat di dalamnya. Dan ku letak read more kerana entri ini pasti panjang berjela, biarpun ada yang tidak suka dengan function tersebut. Yang penting, sila bersedia menghadapi persoalan seterusnya.


Orang berkapel semestinya bercinta sebelum kahwin, tetapi orang bercinta sebelum kahwin tidak semestinya berkapel. Bukan mudah menafsirkannya, tetapi hakikat jelas, cinta itu suci, dan bercinta sebelum kahwin tiada salahnya, namun yang dilarang adalah berkapel, benda yang banyak mudarat berbanding kebaikan. Apa sebenarnya cinta sebelum kahwin? Bukankah sama sahaja dengan kapel?


Oh kapel, aku akui memang pernah berkapel, sebelum aku mengambil jalan kapel selepas kahwin. Adakah aku putus asa dengan cinta wanita? Tidak sama sekali. Aku banyak mendapat pengajaran yang bermakna, dan aku dapat membezakan makna cinta sebelum kahwin dan kapel.


Kali terakhir aku berkapel, yang semestinya ku jaga batas antara diriku dan si dia. Dan aku sudah berjanji, cukuplah yang ini, tidak ada lagi seterusnya. Bukan bermaksud aku banyak berkapel sebelum ini, hakikatnya ini kali ketiga aku berkapel. Kami berkapel dengan cara yang nampak “baik”, tiada istilah bersentuh tangan, berjumpa tak berdua, kerana ditemani oleh kawannya, adiknya dan juga makciknya! Hakikatnya, itu pada zahirnya, bukan pada batinnya.


Perpisahan Terasing


Kerana apa? Perasaan sayang, cinta yang mendalam pada yang bukan halal. Syaitan sentiasa cuba meyelusup supaya ada ruang agar kami leka dariNya. Biarpun tiada benda tak elok kami buat pada zahirnya, tapi secara halus, benda ini telah menghumban kami ke arah yang tak elok.
Sehinggalah satu hari, dia memutuskan untuk berpisah, kerana tidak ingin berkapel. Ingat aku mahu macam tu? Kerana pandangan aku tatkala itu, kami tidak pun melakukan perbuatan yang tak elok, seperti yang ku gambarkan di atas. Tapi dia mahu aku membaca satu buku, yakni “Aku Terima Nikahnya“, karya terlaris Ustaz Hasrizal. Kelu, memang aku down, malah aku cuba menyakinkan dia, tidak salah bercinta sebelum kahwin, aku cuba menjelaskan sebaiknya, bahawa cinta itu suci, jangan kita mencemarkannya dengan perkara tidak elok, dan kita tidak pernah buat benda yang tak elok.


Itu sebelum aku baca karya Ustaz tersebut. Itu hanya kata-kata dari seseorang yang cuba membuat Teori Evolusi Cinta. Macam orang cakap, “kami bercinta pun, tapi kami selalu berbicara tentang agama”, “Dia sms tentang hadislah, bukannya kata-kata puitis cinta”. Sekadar ucapan mulut, tetapi bukan dari hati. Itulah bila syaitan cuba menyelinap dalam hati, supaya yang dinampak itu berbeza dari yang tersirat. Sebenarnya bagaimana bercinta sebelum kahwin itu?


Menanti Yang Tidak Pasti


Bila sudah down kerana putus, aku katakan ingin menantinya, kerana aku yakin dia jodohku. Kerana apa? Kerana bagiku kami berpisah tidak ingin kapel sahaja, jadi cukuplah sekadar kawan. Bila tiba masanya, aku akan meminangnya, sesuai jalan yang diredhaiNya.


Ini lagi satu bahaya mendatang. Bagaimana jika yang ditunggu itu suka orang lain? Bagaimana jika dia dipinang terlebih dahulu dan dia menerimanya? Semestinya 100% aku akan salahkan dia, kerana dia cuma sekadar melepaskan diri dariku. Mungkin benar dia jemu sudah mendapat lelaki sepertiku?


Disinilah akal memainkan peranan, disinilah tuhan memberi petunjuk kepadaku. Apa yang ku lakukan ketika itu? Aku meminta pertolongan seorang sahabat untuk membeli buku tersebut, yang ketika itu telah terbit dalam 3 siri. Masa tu, buku pertama amat mustahil untuk dijumpa, kerana sold out! Dan aku berkeras, jika tidak jumpa buku pertama, aku tidak ingin membeli yang kedua dan ketiga. Alhamdulillah, ada juga buku itu, dan ku dapat buku itu tatkala Aidilfitri tinggal sehari dua lagi.


Selautan Ilmu


Apa yang ku dapat? Pelbagai ilmu, yang membuka mindaku yang sempit. Satu hikmah yang amat besar maknanya. Dan sebenarnya doaku makbul, yakni dialah yang terakhir, dan aku tidak ingin berkapel lagi selepas ku bersama dia dulu.  Sebabnya? Aku bukanlah lelaki sewenang-wenangnya jatuh cinta dengan gadis lain. Dan kerana perpisahan membawaku untuk mencari seorang wanita untuk dijadikan isteri, bukannya menjadikannya girlfriend.


Cabaran? Sememangnya ada, aku tidak terlepas dari ujian yang mendatang. Mungkin masih ada cinta terhadap dia, tapi kini, aku tenang, aku tak harapkan apa-apa. Tak ku nanti, tak ku tunggu, yang ku tahu, doaku agar dia mendapat yang terbaik dalam hidupnya. Siapa tahu yang terbaik itu adalah diriku? Tapi aku tak fikir tentangnya, seperti yang ku katakan tadi, tak ku tunggu, tak ku nanti, redhalah dengan ketentuan Ilahi.


Dan sebenarnya apa cinta sebelum kahwin? Yakni seperti mana entri sebelumnya, tentang kisah cinta romantis, yakni antara Ali dan Fatimah. Mereka hanya memendam perasaan mereka, dan redha dengan ketentuanNya, kerana takut cinta mereka mendatangkan kebinasaan, kerana takut cinta mereka melebihi cinta kepadaNya.


Jadi diam adalah jalan terbaik, menahan rasa di dada. Ya, kebanyakkan katakan cinta perlu diluahkan, tetapi jika ingin diluahkan, biarlah setelah pasti dia milikmu. Bagaimana jika terlepas? Redha lah dia bukan ketentuan untukmu.


Meminang Tak Semestinya Bernikah Terus


Tetapi, nanti kita tak kenal dengan perangai dia? Bukankah itu parah? Perhatian! Meminang tak semestinya terus bernikah. Disini peranan mengikat tali pertunangan. Yang mana pertunangan itu adalah untuk megenal antara satu sama lain di samping dengan keluarga pasangan.


Dan masa ini adalah yang paling mencabar, kerana jika tidak berkenan di hati, kemungkinan besar akan berlaku perpisahan. Tapi ini bukan bermaksud kita tidak tahan dengan sikapnya, mungkin ini ada faktor lain yang agak complicated. Kerana sikap itu boleh kita didik, bukannya memburukkan lagi orangnya.


Tapi, pertunangan bukan lesen halal untuk melakukan seperti mana orang berkapel. Adakah tidak boleh sms? Tidak boleh bertemu? Tidak boleh bertelefon? Boleh, sms sekadar perlu, bertanya khabar. Bertemu bukan berdua, yakni berdating, tetapi ditemani mahramnya, dan sekadar perlu. Bertelefon lihat kepada keperluan juga, yakni bersederhana di dalam setiap perkara.


Disitu kita boleh berkenalan, dan kita juga boleh tahu sikapnya dengan keluarga tunang kita. Apa maksudnya keperluan? Yakni bertanya khabar, atau apa-apa urusan penting, tanpa lenggok-lenggok bait cinta, tanpa hati menghadirkan sesuatu perasaan yang tidak sepatutnya. Mustahil bukan? Itu jika kita berfikiran sempit. Senang cerita, “Hati itu tenang dengan kebaikan,  dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”. Pesanan nabi kepada kita.


Jodoh DariNya


Sesimple kita cuba membuang kegelisahan, beristighfarlah kepadaNya, penuh makna mendalam di sebalik maksud itu. Tetapi, bagaimana kita mencari yang terbaik? Bukan mudah nak mencari teman hidup yang betul-betul baik. Usaha memang perlu, tetapi untuk dapat yang terbaik, kita hendaklah jadi yang terbaik.


Bukankah di dalam Al-Quran jelas menyatakan, yang jahat untuk yang jahat, yang baik untuk yang baik. Kerana yang baik akan sentiasa mencari kecantikan agama, tetapi yang jahat selalunya mata telah lali dengan kecantikan dunia.


Semua itu dari hati, untuk mencari kekasih halal bukan sesuatu yang mudah, tetapi bukan sesuatu yang susah juga. Yakin dengan jodoh yang mendatang, kerana sudah tertulis jodoh itu ada, cuma antara lambat dan cepat sahaja.


Bila mana ada pilihan hati, istikharahlah kepadaNya. Jika yang belum kahwin tetapi telahpun meninggalkan dunia yang fana? Kematian bukan bermakna dia tiada jodoh dengan sesiapa, tetapi jika tergolong dalam orang yang soleh, jodohnya telah termaktub di syurga. Janganlah resah dengan persoalan jodoh, tetapi resah adakah kita benar-benar cukup baik untuk bertemu jodoh kita!


Cintailah jodoh yang belum diketahui, yakinkanlah diri bahawa saat itu pasti akan tiba, yang lelaki selalunya memulakan, dan pinanglah wanita yang dirimu yakin untuk dijadikan teman hidup. Yang dirimu cinta kerana keperibadiannya, kerana takut untuk berbuat dosa, akibat pandangan yang selalu tidak dijaga.


Wanita pula, tidak salah memulakan dahulu, seperti mana Siti Khadijah menyatakan hasratnya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dan sekali lagi, dengan menggunakan jalan yang diredhaiNya.


Fasa Yang Perlu Difahami


Selepas itu memasuki alam perkahwinan. Banyak perkara yang perlu ditempuhi dan cabaran yang diharungi, disinilah kesabaran menguji. Fahami konsepnya terlebih dahulu, sebelum bersedia ke arahnya. Tatkala kita memahaminya, sememangnya kita telah bersedia sepenuhnya.


Perkahwinan itu indah, jadi bergembiralah jika telah mencapai ke arah itu. Demikian artikel yang panjang ini, sama-samalah kita memikirkan dengan akal bukan dengan nafsu.Terpulang kepada kita, apa tindakan seterusnya.


Diri ini turut berpesan pada diri sendiri, semoga ketenangan yang ku temui kini, dapat aku jadikannya sebagai pemangkin kehidupan seterusnya. Banyak perubahan ku rasakan, dan aku bersyukur kepadaNya. 

Apapapun, I’m Not Good, But I Want To Be Better!

* Ini coretan  Ceritera, terpanggil untuk kongsi bersama. =)  [Tidak diedit sepenuhnya]

No comments: