Wednesday, April 18, 2012

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Jodoh, Jodoh, Jodoh. Sampai Lembik!


Dahulu, semasa saya memulakan kembara cinta. Saya sama seperti kebanyakan orang. Terperangkap dalam paradigma jodoh. Biasalah, semangat nak dapat jodoh yang baik, bercinta dengan cinta yang baik. Jadi, urusan jodoh ini sering berada dalam fikiran.

Sehingga satu tahap, saya usaha menjadi ala-ala malaikat dengan mengangkat statement seperti:

“Kita ini hanya menunggu jodoh yang Allah telah tuliskan untuk kita di lauh mahfudz sana.”

‘Menanti’, ‘Memendam’, dengan kepercayaan bahawa, nanti Allah bagi kita jodoh yang baik. 

Ya, begitulah yang saya percaya. Dan ketika waktu-waktu begini, sangatlah saya obses dengan mimpi-mimpi yang saya rasa, saya ulang, saya rasa menjadi isyarat kepada jodoh saya.

Hari ini, saya telah lama meninggalkan semua itu.

Saya melihat, perasaan sedemikian adalah penyakit.

Hingga Tidak Tentu Arah.

Apabila saya menjadi penulis dan mula menempa nama, maka Facebook saya sering diketuk dengan pelbagai persoalan mengenai cinta. Soalan paling popular adalah: “Bagaimana hendak mengetahui bahawa dia itu jodoh saya?” Begitu.

Ramai yang bercerita akan dia bermimpi sekian dan sekian. Terlihat wajah sekian dan sekian. Berlaku sekian dan sekian. Ada pula yang menceritakan tentang degupan jantungnya begini dan begitu, akalnya yang begini dan begitu, dan sebagainya. Ada pula yang cuba menjustifikasikan perasaannya dengan menyatakan kebetulan-kebetulan yang berlaku seperti asyik terserempak, bila diperiksa minat si fulan/fulanah itu sama dengan dirinya, dan sebagainya.

Kemudian mereka menceritakan bagaimana mereka tidak tenang, kerana asyik terfikirkan perkara ini. Bagaimana mereka takut untuk membuat keputusan yang ‘tidak direstui petanda-petanda’ ini. Lebih teruk, ada pula yang telah bertunang, telah mengikat janji hendak berkahwin, sudah berurusan dengan keluarga dan sebagainya, kemudian diserang ‘fikiran-fikiran sebegini’, hingga menjadi tidak tentu arah dan ragu-ragu dengan pilihannya.
Masa muda, habis disibukkan dengan perasaan-perasaan sebegini. Kemudian buat keputusan terburu-buru, kerana ‘dipandu’ kefahaman sebegini.

Mereka menamakannya dengan pelbagai nama.

‘Panggilan Tuhan’, ‘Petunjuk Tuhan’ dan pelbagai nama yang menunjukkan ketuhanan, untuk menyatakan inilah dia ‘hidayah, ilham’ daripadaNya.

Tetapi bagaimanakah petunjuk Tuhan itu boleh menjadikan seseorang tidak tenang dan fikiran seseorang bercelaru? Bagaimanakah Tuhan, memandu seseorang tanpa praktikal yang logik sedang hamba-hambaNya hidup di alam realiti?

Jodoh, Di TanganNya. Mereka Sendiri Kata.

Siapakah Jodoh Kita?

Sebenarnya satu soalan yang tidak mampu dijawab sesiapa.

Apakah dengan yang kita berkahwin, itu jodoh kita? Belum tentu. Ada orang berkahwin, cerai. Ada orang berkahwin, kemalangan, seorang mati dan seorang lagi hidup, lalu yang hidup kahwin pula dengan orang yang lain.

Jadi apakah mafhum ‘jodoh’? Ya. Terlalu abstrak. Tidak mampu diikat dengan apa-apa.

Maka bagaimanakah kita boleh menyibuk-nyibukkan diri berfikir akan perkara sebegini sehingga menganggu kehidupan kita?

Jodoh itu ditanganNya. Ayat ini, sering disalah guna, untuk melarang mereka yang ingin berusaha mencari jodoh yang baik buat diri mereka. Mereka ini akan sering dinasihatkan oleh sekumpulan manusia: “Tak payah usaha kuat sangat, jodoh itu di tangan Allah, Dia telah menetapkanNya.”

Apakah nasihat ini? Ya, jodoh itu di tangan Allah SWT. Justeru, kita tidak tahu. Tetapi Allah SWT telah memberikan kita petunjuk, ‘orang yang bagaimana sepatutnya kita ambil sebagai pasangan’ melalui firmanNya:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” Surah Al-Baqarah ayat 221.

Jadi, memang kita tidak akan tahu ‘siapa’ jodoh kita. Tetapi kita tahu, ‘orang yang bagaimana sepatutnya kita ambil sebagai pasangan’. Maka bergeraklah. Cari. Risik. Selidik. Usaha dapatkan yang terbaik. Jelas Allah SWT sendiri mengisyaratkan kita untuk ‘mencari’. Lihatlah bagaimana Dia berfirman: Dan janganlah kamu berkahwin dengan…”

Bukankah itu tandanya, pilihan di tangan kita? Kalau semuanya telah diaturkan, ditetapkan, buat apa Allah SWT pesan agar kita jangan berkahwin dengan sekian-sekian jenis orang?

Maka, sepatutnya, kita bergerak mencari. Bukannya menanti petanda-petanda ajaib. Kita ini walikah sehingga kita dapat membezakan mana satu mimpi yang Allah berikan petunjuk, mana satu mimpi mainan syaitan? Kita ini walikah sehingga kita dapat menjangka dengan tepat kebetulan-kebetulan itu adalah tanda Allah nak si fulan/si fulanah itu jodoh kita? Bukan. Kita bukan wali!

Maka hendaklah kita berpijak di bumi yang nyata.

Bergerak secara praktikal!

Jodoh di tanganNya. Kita tidak tahu. Sebab itu kita berusaha!

Jangan Takut Selepas Berusaha.

Sebab itu, amat penting untuk kita meneliti semula kefahaman kita terhadap rumahtangga di dalam Islam. Tujuan berumahtangga. Ianya adalah untuk membina ummah. Bukannya untuk berseronok-seronok, sekadar hendak memenuhi kehendak nafsu dan hayat.

Bila kita memahami bahawa rumahtangga adalah untuk membina ummat, maka kita tidak akan serahkan perkara sebesar ini semata-mata kepada mimpi.

Bila kita telah berusaha, telah bersungguh-sungguh mencari ciri-ciri yang baik, yang sesuai untuk dijadikan isteri/suami kepada kita, maka percayalah dengan pilihan itu. Apa yang ada di tangan, usahakan. Sebab itu, perlu ada reason yang sangat kuat, kenapa kita pilih si dia untuk menjadi isteri/suami kita.

Sebab itu saya sarankan agar kita meneliti, menyelidik, usaha untuk at least kenal serba sedikit dengan orang yang ingin kita jadikan sebagai bakal pasangan kita dalam rumahtangga. Ada banyak cara yang syar’ie dalam hal ini. Tidak perlu mengorat, tidak perlu bercouple. Yang diperlukan adalah kesabaran dan keberanian.

Pergi kepada wakilnya, tanyakan perihalnya serba sedikit. Pergi kepada yang mengenalinya, tanya bagaimana dia. Perempuan pun sama, pergi selidik. Tanya sesiapa yang kenal dengannya. Kalau dia ada adik atau kakak perempuan, gunakan peluang itu sebaiknya. Kalau ada wakil lelaki dari pihak anda, minta agar wakil lelaki anda selidiki diri lelaki itu.

Yang penting, carilah sebab yang paling ampuh(semestinya sebab yang syara’ dan diredhai Allah) untuk menjadikan dia pasangan kita.

Bukan atas mimpi, bukan atas kebetulan-kebetulan.

Kemudian sibuk fikirkan itu adalah jodoh, jodoh, jodoh, sampai serabut kepala dan lembik peribadi. Syok sendiri.

Usaha, pilih, dan selepas pilih, istiqomahlah!

Usaha dah syara’, jalan pilih dan ciri-cirinya sudah menyenangkan jiwa kita, apa lagi mahu diragu-ragukan? Jalan terus. Usah pandang-pandang kiri dan kanan lagi.

Penutup: Buanglah Mainan Perasaan Ini. Cinta Adalah Serius!

Buanglah mainan perasaan seperti mimpi-mimpi dan kebetulan-kebetulan ini. Buanglah statement-statement malaikat seperti ‘Menanti Jodoh Yang Telah Ditetapkan’ dan sebagainya. Mana kita tahu?

Mari, saya ajak kepada yang lebih praktikal. Saya dahulu juga sibuk dengan benda-benda jodoh ini, tetapi selepas saya memahami betapa Allah SWT menganjurkan kita agar berusaha, dan betapa saya memahami Islam ini adalah praktikal, maka saya telah meninggalkan semua kelembikan ini.

Islam itu berdiri di atas perkara yang solid. Bukan rasa-rasa, dan perkara selemah mimpi!
Bukannya saya melarang perkara seperti istikharah. Namun meletakkan semua ke atas perkara yang kita sendiri tidak pasti, samalah seperti kita menguruskan urusan Tuhan. Allah sendiri suruh kita usaha, sudah Dia berikan ciri-ciri yang Dia suka, maka apa lagi? Usahakanlah!

Isu Istikharah juga hangat. Banyak salah faham di dalamnya. Sangka orang, istikharah, maka jika selepas itu mimpi, itulah jawapannya. Jika selepas itu nampak ‘tanda’, itulah jawapannya. Sedangkan, perkara yang sebenar bukan semudah itu!

Saya akan terangkan perihal istikharah secara khusus dalam lembaran yang lain.

Yangpenting, buanglah permainan perasaan ini.

Jangan jadi nujum jodoh.

Pandanglah dengan mata realiti. Bukan mata majazi.

Usalah dengan apa yang telah Tuhan beri, bukan fikirkan apa yang Tuhan akan beri.

Ketepikan kelembikan atas perihal jodoh, jodoh, jodoh ini!


...........................................................................................................................


Belakangan ini, hasil tulisan serta status FB Akh Hilal menyenangkan. 

Ya, memang 'sweet'. Iyalah, orang tengah bahagia. haha. [selamat ya akh!]

Namun bahagia yang terarah. Saya senang dengan pencerahan yang diberikan beliau.

Entri ini khusus untuk kamu, dia juga saya.

Terkadang seseorang itu tersilap dalam membuat perkiraan, terutama perkara yang melibatkan perasaan. [Harus bagaimana lagi?!]

Terpanggil untuk berkongsi artikel ini. 

Moga bermanfaat! Insya Allah.

2 comments:

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Jodoh, rezeki, musibah, maut semuanya ketentuan Allah SWT sebelum kita diciptakan. Surah AlHadid:22مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْ‌ضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَ‌أَهَا ۚidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya.
Oleh kerna takdir dan jodoh ini seiring dengan amalan yang kita lakukan mengikut suat hadis nabi maka kuasa pemilihan adalah pada kita. Ketika itu, kita diberi 2 pilihan samada yang baik atau tidak. Surah AlBalad:10 وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
Mengenai jodoh, siapa orangnya bukanlah persoalan utama tetapi masalah psgn suami-isteri mesti menegakkan hukum Allah SWT. Hidup didunia mesti dlm petunjuk Allah. Surah AlBaqarah:230 أَن يَتَرَ‌اجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ ۗSekiranya psgn (lelaki dan perempuan) ingin berkahwin, sesungguhnya berat sangka Kami bahawa kedua2nya dapat menegakkan hukum Allah`.

Walaupun ayat ini mengkhususkan mengenai kahwin kali kedua tetapi dalil inilah yang menjadi `istidlal` dalil dlm Usul AlFiqh mengenai syarat jodoh. Sebab itu, Imam Syafie dan Imam Nawawi rah. alaihuma sampai keakhir hayat tidak berkahwin! Tidak ada siapa wajibkan perkahwinan tetapi setelah berkahwin, pastikan bahawa mrk menitik beratkan mengenai agama! Jika tidak, masalah yang terlalu besar diakhirat. Persoalannya skrg, berapa ramai mereka yang telah melalui alam perkahwinan, sejauh manakah mrk telah mentadabbur AlQuran bersama dan melakukan sesuatu untuk agama Allah SWT. Walllahualam

Anonymous said...

tajnur, jazakallah. pencerahan yang bermanfaat. barallahu fik.

-najwa