Tuesday, May 15, 2012

Belaian

Saudara,
Saya pernah menulis pengajaran besar yang seharusnya kita hayati kesan daripada peristiwa besar isra’ dan mikraj di dalam artikel saya bertajuk Isra’ dan Mikraj: 2 Pengajaran penting. Salah satunya adalah mendidik jiwa anak-anak kita di awal usia mereka lagi. Saya juga pernah menulis pelukan dari hati ke hati sebagai satu kaedah terbaik menyampaikan mesej kepada anak-anak kita.

Saudara
Fitrah manusia ingin dibelai. Tidak kira usia kita sentiasa ingin dibelai samada ibu bapa atau suami/isteri. Namun belaian ini sudah kurang dilakukan apabila umur anak-anak kita meningkat dewasa.

Ramai ibu bapa mengeluh tentang kenakalan dan kedegilan anak-anak. Masalah menunaikan solat, masalah ke sekolah, masalah tidak mendengar kata dan sebagainya. Namun malang sekali kerana masalah ini tidak pernah kita lihat dengan kesedaran tertinggi.

Saudara,
Mari kita mengingati semula ketika anak-anak kita masih kecil. Ketika bayi mereka dibelai cukup manja. Kita mengalirkan kasih sayang dan cinta kita kepada mereka tanpa perlu berkata-kata. Hanya pelukan yang erat serta senyuman kasih mampu membuatkan bayi kita menjadi tenang. Anak-anak kita berasa sangat disayangi dan dikasihi.

Apabila anak-anak kita mula meningkat umur, sudah tahu berjalan dan bermain itu ini, kita tidak lagi menggunakan  pelukan erat kepada mereka. Kita tidak menyampaikan mesej kasih sayang kita kepada mereka dengan belaian penuh kasih sayang.

Di ketika ini kita mula menggunakan verbal iaitu larangan-larangan menggunakan suara. “Jangan buat itu”, “Jangan usik itu” dan pelbagai lagi kita gunakan. Alasan kita adalah untuk mendidik kerana kita sayang kepada anak-anak. Namun sebenarnya penerimaan kanak-kanak tadi berbeza.
Dikala kecil mereka dibelai tetapi mengapa kini mereka dimarahi atau dilarang dengan suara yang tinggi. Jiwa mereka terganggu.


Adik ada buat salah ke...?

Saudara,
Anak-anak kecil ini hanya menjadikan ibu bapa tempat bergantung. Walaupun di hantar ke nursery atau dijaga oleh pembantu rumah, namun mereka tetap inginkan ibu bapa untuk menagih kasih. Dunia kanak-kanak adalah dunia yang tidak mampu berdikari.

Bayangkan ketika mereka memerlukan ibu bapa sebagai orang yang terbaik mendidik mereka, kita hanya menggunakan banyak kata-kata larangan berbanding belaian. Kita jarang lagi menyalurkan kasih sayang dengan pelukan. Kita berasa mereka faham sendiri bahawa kita sayang mereka.

Apabila anak-anak mula bersekolah, kawan-kawan merupakan orang yang terdekat dengan mereka. Lama kelamaan mereka akan berasa kawan-kawan lebih memahami mereka berbanding ibu bapa. Pergantungan kepada ibu bapa perlahan-lahan mula jauh dari segi pembangunan sahsiah dan sosial mereka. Hanya dari segi ekonomi atau perbelanjaan sahaja mereka bergantung penuh kepada ibu bapa.

Nah! Di saat ini, jika kita tidak mendidik mereka dari awal lagi dengan belaian kasih sayang, akhirnya mereka lebih senang bersama kawan-kawan mereka berbanding kita. Anak-anak sudah mula mencari kebahagiaan bersama kawan-kawan mereka. Mereka lebih yakin dan percaya kawan-kawan berbanding ibu bapa.

Ibu bapa pula hari ke hari memarahi anak-anak ini kerana degil dan nakal. Tidak mahu mendengar kata dan sebagainya. Ini membuatkan mereka terus menjauhi ibu bapa. Belaian yang diharapkan seolah-olah tidak mungkin akan dapat diterima lagi.

Walaupun ibu bapa mengambil berat tentang pelajaran anak-anak ini namun dari segi jiwa, kita sebenarnya menghadapi masalah. Jika ada anak-anak yang mendengar kata ibu bapa, ia hanya kerana rasa hormat kepada ibu bapa sahaja. Rasa kasih dan sayang sudah mula berkurangan.

Apakah yang akan berlaku jika anak-anak ini sudah meningkat remaja? Saudara boleh fikirkan berdasarkan remaja-remaja yang ada sekarang ini.

...................................................................................................................

Saya mengikuti artikel yang ditulis oleh Tuan Fuad Latip dalam Jiwa Positif Hidup Bertuhan.  Hampir kesemua artikel membawa manfaat. Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi perihal keibubapaan. 

Belaian. Rasa yang semakin puput. 

#terkesan dengan beberapa subjek yang dipelajari belakangan ini.

No comments: