Monday, May 14, 2012

Izinkanku mengutip semangat

 I

Mei. Bulan yang sarat dengan pelbagai sambutan. 

Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Ibu,  Hari Guru dan pelbagai jenis hari lagi. fuh.

Juga, hari peperiksaan. Ahah. 

Lazimnya, hujung penggal pertama - juga penggal kedua, saban tahun, di mana-mana akan ada entri atau status berkaitan peperiksaan. Tak kira di mana sekalipun seseorang itu belajar; dalam negara, luar negara, dalam negeri, luar negeri, dalam tanah (?!).

Peperiksaan ini, peperiksaan bertulis - menilai tahap keupayaan seseorang dalam memahami sesuatu perkara yang dipelajari. Ini adalah dasar  penilaian yang digunakan oleh kebanyakan institusi pendidikan di seluruh dunia. Peperiksaan bertulis.

Hakikatnya, kehidupan juga merupakan satu medan peperiksaan. Setiap saat, langkah dan niat, punya pelbagai cabang untuk dipilih. Setiap pilihan yang dilakukan, mengukur tahap keupayaan diri untuk menimbangtara sesuatu perkara. Kelak, keputusan diterima saat Hari Kebangkitan.

Sedangkan saat menunggu keputusan peperiksaan bertulis sudah rasa cuak, bagaimana pula saat menerima keputusan yang hakiki daripada Ilahi?

 Ayuh bersedia! 


II

Bingkisan daripada mama seorang teman. Indah. 

Kata teman, kuhidangkan bingkisan ini agar intipatinya mampu dinikmati bersama. Perkara baik perlu dikongsi. 

Saya senyum sendiri. [Untung kau, Haniff!]

Pada mama 20 tahun yang abang lalui adalah keindahan buat mama. Kelahiran abang dan adik-adik adalah kurniaan yang tak terhingga.

Alhamdulillah,  mama terus belajar bersyukur di atas setiap pemberian-Nya. Ingat sayang, setiap inci penyesalan adalah kerinduan pada suatu kejayaan, kerna apa yg kita tinggalkan adalah kenangan dan usah ditinjau andai membuku keresahan. Biarkan ia terus berlalu mencatat zaman. Pasti ada hikmah yang Allah sisipkan.

Sememangnya tika maya semakin rencam berencana penghuni kerap hilang wacana. Tarian kita bukan lagi gemalai rentaknya tapi bersama gendang peniup tekad dan semangat juang. Kembalinya nanti dari rantauan adalah kudup-kudup yang kan terus berkembang menyeri taman-taman nusa. InsyaAllah. 


III

Jujur, saat begini kubutuh nenda di sisi. 

Entah mengapa, nenda punya pengaruh besar dalam hidup. Butir bicara yang terlantun daripada bibirnya, penuh hikmah. Hikmah. Sesuatu yang amat berharga. Walhal perkara itu sering diulang-ulang, di meja makan, di perkebunan, hatta ketika menonton peti kaca.

"Atok, boleh akak duduk dengan atok je? Setiap masa?"

*dush* -sila kembali ke alam nyata-


IV

Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
[73:20]

 

2 comments:

Anonymous said...

all the best..:D

Anonymous said...

anon, all the best too!

-najwa