Saturday, May 5, 2012

Permainan Apakah Ini?

Permainan Apakah Ini?
Kalau silat Si Tuah merebahkan Si Jebat
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah sahabat berebut cinta
Cinta Si Tuah kepada raja
Cinta Si Jebat kepada saudara

Kalau putera raja dahulu kala
sesama bersengketa di istana
merebut hati raja dan bunda
fahamlah hamba akan ceriteranya
masing-masing berebut takhta

Kalau Feringgi melanggar Melaka
Raja Mendeliar, Si Kitol dan yang sebangsa
membuat onar membawa petaka
fahamlah hamba akan ceriteranya
bangsa penjajah menanti leka

Kalau Raffles, Light dan yang sewangsa
diutus menembusi istana memperdaya raja
dengan gerak halus lulus jarum lulus kelindan semua
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah si lemah habuan si haloba

Namun kini hamba bertanya
Permainan apakah yang kami saksikan kini?
Air yang dicencang tampak biar sampai putus
Carik-carik bulu ayam sampai sungguh cariknya
Mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
Berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
Menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan tetapi sampai di perdu hawa
Rotan biar terkerat, arang biar patah
Retak sudah menjadi belah
Mahu mati bergalang tanah
Mahu nasi biar menjadi bubur!
Sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
Yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Demikiankah suruhan Yang Esa?
Demikiankah ajaran Nabi junjungan kita?

Apakah sesungguhnya permainan yang kalian pamerkan kini?

~Kembara Bahasa~
Beijing, 19 Disember 2010
 
..........................................................................................
 
Terkesan dengan fenomena kini. 
Sebenarnya apakah corak sebenar yang ingin ditunjukkan kepada pemimpin masa hadapan? 
 
 

4 comments:

Anonymous said...

manusia...makin ramai kita kenal..makin banyak 'permainan' yang akan kita belajar...

Najwa Najihah said...

sebagai manusia juga, perlu bijak menghadapi 'permainan' itu.

lihat dengan mata hati, bukan mata asli.

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Permainan dan lakonan di pentas dunia! Semua skrip dan kata2 adalah diambil dari orang dahulukala manakala orang sekarang dan mereka dihari muka menyalinkan perkataan2nya melalui bisikan syaitan. Skrip yang sama tetapi pelakon yang berbeza walaupun mereka tidak pernah berjumpa! Surah AtTaubah:30 ذَٰلِكَ قَوْلُهُم بِأَفْوَاهِهِمْ ۖ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا مِن قَبْلُ ۚDemikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu;
Wallahualam.

Najwa Najihah said...

Waalaikumussalam tajnur,

benar, dunia layar kehidupan. manusia pelakon yang setia. kerapkali skrip diulang tayang, pada zaman berbeza.

jazakillah atas pencerahan. senang dapat berkenalan dengan kamu. moga terus menjalin ukhuwah. =)