Tuesday, February 14, 2012

Cinta Sebelum Kahwin Itu Ada. Halal.

Cinta Sebelum Kahwin Itu Ada. Halal.- Hilal Asyraf

Cinta. Rata-rata masyarakat melayu, mereka yang berkecimpung dalam gerakan dakwah, juga mereka yang berada dalam golongan ‘baik’ dan ‘bertatasusila’, apabila disebut berkenaan cinta sebelum kahwin, akan memandang negatif. Cinta sebelum kahwin kelihatan kotor dan menjijikkan. Cinta sebelum kahwin kelihatan merosakkan.

                Dan pandangan ini mendatangkan 1001 permasalahan kepada perjalanan cinta yang baik dalam kalangan muda-mudi khususnya, juga masyarakat amnya.

Definisi Cinta Kita, Ambil Daripada Mana?

Bila disebut cinta, apakah yang kita nampak dan faham?

                Jika disebutkan cinta kepada saya, saya memahaminya sebagai ‘untuk bersama ke syurgaNya’. Tiada lain. Untuk saya, ‘apa-apa sahaja yang membawa kepada neraka Allah SWT’ itu bukan cinta. Definisi cinta inilah yang saya pakai, dan saya kira, kita semua patut lihat bahawa inilah dia cinta. Kerana, apabila kita menyatakan bahawa kita kasih, kita sayang kepada seseorang, adalah amat mustahil kita hendak mencederakannya, menyakitkannya, melukakannya. Semestinya kita mahu memberikan yang terbaik kepadanya. Maka apakah ‘terbaik’ yang sebenarnya selain syurga Allah SWT?

                Tetapi saya melihat, definisi ini tidak dikongsikan oleh kebanyakan masyarakat.

                Rata-rata memandang bahawa cinta adalah hubungan intim antara lelaki dan perempuan. Cinta mesti ada kaitannya dengan melalaikan, mengasyikkan. Cinta dengan seks tidak dipisahkan. Cinta mesti ada pegang-pegang tangan, keluar bersama, berdua-duaan, mengucap kalimat-kalimat jiwang, angau dan sebagainya.

                Ya. Itu pandangan kebanyakan apabila disebut berkenaan cinta.

                Kerana itu, apabila disebut ‘cinta sebelum kahwin’, kelihatannya tersangat ‘taboo’. Akhirnya muncul lah ajaran-ajaran bahawa ‘cinta selepas kahwin’ lebih membawa berkat dan sebagainya. ‘Cinta sebelum kahwin’ adalah haram dan sebagainya. Begitulah.

                Sebenarnya, definisi cinta yang dipegang oleh masyarakat ini, datangnya daripada mana?

                Mudah saya ungkapkan, ini semua adalah daripada cinta yang ditunjukkan di dalam Hollywood. Cinta lelaki perempuan, dengan ciuman, dengan keluar berdua-duaan, dengan sentuhan, dengan seks, tanpa mengira batas agama dan tatatertib kesopanan masyarakat.

                Ya. Kita nampak cinta dengan definisi itu.
                Sebab itu akhirnya, cinta kelihatan jijik untuk dibicarakan.
                Cinta diharamkan sebelum perkahwinan.
                Sedangkan, cinta hanyalah mangsa keadaan.
                Manusia itu sendiri yang perlu memperbetulkan pandangan.

Apabila Cinta Silap Dipandang.

Apabila kita silap mendefinisikan cinta, maka silaplah kita akan cara melayannya.

                Kesilapan ini membawa kepada larangan terhadap remaja untuk mempelajari cinta yang sebenar.

                “Hish, kecik-kecik dah gatal!”

                Akhirnya, dek kerana tidak mendapat pendidikan cinta yang sebenar, pendefinisian cinta yang sebenar, anak-anak menuruti orang-orang tua yang menggunakan definisi cinta hollywood, lantas menterjemahkan cinta sedemikian rupa. Kerana itu, ‘cycle’ ini tidak dapat kita pecahkan.

                Kesilapan ini juga membawa kepada terbukanya maksiat.

                “Mak, rasanya saya ni perlu dah kahwin.”
                “Hang budak lagi. Belajar dulu.”

                Sedangkan, sepatutnya itulah peluang ibu bapa mulakan perbincangan yang baik kepada anak-anaknya berkenaan cinta dan rumahtangga. Bukan dijawab sambil lewa sedemikian rupa. Dengan jawapan sedemikian, sang anak memberontak dan akhirnya mengambil jalan sendiri dalam bercinta. Yang mana kita sedia maklum, kebanyakannya tidak berakhir dengan baik, dan merentas jalan-jalan yang Allah murkai.

                Kesilapan ini juga membawa kepada kesukaran terhadap perkara yang sebenarnya mudah.

                “Awk, sya rsa kta kne bncang bnda ni guna mlut. Ckp.”
                “Gna email or sms je bleh x?Sbb nak jga dari zna hati.”
                -----------------------------------------------------------
                Perbualan di atas ini adalah SMS
                ------------------------------------------------------------

                Dan akhirnya, perbincangan yang sepatutnya mudah, menjadi susah dengan pelbagai interprestasi. Tulisan yang tidak bernada, membawa pelbagai spekulasi menjadikan perbincangan yang sepatutnya lancar, menjadi berjela-jela, dan membuatkan keputusan yang patut boleh didapatkan, bertukar menjadi perbalahan. Akhirnya ini merosakkan hubungan kedua-dua pasangan yang ingin mendirikan perkahwinan.

                “Awak, janganlah tinggalkan saya, saya cintakan awak!”
                “Awak, apa bukti awak cintakan saya?”
                “Saya sanggup serah segala-galanya kepada awak.”
                Diikuti dengan ciuman berahi, dan selepas itu hubungan seks.

                Iya. Itu satu lagi contoh lain apabila silap mendefinisikan cinta.

                Dan jika ingin saya berikan contoh, saya boleh berikan pelbagai lagi contoh akan ‘flaw’ atau ‘kecacatan’ apabila kita silap mendefinsikan cinta. Perlahan-lahan, ini membawa kepada kerosakan dan keruntuhan di dalam masyarakat.

                Kumpulan yang ‘mengharamkan cinta sebelum kahwin’ dengan membuta tuli, tanpa pembetulan dalam pendefinisian cinta, tanpa usaha membersihkan cinta yang sebenar, hanya akan membawa kerosakan. Saya tidak memandang bahawa manusia perlu kepada ayat: “Cinta sebelum kahwin itu HARAM!”, tetapi saya memandang secara positif bahawa, yang manusia perlukan sebenarnya adalah ayat: “Cinta yang sebenarnya adalah begini dan begini. Jika ingin bercinta, begini dan begini caranya.”

Remaja, Veteran, Perlu Memegang Definisi Cinta Yang Betul.

Pada saya, baik remaja dan veteran, kedua-duanya perlu memegang definisi cinta yang sebenar.

                Cinta, kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurgaNya.
                Apa-apa yang membawa ke nerakaNya, itu bukan cinta.

                Maka semestinya apabila kita bicarakan akan ‘cinta sebelum kahwin’, perkara-perkara yang melanggar syariat itu semestinya tiada. Cinta sebelum kahwin yang sebenar bukanlah couple, bukanlah sesuatu yang membawa kepada kelalaian, bukanlah sesuatu yang merosakkan. Cinta sebelum kahwin yang sebenar pada saya adalah persediaan diri, persiapan emosi, peningkatan kematangan, pemantapan ibadah dan usaha untuk mempersiapkan diri dalam hal kewangan. Itulah dia cinta sebelum berkahwin.

                Orang yang benar cinta akan pasangannya, akan mempersiapkan diri. Akan meletakkan target, bila hendak berkahwin. Orang yang benar cinta akan pasangannya, akan berta’aruf dan merapatkan diri dengan ayah dan ibu bakal isterinya.

                Veteran yang memahami makna cinta yang sebenar, akan berjaya membawa urusan perkahwinan anak-anaknya ke arah yang selamat dan diberkati oleh Allah SWT. Anak-anak mereka akan terdidik dengan cinta yang sebenar, lantas menjauhi cinta yang rosak dan palsu. Anak-anak mereka akan rasa indah dengan keluasan Islam dan rasa berpuas hati duduk di dalam agama yang menjaga serta memandu fitrah manusia.

                Remaja yang memahami makna cinta yang sebenar pula, tidak akan terburu-buru dalam urusan perasaan. Kerana hakikat cinta yang sebenar adalah ianya dipandu oleh keimanan. Maka tidaklah mudah dia meluahkan rasa cinta, tidaklah dia mudah hendak terjatuh hati di sini dan sana. Dan apabila dia jatuh cinta, dia akan mengambil jalan yang benar. Malunya bertempat, dan berpada-pada. Dia akan menyegerakannya, dan dalam penyegeraannya itu, dia berjaga-jaga.

                Untuk saya, inilah dia yang sepatutnya kita ada.

Penutup: Cinta Sebelum Kahwin, Ada. Halal. Dengan Definisi Saya.
Cinta sebelum kahwin itu ada. Halal. Dengan definisi saya.

                Cinta itu pada saya mahal, dan tinggi harganya. Cinta itu pada saya membina, dan mustahil merosakkan jiwa. Cinta menjadikan seseorang itu matang, berfikiran jauh, bertanggungjawab, dan berusaha mempersiapkan dirinya. Cinta itu pada saya suci, bersih dan membersihkan pula jiwa-jiwa yang menghargainya.

                Silap mendefinisikan cinta, kita akan bersalah kepada yang tidak sepatutnya.
                Kita akan menyukarkan mereka yang tidak sepatutnya kita sukarkan.
                Kita akan mempermudahkan mereka yang tidak sepatutnya kita permudahkan.
                Islam adalah agama yang bukan mengharamkan fitrah. Tetapi mengawalnya.

                Maka bagaimanakah cinta itu boleh dikatakan haram? Sedang cinta itu adalah antara fitrah yang utama. Sebelum berkahwin, selepas berkahwin. Halal. Tinggal bagaimana kita mendefinisikan cinta itu yang membezakan.

Maka yang sepatutnya kita lakukan adalah membersihkan cinta.
Bukan mengharamkannya. Mengharamkannya, hanya akan membawa kepada 1001 lagi kerosakan kepada masyarakat kita.

 

Cinta. Rosak dalam tangan manusia yang tidak mendalaminya.

Wednesday, February 8, 2012

Kita Sedang Sama-Sama Bahagia...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kebelakangan ini,
aku asyik memikirkan tanggungjawab yang berada di bahuku,
satu persatu yang harus diselesaikan.

Another few weeks
untuk aku menghabiskan saat-saat manis dan saat-saat pahit di unisza,
aku pasti,
aku sangat gembira untuk meninggalkan unisza,
dan aku sangat sedih untuk meninggalkan unisza.

Pelik bukan?
tapi ini kerana adanya aku kau awak saya kamu mereka dan kami.
kalian telah mewarnakan hidup aku bagai pelangi dan bagai awan gelap.

Tapi aku tidak pernah menyesal di sebalik warna suram mahupun warna pelangi .
kerana kalian mengajar aku untuk mematangkan diri.
berdiri pada kaki sendiri.
walaupun kadangkala aku tersesat dalam dunia sendiri,

Aku mengerti,
sebenarnya kita punya rasa yang sama,
cuma ada tembok yang sedang memisahkan antara kau dan aku,
mungkin kita sendiri yang membina tembok itu.

Kau faham dan mengerti apa yang aku coretkan .


Kita sama-sama sedang bahagia kan? Jadi, mengapa harus mencemburui satu sama lain?


Berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta,
Kerana tanpa diberitahu pun, Allah sedia mengetahui,
Doa ialah pengabdian daripada seorang hamba kepada tuhannya.





Don't let our friendship be superficial,
let it be an ukhwah,
friendship that  lasts till Jannah,
Wasalam.
....................................................................................................................................................................
~ di-kopi-pes sepenuhnya... Tuan punya tanah yang budiman, Cik Puan Siti Fatimah.

Wednesday, February 1, 2012

Hilang Senyuman : Penyakit Berjangkit



Senyuman.

Ia memainkan signifikasi besar dalam kehidupan. Bayangkan dua orang yang tidak kenal satu sama lain, dengan senyuman akan membuahkan perkenalan, meskipun kadang kala berlainan bangsa dan bahasa.

Kuasa senyuman, mampu menghubungkan jiwa.

Senyuman juga adalah gambaran perasaan yang disemat di dada. Rasa gembira, senang hati, suka, lalu akan terpancar senyuman di wajahnya.

Hilang Senyuman

Hakikatnya tidak semua manusia mampu untuk menggaris senyuman di wajahnya.

Untuk menguntum senyuman, beberapa otot-otot muka diperlukan untuk memainkan peranan, dan terdapat saraf muka yang menghantarkan impuls. Apabila sistem saraf tercedera, lalu hilanglah kemampuan manusia untuk mengukir senyuman di wajahnya.


Oleh itu, jika terdapat manusia yang diuji Allah, kerana rosak sistem saraf mukanya, doktor saraf akan bertanggungjawab dan berusaha mengembalikan senyuman di wajahnya, dengan apa yang termampu dan terdaya.

Itu kisah orang yang hilang senyuman kerana penyakit yang dihidapinya.

Hakikatnya, kalau dilihat disekeliling kita ramai orang sihat yang lebih kurang sama keadaan wajahnya.

Senyuman Hilang

Itulah penyakit yang ramai dihidapi oleh kita. Senyuman hilang dari wajah.
Sukar benar ingin menguntum senyuman, apatah lagi kepada orang yang tidak dikenali oleh kita.

Apabila datang seorang peminta sedekah, mudah sahaja kita menggeleng kepala, bahkan ada yang menghalau dan mengherdik tanpa simpati, walhal jika benar tidak mampu menghulurkan walau kepingan syiling, apa salahnya menghulurkan senyuman dan meminta maaf kerana tidak dapat membantu.

Lupakah kita akan sabda Rasulullah S.A.W:

" Senyummu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah. "
( riwayat Al-Tirmidzi )


Begitu juga dengan pelajar perubatan, kalau dari zaman belajar sukar dan berat untuk menghulur senyuman mesra kepada pesakit yang terlantar di hospital, bagaimana pula nanti bila sudah sibuk dan tertekan bila sudah berkerjaya? Baru hendak memaksakan diri menggaris senyuman di muka?

Ingin merawat pesakit agar mengembalikan senyuman di wajahnya, kita pula yang hilang senyuman di wajah kita. Tertekan bagaimana sekalipun kita bergelumang dengan cabaran sebagai pelajar perubatan, jangan kita jual mahal dalam menghulur senyuman.

Tidak di lupakan buat bakal ustaz dan ustazah, mahupun apa jua bidang pengajiannya, jangan kerana mahu menjaga kewarakan hingga hilang senyuman di wajah, hingga membuatkan orang yang dahagakan ilmu rasa jauh dengan mereka. Kopiah sudah di kepala, jubah kemas diseterika, tetapi muka masa mencuka. Macam nak telan orang gayanya.

Begitu juga dalam berhubungan yang melibatkan lelaki dan perempuan, dalam urusan harian, persatuan dan pelajaran, senyuman dan terima kasih adalah 'common sense' yang kadang-kadang dikesampingkan, Maksud saya, bukanlah perlu senyum tidak kira tempat, seolah-olah mahu mengurat, tetapi sekurang-kurangnya maniskan muka kerana kita semua berhubung dengan manusia, bukan robot yang tiada jiwa.

Dalam hidup berkomuniti, senyuman itu boleh menjadi paksi keharmonian. Berselisih dengan senior mahupun junior yang tidak dikenali namanya, sekurang-kurangnya angkatlah tangan, gariskan senyuman dan hulurkan salam. Moga ia akan jadi titik perkenalan dalam membina jambatan ukhuwah yang berpanjangan.

Senyuman itu ibarat jangkitan, yang mudah untuk merebak, hari ini kita mendapat senyuman, esok hari mudah untuk kita melemparkannya.

Senyuman itu adalah modal perhubungan dan perniagaan, hinggakan ada pepatah Cina ada menyebut " seseorang yang tidak boleh tersenyum janganlah ia membuka kedai ".

Kalau orang Cina bijak memandang senyuman dari aspek ekonomi dan keuntungan dunia,
begitulah kita sepatutnya memandangan senyuman dari aspek keuntungan dunia dan akhirat,
di dunia menyebar bahagia dan harapan, sebagai ladang akhirat buat mempersiapkan bekalan.

Ingatlah,
jangan kita terlalu leka dan ghairah mengejar cita-cita,
terlalu berjiwa membara dalam mengubah dunia,
senyuman yang mudah tetapi besar peranannya diabaikan oleh kita.

Senyumlah.
Ia mampu mengubah dunia !
 
- Bro Naqeb