Wednesday, October 30, 2013

Cuci mata

Kawasan lapang yang hijau, nyaman, luas. Selalu jadi tempat perhatian untuk pengantin-pengantin, yang bukan pengantin, untuk ambil gambar. 


Inilah sawah. Bendang kata tuan punya sawah.

Orang yang duduk di bandar, mesti teringin untuk duduk kawasan yang penuh sawah ni. Hijau, nyaman, katanya.
Orang yang duduk di sungai pun rasa yang sama. Senang kata, sesiapa yang rumahnya tak ada petak sawah, mesti suka sampai terlompat-lompat bila jumpa sawah.

Orang yang ada bendang, duduk dekat dengan sawah, macam mana?

Pada mereka, tiada istilah jemu dengan kehidupan di sekeliling. Setiap yang terbentang luas di depan mata, tersedia di sekeliling mereka adalah nikmat terhebat dalam hidup. Pada mereka, ini adalah lebih baik daripada bergelimpangan dalam hiruk pikuk kota.

Sawah, hiburan pada mereka. Deru angin, kocak air, selut dan ikan tawar. Saling melengkapi.

Kita selalu berangan-angan, duduk di tepi sawah yang menghijau, ada burung bangau. Sesekali terbang sekawan burung sambil berkicau. Ikan melompat-lompat di tali air. Indah belaka yang diangankan. Angan terbina berpandukan gambar yang dilihat dan cerita-cerita yang dibaca atau didengar.

Angan sentiasa indah. Cuma perlu diingat, bumi tempat untuk berpijak, langit tempat kita berteduh. Ambil peluang untuk hadapi sendiri keadaan yang diangankan.

Sawah bukan seperti karpet yang luas terbentang. Sawah bukan menghijau sentiasa.

Ada kitaran. Ada perubahan. Di sebalik kitaran dan perubahan, namanya tetap sama.

Sawah, bukan untuk cuci mata sahaja.

No comments: