Showing posts with label Perhubungan. Show all posts
Showing posts with label Perhubungan. Show all posts

Friday, May 23, 2014

Bukan seronok-ronok.

Perkahwinan perlu dirancang sehingga pelamin bahkan lampin.

Sedang ambil 'ibrah cerita kawan-kawan yang bersengkang mata mendodoikan anak pada pukul 3 pagi. Menyediakan sarapan dan mengemas rumahula selepas itu. Sedangkan dia perlu ke pejabat jam 7 pagi sehingga 8 malam.

Sebelum itu, dia bersabar dengan karenah isterinya yang sedang mengandung diuji alahan tidak suka aroma badan suami.

Sebelum itu, dia berusaha mencukupkan duit sara keluarga kecilnya dengan memotong banyak peruntukan hobinya seperti memancing, melancong dan mengeteh.

Sebelum itu, dia berjaya menawan sendiri hati mertua, meyakinkan sendiri hati ayah bonda, bukannya merengak-rengek untuk dibantu oleh pihak ketiga.

Sebelum itu, dia sangat sedar siapa dirinya dan siapa pula wanita pilihannya.

Sesungguhnya, perkahwinan itu separa kehidupan, pilihlah ia dengan sebuah kematangan dan kesedaran. Matang dan sedar itulah yang hilang ketika teruna dan dara sedang mabuk cinta.

~ قد شغفها حبا~

#kopiteh dari HassanHusaini.com

Saturday, March 30, 2013

Dehem.

Beberapa ketika saya berkira-kira perihal satu perkara ini - pembaharuan.



Teringin benar berkongsi perihal perhubungan. *apakah*

Oh sebentar-sebentar.

Ini bukan kisah saya. Belum menjadi kisah saya. Mungkin satu masa kelak, insya Allah.

Kenapa mesti berfokus tentang ni?

#Terima kasih kepada kawan-kawan yang menjadi sumber inspirasi untuk saya berkongsi tentang perhubungan. Dan tak dilupakan kepada mereka yang bakal berkahwin atau sedang merencana untuk berkahwin, ini untuk kalian.

*pressconferencekejap*

Sebenarnya... Perlu atau tidak saya teruskan tentang perkara ini ya?


Monday, October 1, 2012

dan dia bercerita...

"Qawama" Maira tiba-tiba bersuara, antara dengar dan tidak.

"Qawama?" Ulang Kiki, meminta kepastian. Buku Federal Constitution yang dibacanya ditanda lalu ditutup.

"Yup, Qawama. Pelindung. Protector. Our other half. Every lady's personal version of knight in shining armor. Verse 34 Surah An-Nisa. Cekidaut." Jelas Maira sambil mendongakkan kepala menengadah langit.

"I've known you since Ice age tak pernah pun nampak kau enthusiastic nak diskus matters macam ni. Pressure study Law eh?" Usik Kiki sambil menumbuk perlahan sahabatnya itu. Giggles.

"It's legal anyway" Balas Maira sambil mengukir senyum segaris.

"Pehal kau tetiba cheesy ni Maiyo? Parmesan Parmigiano much"
"Permesan? Uh no. Make it mozarella. Warm-melted mozarella"

"Cut the cheese, spill mate" Kiki memandang Maira yang masih menatap langit malam.
"I was just wondering" rendah Maira menuturkan "Susah kan nak cari 'qawama' yang betul-betul 'qawama' sekarang?"

"Taklah, senang je." Jawab Kiki selamba.
"How come?" Maira menoleh ke arah Kiki.
"Guna filter lah"
"Enlighten me miss."
"Cari je yang brjemaah dekat masjid every Subuh"
"Dude, you don't say"

"Kau ingat senang ke lelaki ni nak bangun pepagi pergi masjid. Jihad besaq wei. The term qawama means to protect. Not only protect us, their future spouses, but also to protect Islam, our deen. Syaikh Maulana Tariq Jamil pernah berdialog dengan seorang tentera Israel. Kata tentera Israel itu,

"Di dalam kitab kami (Kitab Taurat) ada tertulis "Jika diseluruh dunia jumlah orang Islam yang hadir untuk solat subuh berjemaah di masjid sama banyak dengan jumlah jemaah solat Jumat, maka saat itu Israel akan hancur." Tetapi ketika tadi saya lihat di masjid tadi, hati saya jadi tenang."

"So kalau guys yang solat jemaah kat masjid everyday ni, win two medals lah? Qawama for the wife, Qawama for the deen?" Soal Maira.
"Ay ay Captain" kenyit Kiki sambil senyum nipis.

Diam. Kiki kembali menyelak semula Federal Constituition.

"Got it! Thanks Kiksayyy"
"Huh? No big. Eh kau nak pergi mana Mairowww?" Tanya Kiki melihat Maira bangun sambil mengemas buku serta nota Undang-undangnya.

"Jom follow, qiam masjid malam ni. Esok boleh mula operasi"
"Operasi?" Kerut.
"Stalk bakal imam subuh esok"
"Dasar cheese kawan aku ni, Cheddar!"
"Cheddar pun cheddar lah. Qiam jom? Nak yang soleh diri kena lah solehah dulu"
"The judges of the High Courts approves"

Ketawa pecah. Meja batu di Law Faculty itu ditinggalkan lalu dituju ke Masjid Tuanku Mizan, UiTM Shah Alam.

---
Rekaan semata. Takdak kaitan yang berdenyut atau tidak.
Hak Cipta Terpelihara. AisyahShakirah 300912 | 0508PM
***
Well... Islam itu sudah menyediakan manual sebaiknya.

Sesekali entri berkaitan ini. ^^

#Adik ni sangat comel dan pandai lukis. Status yang dikopiteh dari FB Sis Aisyah Shakirah.

Wednesday, September 5, 2012

Buatmu yang dikasihi


Antara nasihat Syeikh Ali Tantawi 
kepada muslimat seluruhnya:
Wahai puteriku,
Pintu pemulihan (cara mencegahnya) ada di hadapanmu, kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi lebih baik.
Engkau benar wahai puteriku,
Bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.
Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dari ancaman cengkaman serigala.
Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri dari dicuri (sesuatu yang berharga darimu).
Lelaki mengkehendaki yang paling berharga darimu, iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.
Wahai puteriku,
Demi Allah! Apa yang dikhayalkan oeh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang di hadapannya tanpa sebarang pakaian.
Demi Allah! Jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab. Bohong! Bohong! Demi Allah, dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.
Wahai puteriku,
Lelaki yang baik dan soleh akan datang kepadamu dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia akan datang meminang dan mengahwinimu.

______________________________________________ 

           Saya yakin dan percaya, masih banyak muslimin di luar sana yang membawa rukun dalam kehidupan, menjaga diri sebaiknya, lahiriah dan batiniah. Saya yakin dan percaya, muslimin inilah yang mampu membimbing muslimah sebaiknya.

__________________________________________

(Al-Mukminun : 5-7)
__________________________________________

Hamba Allah yang baik sentiasa berusaha menjadi dan memberi yang terbaik buat siapa sahaja yang berada di sekelilingnya. Pasangan (juga teman) adalah saling melengkapi, memberi tunjuk ajar agar rukun kehidupan. Menjaga hati sebaiknya agar tidak terlajak dalam permainan nafsu. 

Semoga 'hamba Allah yang baik' tersebut, anda yang membaca entri ini. =)

Tuesday, February 14, 2012

Cinta Sebelum Kahwin Itu Ada. Halal.

Cinta Sebelum Kahwin Itu Ada. Halal.- Hilal Asyraf

Cinta. Rata-rata masyarakat melayu, mereka yang berkecimpung dalam gerakan dakwah, juga mereka yang berada dalam golongan ‘baik’ dan ‘bertatasusila’, apabila disebut berkenaan cinta sebelum kahwin, akan memandang negatif. Cinta sebelum kahwin kelihatan kotor dan menjijikkan. Cinta sebelum kahwin kelihatan merosakkan.

                Dan pandangan ini mendatangkan 1001 permasalahan kepada perjalanan cinta yang baik dalam kalangan muda-mudi khususnya, juga masyarakat amnya.

Definisi Cinta Kita, Ambil Daripada Mana?

Bila disebut cinta, apakah yang kita nampak dan faham?

                Jika disebutkan cinta kepada saya, saya memahaminya sebagai ‘untuk bersama ke syurgaNya’. Tiada lain. Untuk saya, ‘apa-apa sahaja yang membawa kepada neraka Allah SWT’ itu bukan cinta. Definisi cinta inilah yang saya pakai, dan saya kira, kita semua patut lihat bahawa inilah dia cinta. Kerana, apabila kita menyatakan bahawa kita kasih, kita sayang kepada seseorang, adalah amat mustahil kita hendak mencederakannya, menyakitkannya, melukakannya. Semestinya kita mahu memberikan yang terbaik kepadanya. Maka apakah ‘terbaik’ yang sebenarnya selain syurga Allah SWT?

                Tetapi saya melihat, definisi ini tidak dikongsikan oleh kebanyakan masyarakat.

                Rata-rata memandang bahawa cinta adalah hubungan intim antara lelaki dan perempuan. Cinta mesti ada kaitannya dengan melalaikan, mengasyikkan. Cinta dengan seks tidak dipisahkan. Cinta mesti ada pegang-pegang tangan, keluar bersama, berdua-duaan, mengucap kalimat-kalimat jiwang, angau dan sebagainya.

                Ya. Itu pandangan kebanyakan apabila disebut berkenaan cinta.

                Kerana itu, apabila disebut ‘cinta sebelum kahwin’, kelihatannya tersangat ‘taboo’. Akhirnya muncul lah ajaran-ajaran bahawa ‘cinta selepas kahwin’ lebih membawa berkat dan sebagainya. ‘Cinta sebelum kahwin’ adalah haram dan sebagainya. Begitulah.

                Sebenarnya, definisi cinta yang dipegang oleh masyarakat ini, datangnya daripada mana?

                Mudah saya ungkapkan, ini semua adalah daripada cinta yang ditunjukkan di dalam Hollywood. Cinta lelaki perempuan, dengan ciuman, dengan keluar berdua-duaan, dengan sentuhan, dengan seks, tanpa mengira batas agama dan tatatertib kesopanan masyarakat.

                Ya. Kita nampak cinta dengan definisi itu.
                Sebab itu akhirnya, cinta kelihatan jijik untuk dibicarakan.
                Cinta diharamkan sebelum perkahwinan.
                Sedangkan, cinta hanyalah mangsa keadaan.
                Manusia itu sendiri yang perlu memperbetulkan pandangan.

Apabila Cinta Silap Dipandang.

Apabila kita silap mendefinisikan cinta, maka silaplah kita akan cara melayannya.

                Kesilapan ini membawa kepada larangan terhadap remaja untuk mempelajari cinta yang sebenar.

                “Hish, kecik-kecik dah gatal!”

                Akhirnya, dek kerana tidak mendapat pendidikan cinta yang sebenar, pendefinisian cinta yang sebenar, anak-anak menuruti orang-orang tua yang menggunakan definisi cinta hollywood, lantas menterjemahkan cinta sedemikian rupa. Kerana itu, ‘cycle’ ini tidak dapat kita pecahkan.

                Kesilapan ini juga membawa kepada terbukanya maksiat.

                “Mak, rasanya saya ni perlu dah kahwin.”
                “Hang budak lagi. Belajar dulu.”

                Sedangkan, sepatutnya itulah peluang ibu bapa mulakan perbincangan yang baik kepada anak-anaknya berkenaan cinta dan rumahtangga. Bukan dijawab sambil lewa sedemikian rupa. Dengan jawapan sedemikian, sang anak memberontak dan akhirnya mengambil jalan sendiri dalam bercinta. Yang mana kita sedia maklum, kebanyakannya tidak berakhir dengan baik, dan merentas jalan-jalan yang Allah murkai.

                Kesilapan ini juga membawa kepada kesukaran terhadap perkara yang sebenarnya mudah.

                “Awk, sya rsa kta kne bncang bnda ni guna mlut. Ckp.”
                “Gna email or sms je bleh x?Sbb nak jga dari zna hati.”
                -----------------------------------------------------------
                Perbualan di atas ini adalah SMS
                ------------------------------------------------------------

                Dan akhirnya, perbincangan yang sepatutnya mudah, menjadi susah dengan pelbagai interprestasi. Tulisan yang tidak bernada, membawa pelbagai spekulasi menjadikan perbincangan yang sepatutnya lancar, menjadi berjela-jela, dan membuatkan keputusan yang patut boleh didapatkan, bertukar menjadi perbalahan. Akhirnya ini merosakkan hubungan kedua-dua pasangan yang ingin mendirikan perkahwinan.

                “Awak, janganlah tinggalkan saya, saya cintakan awak!”
                “Awak, apa bukti awak cintakan saya?”
                “Saya sanggup serah segala-galanya kepada awak.”
                Diikuti dengan ciuman berahi, dan selepas itu hubungan seks.

                Iya. Itu satu lagi contoh lain apabila silap mendefinisikan cinta.

                Dan jika ingin saya berikan contoh, saya boleh berikan pelbagai lagi contoh akan ‘flaw’ atau ‘kecacatan’ apabila kita silap mendefinsikan cinta. Perlahan-lahan, ini membawa kepada kerosakan dan keruntuhan di dalam masyarakat.

                Kumpulan yang ‘mengharamkan cinta sebelum kahwin’ dengan membuta tuli, tanpa pembetulan dalam pendefinisian cinta, tanpa usaha membersihkan cinta yang sebenar, hanya akan membawa kerosakan. Saya tidak memandang bahawa manusia perlu kepada ayat: “Cinta sebelum kahwin itu HARAM!”, tetapi saya memandang secara positif bahawa, yang manusia perlukan sebenarnya adalah ayat: “Cinta yang sebenarnya adalah begini dan begini. Jika ingin bercinta, begini dan begini caranya.”

Remaja, Veteran, Perlu Memegang Definisi Cinta Yang Betul.

Pada saya, baik remaja dan veteran, kedua-duanya perlu memegang definisi cinta yang sebenar.

                Cinta, kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurgaNya.
                Apa-apa yang membawa ke nerakaNya, itu bukan cinta.

                Maka semestinya apabila kita bicarakan akan ‘cinta sebelum kahwin’, perkara-perkara yang melanggar syariat itu semestinya tiada. Cinta sebelum kahwin yang sebenar bukanlah couple, bukanlah sesuatu yang membawa kepada kelalaian, bukanlah sesuatu yang merosakkan. Cinta sebelum kahwin yang sebenar pada saya adalah persediaan diri, persiapan emosi, peningkatan kematangan, pemantapan ibadah dan usaha untuk mempersiapkan diri dalam hal kewangan. Itulah dia cinta sebelum berkahwin.

                Orang yang benar cinta akan pasangannya, akan mempersiapkan diri. Akan meletakkan target, bila hendak berkahwin. Orang yang benar cinta akan pasangannya, akan berta’aruf dan merapatkan diri dengan ayah dan ibu bakal isterinya.

                Veteran yang memahami makna cinta yang sebenar, akan berjaya membawa urusan perkahwinan anak-anaknya ke arah yang selamat dan diberkati oleh Allah SWT. Anak-anak mereka akan terdidik dengan cinta yang sebenar, lantas menjauhi cinta yang rosak dan palsu. Anak-anak mereka akan rasa indah dengan keluasan Islam dan rasa berpuas hati duduk di dalam agama yang menjaga serta memandu fitrah manusia.

                Remaja yang memahami makna cinta yang sebenar pula, tidak akan terburu-buru dalam urusan perasaan. Kerana hakikat cinta yang sebenar adalah ianya dipandu oleh keimanan. Maka tidaklah mudah dia meluahkan rasa cinta, tidaklah dia mudah hendak terjatuh hati di sini dan sana. Dan apabila dia jatuh cinta, dia akan mengambil jalan yang benar. Malunya bertempat, dan berpada-pada. Dia akan menyegerakannya, dan dalam penyegeraannya itu, dia berjaga-jaga.

                Untuk saya, inilah dia yang sepatutnya kita ada.

Penutup: Cinta Sebelum Kahwin, Ada. Halal. Dengan Definisi Saya.
Cinta sebelum kahwin itu ada. Halal. Dengan definisi saya.

                Cinta itu pada saya mahal, dan tinggi harganya. Cinta itu pada saya membina, dan mustahil merosakkan jiwa. Cinta menjadikan seseorang itu matang, berfikiran jauh, bertanggungjawab, dan berusaha mempersiapkan dirinya. Cinta itu pada saya suci, bersih dan membersihkan pula jiwa-jiwa yang menghargainya.

                Silap mendefinisikan cinta, kita akan bersalah kepada yang tidak sepatutnya.
                Kita akan menyukarkan mereka yang tidak sepatutnya kita sukarkan.
                Kita akan mempermudahkan mereka yang tidak sepatutnya kita permudahkan.
                Islam adalah agama yang bukan mengharamkan fitrah. Tetapi mengawalnya.

                Maka bagaimanakah cinta itu boleh dikatakan haram? Sedang cinta itu adalah antara fitrah yang utama. Sebelum berkahwin, selepas berkahwin. Halal. Tinggal bagaimana kita mendefinisikan cinta itu yang membezakan.

Maka yang sepatutnya kita lakukan adalah membersihkan cinta.
Bukan mengharamkannya. Mengharamkannya, hanya akan membawa kepada 1001 lagi kerosakan kepada masyarakat kita.

 

Cinta. Rosak dalam tangan manusia yang tidak mendalaminya.

Tuesday, July 19, 2011

Beza Bercinta Sebelum Kahwin dan 'Couple'

Entri ini mungkin buat anda terasa
Entri ini mungkin buat anda meluat
Entri ini mungkin buat anda tak singgah blog ini lagi
Entri ini mungkin buat anda hanya berdiam dan membiarkan sebegitu sahaja
Yang penting entri ini, untuk kita jadikan renungan, dan mengambil iktibar di sebaliknya.



Adakah anda bersedia membaca untuk ayat ke seterusnya? Kerana apa yang diutarakan adalah amat panjang sekali. Dan pengakuan dari penulis ini sendiri. Bukan mudah untuk menulis pengalaman sebegini rupa, dan bukan bermaksud memperlekehkan mereka yang berkenaan, tetapi sama-sama kita menyelami maksud tajuk di atas, membawa pemikiran kita menyelami apa perbezaannya, samada meninggalkan impak kepada anda atau tidak, semuanya dariNya.


Telah banyak entri sebelum ini ku sampaikan secara kiasan, tentang bercinta sebelum kahwin, apatah lagi tentang kapel. Yang bijak menafsirkan, pasti akan faham maksud tersirat. Yang hanya melihat sekadar entri tersurat, mungkin dapat juga yang disampaikan.


Kali ini, entri akan menerangkan mana yang patut, dan selebihnya kita cuba menafsir di dalam pemikiran. Ianya disampaikan secara penceritaan halus, bukan point-point jelas yang terdapat di dalamnya. Dan ku letak read more kerana entri ini pasti panjang berjela, biarpun ada yang tidak suka dengan function tersebut. Yang penting, sila bersedia menghadapi persoalan seterusnya.


Orang berkapel semestinya bercinta sebelum kahwin, tetapi orang bercinta sebelum kahwin tidak semestinya berkapel. Bukan mudah menafsirkannya, tetapi hakikat jelas, cinta itu suci, dan bercinta sebelum kahwin tiada salahnya, namun yang dilarang adalah berkapel, benda yang banyak mudarat berbanding kebaikan. Apa sebenarnya cinta sebelum kahwin? Bukankah sama sahaja dengan kapel?


Oh kapel, aku akui memang pernah berkapel, sebelum aku mengambil jalan kapel selepas kahwin. Adakah aku putus asa dengan cinta wanita? Tidak sama sekali. Aku banyak mendapat pengajaran yang bermakna, dan aku dapat membezakan makna cinta sebelum kahwin dan kapel.


Kali terakhir aku berkapel, yang semestinya ku jaga batas antara diriku dan si dia. Dan aku sudah berjanji, cukuplah yang ini, tidak ada lagi seterusnya. Bukan bermaksud aku banyak berkapel sebelum ini, hakikatnya ini kali ketiga aku berkapel. Kami berkapel dengan cara yang nampak “baik”, tiada istilah bersentuh tangan, berjumpa tak berdua, kerana ditemani oleh kawannya, adiknya dan juga makciknya! Hakikatnya, itu pada zahirnya, bukan pada batinnya.


Perpisahan Terasing


Kerana apa? Perasaan sayang, cinta yang mendalam pada yang bukan halal. Syaitan sentiasa cuba meyelusup supaya ada ruang agar kami leka dariNya. Biarpun tiada benda tak elok kami buat pada zahirnya, tapi secara halus, benda ini telah menghumban kami ke arah yang tak elok.
Sehinggalah satu hari, dia memutuskan untuk berpisah, kerana tidak ingin berkapel. Ingat aku mahu macam tu? Kerana pandangan aku tatkala itu, kami tidak pun melakukan perbuatan yang tak elok, seperti yang ku gambarkan di atas. Tapi dia mahu aku membaca satu buku, yakni “Aku Terima Nikahnya“, karya terlaris Ustaz Hasrizal. Kelu, memang aku down, malah aku cuba menyakinkan dia, tidak salah bercinta sebelum kahwin, aku cuba menjelaskan sebaiknya, bahawa cinta itu suci, jangan kita mencemarkannya dengan perkara tidak elok, dan kita tidak pernah buat benda yang tak elok.


Itu sebelum aku baca karya Ustaz tersebut. Itu hanya kata-kata dari seseorang yang cuba membuat Teori Evolusi Cinta. Macam orang cakap, “kami bercinta pun, tapi kami selalu berbicara tentang agama”, “Dia sms tentang hadislah, bukannya kata-kata puitis cinta”. Sekadar ucapan mulut, tetapi bukan dari hati. Itulah bila syaitan cuba menyelinap dalam hati, supaya yang dinampak itu berbeza dari yang tersirat. Sebenarnya bagaimana bercinta sebelum kahwin itu?


Menanti Yang Tidak Pasti


Bila sudah down kerana putus, aku katakan ingin menantinya, kerana aku yakin dia jodohku. Kerana apa? Kerana bagiku kami berpisah tidak ingin kapel sahaja, jadi cukuplah sekadar kawan. Bila tiba masanya, aku akan meminangnya, sesuai jalan yang diredhaiNya.


Ini lagi satu bahaya mendatang. Bagaimana jika yang ditunggu itu suka orang lain? Bagaimana jika dia dipinang terlebih dahulu dan dia menerimanya? Semestinya 100% aku akan salahkan dia, kerana dia cuma sekadar melepaskan diri dariku. Mungkin benar dia jemu sudah mendapat lelaki sepertiku?


Disinilah akal memainkan peranan, disinilah tuhan memberi petunjuk kepadaku. Apa yang ku lakukan ketika itu? Aku meminta pertolongan seorang sahabat untuk membeli buku tersebut, yang ketika itu telah terbit dalam 3 siri. Masa tu, buku pertama amat mustahil untuk dijumpa, kerana sold out! Dan aku berkeras, jika tidak jumpa buku pertama, aku tidak ingin membeli yang kedua dan ketiga. Alhamdulillah, ada juga buku itu, dan ku dapat buku itu tatkala Aidilfitri tinggal sehari dua lagi.


Selautan Ilmu


Apa yang ku dapat? Pelbagai ilmu, yang membuka mindaku yang sempit. Satu hikmah yang amat besar maknanya. Dan sebenarnya doaku makbul, yakni dialah yang terakhir, dan aku tidak ingin berkapel lagi selepas ku bersama dia dulu.  Sebabnya? Aku bukanlah lelaki sewenang-wenangnya jatuh cinta dengan gadis lain. Dan kerana perpisahan membawaku untuk mencari seorang wanita untuk dijadikan isteri, bukannya menjadikannya girlfriend.


Cabaran? Sememangnya ada, aku tidak terlepas dari ujian yang mendatang. Mungkin masih ada cinta terhadap dia, tapi kini, aku tenang, aku tak harapkan apa-apa. Tak ku nanti, tak ku tunggu, yang ku tahu, doaku agar dia mendapat yang terbaik dalam hidupnya. Siapa tahu yang terbaik itu adalah diriku? Tapi aku tak fikir tentangnya, seperti yang ku katakan tadi, tak ku tunggu, tak ku nanti, redhalah dengan ketentuan Ilahi.


Dan sebenarnya apa cinta sebelum kahwin? Yakni seperti mana entri sebelumnya, tentang kisah cinta romantis, yakni antara Ali dan Fatimah. Mereka hanya memendam perasaan mereka, dan redha dengan ketentuanNya, kerana takut cinta mereka mendatangkan kebinasaan, kerana takut cinta mereka melebihi cinta kepadaNya.


Jadi diam adalah jalan terbaik, menahan rasa di dada. Ya, kebanyakkan katakan cinta perlu diluahkan, tetapi jika ingin diluahkan, biarlah setelah pasti dia milikmu. Bagaimana jika terlepas? Redha lah dia bukan ketentuan untukmu.


Meminang Tak Semestinya Bernikah Terus


Tetapi, nanti kita tak kenal dengan perangai dia? Bukankah itu parah? Perhatian! Meminang tak semestinya terus bernikah. Disini peranan mengikat tali pertunangan. Yang mana pertunangan itu adalah untuk megenal antara satu sama lain di samping dengan keluarga pasangan.


Dan masa ini adalah yang paling mencabar, kerana jika tidak berkenan di hati, kemungkinan besar akan berlaku perpisahan. Tapi ini bukan bermaksud kita tidak tahan dengan sikapnya, mungkin ini ada faktor lain yang agak complicated. Kerana sikap itu boleh kita didik, bukannya memburukkan lagi orangnya.


Tapi, pertunangan bukan lesen halal untuk melakukan seperti mana orang berkapel. Adakah tidak boleh sms? Tidak boleh bertemu? Tidak boleh bertelefon? Boleh, sms sekadar perlu, bertanya khabar. Bertemu bukan berdua, yakni berdating, tetapi ditemani mahramnya, dan sekadar perlu. Bertelefon lihat kepada keperluan juga, yakni bersederhana di dalam setiap perkara.


Disitu kita boleh berkenalan, dan kita juga boleh tahu sikapnya dengan keluarga tunang kita. Apa maksudnya keperluan? Yakni bertanya khabar, atau apa-apa urusan penting, tanpa lenggok-lenggok bait cinta, tanpa hati menghadirkan sesuatu perasaan yang tidak sepatutnya. Mustahil bukan? Itu jika kita berfikiran sempit. Senang cerita, “Hati itu tenang dengan kebaikan,  dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”. Pesanan nabi kepada kita.


Jodoh DariNya


Sesimple kita cuba membuang kegelisahan, beristighfarlah kepadaNya, penuh makna mendalam di sebalik maksud itu. Tetapi, bagaimana kita mencari yang terbaik? Bukan mudah nak mencari teman hidup yang betul-betul baik. Usaha memang perlu, tetapi untuk dapat yang terbaik, kita hendaklah jadi yang terbaik.


Bukankah di dalam Al-Quran jelas menyatakan, yang jahat untuk yang jahat, yang baik untuk yang baik. Kerana yang baik akan sentiasa mencari kecantikan agama, tetapi yang jahat selalunya mata telah lali dengan kecantikan dunia.


Semua itu dari hati, untuk mencari kekasih halal bukan sesuatu yang mudah, tetapi bukan sesuatu yang susah juga. Yakin dengan jodoh yang mendatang, kerana sudah tertulis jodoh itu ada, cuma antara lambat dan cepat sahaja.


Bila mana ada pilihan hati, istikharahlah kepadaNya. Jika yang belum kahwin tetapi telahpun meninggalkan dunia yang fana? Kematian bukan bermakna dia tiada jodoh dengan sesiapa, tetapi jika tergolong dalam orang yang soleh, jodohnya telah termaktub di syurga. Janganlah resah dengan persoalan jodoh, tetapi resah adakah kita benar-benar cukup baik untuk bertemu jodoh kita!


Cintailah jodoh yang belum diketahui, yakinkanlah diri bahawa saat itu pasti akan tiba, yang lelaki selalunya memulakan, dan pinanglah wanita yang dirimu yakin untuk dijadikan teman hidup. Yang dirimu cinta kerana keperibadiannya, kerana takut untuk berbuat dosa, akibat pandangan yang selalu tidak dijaga.


Wanita pula, tidak salah memulakan dahulu, seperti mana Siti Khadijah menyatakan hasratnya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dan sekali lagi, dengan menggunakan jalan yang diredhaiNya.


Fasa Yang Perlu Difahami


Selepas itu memasuki alam perkahwinan. Banyak perkara yang perlu ditempuhi dan cabaran yang diharungi, disinilah kesabaran menguji. Fahami konsepnya terlebih dahulu, sebelum bersedia ke arahnya. Tatkala kita memahaminya, sememangnya kita telah bersedia sepenuhnya.


Perkahwinan itu indah, jadi bergembiralah jika telah mencapai ke arah itu. Demikian artikel yang panjang ini, sama-samalah kita memikirkan dengan akal bukan dengan nafsu.Terpulang kepada kita, apa tindakan seterusnya.


Diri ini turut berpesan pada diri sendiri, semoga ketenangan yang ku temui kini, dapat aku jadikannya sebagai pemangkin kehidupan seterusnya. Banyak perubahan ku rasakan, dan aku bersyukur kepadaNya. 

Apapapun, I’m Not Good, But I Want To Be Better!

* Ini coretan  Ceritera, terpanggil untuk kongsi bersama. =)  [Tidak diedit sepenuhnya]

Friday, November 12, 2010

10 Soalan Sebelum Bertunang

        
          Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.
           Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa. 
          Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
          Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.
          Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.
           Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.

Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan. 
           Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.
           Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat sunyi dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?
  • Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.
  • Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
  • Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
  • Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
  • Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
  • Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
  • Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
  • Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
  • Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
  • Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
  • Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
  • Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.
  • Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
  • Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
  • Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
  • Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
  • Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
  • Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.
  • Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
  • Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.
  • Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
  • Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
  • Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. 

Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.


Pautan:
10 Soalan Sebelum Bertunang | iluvislam.com + discover the beauty of islam