Showing posts with label nukilan. Show all posts
Showing posts with label nukilan. Show all posts

Sunday, February 24, 2013

Purnama itu bukan milik
kala cahaya setia menemani;
tika purnama menjelma
jua kelam mewarna
hembus bayu asyik membisik
rasa.

Tenang.

Sunday, October 14, 2012

Hannan Mawaddah

Pagi mulai hangat. 

Di kaki langit, cahaya mentari tersipu-sipu memancarkan ufuk merah jingga. Sesekali sekawan camar silih berganti berterbangan menghiasi awan gemawan, melatari mentari pagi.  Saling berpapasan ke timur dan barat, mencari rezeki yang melimpah ruah. Kokokan ayam mulai reda saat embun pagi mulai tersejat. Barangkali tekak kekeringan berkokok seawal dinihari.

Di kaki anak tangga beranjung biru itu, kelihatan sesusuk tubuh mungil sendirian. Sambil berteleku, berbekalkan sebatang ranting halus, tangan kecilnya ligat melakar sesuatu di atas tanah. Tekun. Rambut yang terjuih sedikit dari kerudung hijau miliknya, dibiarkan bermain-main di kepala dahi. Sesekali angin menghembus lembut, bawa debu menjamah mata. Terpisat-pisat tangan kecilnya menggosok mata. Pedih.

"Ibu, Hannan tak tahu lukis ni..." Hannan berpaling ke kiri, seakan mengetahui jejak ibunya menghampiri.

"Ibu, ini..." Hannan mencebik sedih sambil menghulurkan sekeping gambar. Hannan tunduk, menguis-nguis lakarannya hingga hilang rupa asal. 

Gambar bertukar tangan. Ibu tersenyum sendiri. Perlahan-lahan, Ibu melabuhkan punggung di sisi Hannan.

"Eh, kenapa dipadam lukisan tu? Kasihan ibu, tak dapat tengok lukisan Hannan." Ibu memujuk sambil memeluk erat sosok kecil di sisinya. Hannan memandangnya, muram. Dia tahu, pasti ada janji yang sudah terpateri di sebalik gambar dan lakaran di atas tanah itu. 

"Ayah..." mata Hannan mulai memerah. Hannan menggigit bibir, memutus bicara.

"Ayah janji nak buatkan ni kalau Hannan boleh lukis sama macam dalam gambar yang ibu pegang tu," suara Hannan halus tersekat-sekat dek hiba di dalam dada. Jari telunjuknya meruncing ke arah gambar di tangan ibunya.

"Oh, ini ya. Macam mana Hannan tahu tentang ni sayang?" Ibu merangkul Hannan ke atas ribaannya sambil bersandar di tepi anak tangga rumah. Sekeping gambar ditatap bersama-sama.

"Semalam, Hannan tengok tv. Ada cerita tikus-tikus dengan orang yang tiup ni. Semua tikus-tikus ikut dia. Lepas tu, orang tu tiup ni, ramai budak-budak ikut dia." tangan Hannan diletak berhampiran mulut, seolah-olah sedang meniup sesuatu.

"Hannan tak nak jadi macam budak-budak tu, ikut orang yang tak kenal. Hannan nak ada ni, nanti Hannan tak ikut dia." tangan  kecilnya bersungguh-sungguh menuding ke arah gambar, menunjukkan harapan yang tinggi terhadap gambar yang dilihatnya.

"Jadi, Hannan minta ayah buat ni ya? Siapa yang beri gambar ni?" Ibu bertanya sambil mengusap-usap kerudung Hannan.

"Hannan minta. Kemudian ayah beri gambar ni. Hannah tak nak gambar. Hannan nak tu," tangan Hannan menunjuk-nunjuk ke arah gambar.

"Hannan sayang, ingat tak kucing yang kita jumpa pagi semalam?" Ibu bertanya lagi.

Hannan termangu-mangu. Sela beberapa detik, Hannan mulai mengangguk.

"Kucing comot tu? Hannan tak suka. Kotor. Tapi ayah tetap suruh Hannan bagi air untuk kucing tu minum." Hannan mendengus kasar. Sesekali bibirnya dijuih.

"Hannan, kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad. Nabi sangat sayangkan kucing. Kalau kita buat baik pada haiwan, Allah pun sayangkan kita sayang." Ibu mula menjernihkan keadaan. "Tengok gambar ni, dia biarkan kucing tu teman dia main seruling. Bayangkan kalau dia duduk seorang diri, siapa nak dengar dia main seruling?" Ibu mengajak Hannan berfikir.

"Ibu, kucing pun, boleh jadi kawan kita ya?" mata Hannan bersinar-sinar, meminta kepastian.

"Ya Hannan. Semua ciptaan Allah, adalah kawan kita. Kita kena hargai sebaik-baiknya. Kalau dah tak ada, kita yang susah. Macam seruling ni, kalau tak ada buluh, seruling pun tak ada. Sayang, walaupun kita ini tak ada harta melimpah ruah, tapi kita masih ada perasaan yang luas untuk menadah kasih sayang. Semua ini kurniaan Allah. Kalau selalu merungut, itu tandanya dah mula lupa Tuhan tau." hidung Hannan dicubit manja. Terkial-kial Hannan  di dalam ribaan ibunya. 

"Ibu, Hannan minta maaf. Hannan selalu merungut," tangan kecil Hannan memaut kejap tubuh ibunya. Hangat terasa; kasih sayang ibu dan anak menjalar, memenuhi ruang hati yang kosong.

"Ibu, Hannan masih boleh main seruling kan?" suara kecil berbisik halus di cuping telinga ibu.

"Kita tunggu ayah balik ya," ibu membalas separa berbisik. 

Hannan tersenyum kecil.

****

"Apalah yang mampu Hannan hadamkan melalui gambar ini... Hannan kan masih kecil..." getus hati ibu.



Tuesday, September 27, 2011

Penunggu

Express Rakyat
Cepat-cepat 
Jangan Terlambat
Express Rakyat
Jam delapan akan berangkat
Jentera yang membawa berbagai rupa
Tidak kira tua ataupun muda
Bergerak laju mengikut waktu
Meniti landasan berliku tanpa jemu


Penunggu waktu
setia bersama kenderaan masa
menempuh relung kehidupan.

Sampai tiba saat ketika
destinasi berkunjung tiba
Berasak-asak mencipta langkah
ke destinasi yang baharu.

Destinasi asing.

Daerah sunyi.

Kita ini penunggu setia
dalam kenderaan kehidupan.

Saturday, April 30, 2011

Ruang


Ada masa dan ketika
ruang itu perlu
buat mengisi waktu
datang dan pergi

Kerna ruang itu terpencil 
seringkali terpinggir

Sunyi. Hiba.
 Ya.

Kecewa? Lupakan.
Kerna insan istimewa punya rasa tersendiri.
Perjalanan mencari erti, tak kan pernah sunyi.

Teguhkan semangat, cekalkan tekad.

Monday, April 4, 2011

Zulmat

Terkadang langkah tersasar
membawa ke jalan duka

Seringkali hati dimamah resah
dek sikap yang tak pernah berubah

Longlai mencari erti

Terkapai dalam diri

Lemas dalam gelora nafsu






Saturday, October 16, 2010

Rasa

Punya rasa
Punya jiwa
Punya hati

Mana cinta?
Mana rindu?

Lelah luluh
Dalam dakapan masa
Longlai

Ini bukan aku
Bukan kamu, saya, juga kita

Ini milik dia
Di balik topeng itu ada dia
Tegar dibalik topeng walau dipanah bahang mentari

Tetaplah di situ
Aku, kamu, kita
Redup kasih telah berlabuh
Di balik sinaran rembulan
Limpahan cahayanya menerobosi celah-celah kehidupan
Membawa sinar harapan

Bawalah sekujur jasad itu
Jua seketul daging itu
Di sepertiga malam
Duduk berteleku
Mendamba cinta
Mendamba rindu
Mendamba rasa
Di hamparan sejadah
Hamba-Mu bertamu...



Monday, October 11, 2010

Sendiri

Berpergian
Sendiri
Sepi
Katanya seketika cuma

Masih di sini
Termangu
Menanti
Bayang tiada muncul lagi

Penantian tanpa pengakhiran
Lantas masa berlalu pergi
Pergi dan takkan kembali

Kini kembali sendiri...

-10.10.10, Parit Mulia


Wednesday, November 18, 2009

Hati ini berbelah bagi...

Deru bayu membawa pergi bersama hatiku yang gundah.Hanya radio teman dikala sunyi.

......................................................................................................

"Anda lupa di mana anda meletakkan kunci walau sebentar tadi anda meletakkannya?"

Mendengar promo tersebut,rasa teruja memenuhi hati.Apakah bengkel terbaru yang PPLI bakal anjurkan?Promo tersebut mengetuk-ngetuk pintufikiranku.Ah,mungkin aku tak berpeluang.Kebiasaannya bengkel yang dianjurkan menjurus kepada mereka yang sudah bekerjaya.Mungkin juga tiada kesempatan waktu untuk aku mengikutinya.Aku terus berfikir sendiri.

Seminggu kemudian.

Petang itu suasana damai,dingin,sepoi-sepoi angin menembusi tingkapku,membawa bayu segar.Bayu yang memberi semangat untukku terus mengulangkaji pelajaran yang berbaki.

"Assalamualaikum dan selamat petang.Anda bersama kami dalam Rancangan Bersama PPLI.Bersama saya adalah Encik Nik Roskiman...",petah kak Mas berbicara,selaku juruhebah pada petang itu.Aku hanya memasang telinga.Sudah menjadi tabiatku menjadikan radio sebagai halwa telinga meskipun sewaktu mengulangkaji.Pastinya IKIM.FM yang menjadi pilihan hatiku.Ku tersenyum sendiri."Pada petang ini kita akan membicarakan mengenai bengkel yang akan diadakan pada masa terdekat ini iaitu mengenai ketarasedar atau mindfulness.....",kak Mas memulakan bicara.

"Eh,ini bengkel yang ingin aku sertai!"getus hatiku.Dalam diam aku menyimpan hasrat untuk mengikuti bengkel ini.Sambil mengulangkaji,aku ligat mencari maklumat mengenai bengkel ini di laman sesawang IKIM.Alhamdulillah,berhasil!Aku mula memuat turun beberapa maklumat yang perlu diketahui sebagai langkah awal untuk memujuk kedua ibu bapaku.

Ada seorang mahasiswa bertanya mengenai bayaran untuk mengikuti seminar ini.RM 50 sahaja.Aku terkesima.SubhanAllah,aku benar-benar teruja untuk mengikutinya.Berpeluangkah aku?

.....................................................................................................

MINDFULNESS atau ketarasedar adalah satu konsep yang merujuk kepada tindakan seseorang yang dilakukan secara sedar dan penuh pertimbangan akal waras dan bukan kerana tabiat harian yang telah sebati dengan jiwa. Ianya dipopularkan di Barat oleh Ellen J.Langer melalui bukunya The Power of Mindful Learning. Dengan keupayaan fungsi akal yang menggunakan kemahiran memproses dan membuat keputusan, sesuatu tindakan akan dapat dilaksanakan dengan penuh bijaksana. Kaedah ketarasedar dan gabungan dengan pendekatan pengurusan dapat menjamin kecemerlangan diri dan organisasi.


Bengkel ini adalah pertama kali diadakan bagi mengupas kefahaman dan pengertian Ketarasedar dari perspektif Islam serta mengetengahkan kepada para peserta bagaimanakah ianya dapat dibentuk dan digilap di dalam tindakan seseorang. Ianya amat penting untuk setiap individu yang ingin meningkatkan keupayaan diri.


......................................................................................................

Telefon bimbit ku genggam,menanti saat untuk membuat panggilan.Seusai bual bicara itu,aku terus menelefon ayah,insan yang amat kusayangi.Aku sekadar berbasa-basi dahulu,memikirkan bait-bait yang sesuai untuk menyatakan hasrat.

"Ayah,Semenyih dengan Jalan Duta,dekat tak?"soalku setelah bertanya khabar.
"Eh,jauhla kak.Kenapa?"ayah mula menyoal.

Aku terus menyatakan hasrat sebenar hatiku.Aku penuh bersemangat,dengan harapan ayah mungkin dapat memberiku sedikit cahaya pengharapan,namun ku sedikit khuatir.Berpeluangkah?
Ayah mula menyatakan rasionalnya.Aku mulai hampa.Tetapi di dalam hati ini,perasaan ingin menyertai membuak-buak,mengingatkan ku perasaan ketika ingin mengikuti ESQ Bersama ILuvIslam.Aku tetap berkeras di dalam hati.Aku ingin berikhtiar.Ya,Pak Ngah!Mungkin Pak Ngah boleh membantu.

......................................................................................................

Aku diambang peperiksaan.Terlalu banyak yang ingin ku kerjakan.mengulangkaji,mengikuti kuliah tambahan(kebanyakannya dilakukan secara emergency),jamuan kelas,menjadi salah seorang yang terlibat untuk persembahan dalam satu majlis di IPTHO,sehingga aku terlupa untuk bertanya kepada Pak Ngah.Setiap kali teringat,pasti bertembung dengan sesuatu perkara.

17 November 2009

Seperti hari-hari yang kulalui sebelum ini,pagi ini kurasa ketenangan.Dingin pagi menembusi tulang namun lembut menyapa minda.Memberi momentum kepadaku untuk terus mengulangkaji,persediaan menghadapi medan yang masih belum padam baranya.Komputer riba dibuka seperti biasa.Aku tergerak untuk menghantar emel kepada pihak PPLI kerana musykil dengan statusku.Aku masih dalam kursus persediaan,belum menjejakkan kaki sebagai pelajar ijazah pertama sepenuh masa.Aku perlukan pengesahan daripada pihak pengurusan sebelum melakukan tindakan selanjutnya.Aku mula mengirim emel.Jari jemari mula menaip.Hantar.

"Bip!".Ada kiriman emel memasuki inbox ku.

Ya, Cik Nur layak untuk mendapat diskaun bayaran dan hanya dikenakan bayaran pelajar sahaja iaitu RM50. Sila daftarkan diri saudari dengan mengembalikan borang yang dilampirkan ini, dan pastikan membawa kad pelajar / kad matrik dll sebagai bukti bahawa saudari seorang pelajar, pada hari pendaftaran. Mereka yang mendaftar sebagai pelajar tetapi tidak membawa kad pelajar pada hari pendaftaran akan dikenakan bayaran peserta biasa iaitu RM200.

Sekian terima kasih.
Wassalam
Nik Roskiman

Alhamdulillah,berjaya!Telefon bimbit kucapai,pantas menaip mesej untuk bertanya perihal tempat kepada pakcikku.Beberapa minit kemudian,Pak Ngah menelefonku.Aku menyatakan persoalan yang sekian lama bermain di benak ini.Aku tersenyum gembira.Puas.Kini aku sudah mempunyai alasan kukuh untuk mengikuti program ini.

.....................................................................................................

Seusai mengambil minum malam,aku menelefon ayah.Inginku berkongsi berita ini.
"Tut...Tut...",panggilan tidak dijawab.
Tidak lama kemudian,aku menerima panggilan masuk.
"Assalamualaikum.Oh,ibu rupanya...",aku memulakan bicara.
Ibu bertanya mengapa aku menelefon kerana ayah sudah pun melenakan diri.Aku terus menyatakan isi hatiku,tak sanggup rasanya untuk terus menyimpan sendirian.Kelak memang perlu kumaklumkan kepada ibu.
Respon yang kuterima tidaklah seperti yang kuharapkan.Kuhampa.Sebentar tadi benih harapan sudah mahu bercambah setelah mendapat titisan harapan Pak Ngah.Kini pucuknya seolah-olah mula melecur kerana simbahan rasa tidak yakin akan bengkel ini.Apa lagi yang perlu aku katakan?Aku hanya mampu merenung semula brosur bengkel tersebut.Aku yakin bengkel tersebut tidak tersasar.Aku tahu akan keperluan diri ini.Tapi bagaimana inginku yakinkan kepada kedua-duanya?

Hatiku pinta untuk pergi.Mindaku merayu.Jasadku mendesak.

Monday, November 9, 2009

Wahai Insan...

Bagaimana dapat terus berdabik dada
Andai bumi tempat berpijak
Hanya tempat yang sementara?
Bagaimana dapat terus meninggi diri
Andai segala yang dinikmati
Hanya pinjaman semata-mata?
Diri kerdil terasa besar dan gagah
Kerana fatamorgana nikmat mengabui segala
Hingga tersasar menyusun langkah
Tersadung…Berdarah…
Namun masih tegar menyongsong fatamorgana

“Ah,dunia ini aku yang punya!”
“Aku dapat melakukan apa sahaja!”

Wahai insan kerdil…
Mungkin kau lupa dari mana asal tubuh kecilmu
Lupa asal usul penciptaanmu…
Lupa segala janji-janjimu…
Kerana kau tidak melihat
Kau tidak menghirup
Segala penderitaan dan azab umat terdahulu
Kau terus hanyut…
Walau kau tahu
Badai didunia tak pernah surut
Malah keras bergelombang
Karamlah insan kerdil dalam lautan fatamorgana diri…