Dia bertanya, “Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?”
Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak
tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi
setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya
ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan
termangu saya menjadi menungan yang panjang.
Lelaki dan bengkel besi
Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah
saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya.
Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya,
tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia
bukan kata-kata untuk mengambil hati.
Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang
kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok,
parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord
of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.
Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi
dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat,
bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.
Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga
dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang
pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting
besi.
Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia
dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia.
Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik
bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya
tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh
seorang lelaki tua.
Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.
Bapa saudara.
Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya
kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah
yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan
tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang
dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin,
memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.
Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu,
setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya.
Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah
seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu
bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan
datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.
“Sampai bila kamu mahu membuat parang?” Itu soalan pertamanya kepada saya.
Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan
arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada
lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.
“Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa
kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?” Lelaki tua itu terus
bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali
merah.
“Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu
berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja
kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada
perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan
pengalaman kerja kamu.”
Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam
saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi,
bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar
dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.
Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!
Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah
daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu
yang menyala di hadapan saya.
“Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu
mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung
pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu
menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini,
tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu
menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma
tidak dapat menerima ujian hidup.” Lelaki tua itu mula bersyarah, dan
saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap
bilah parang daripada tangan saya.
“Mengapa kamu diam?” Lelaki tua itu mula keras suaranya.
“Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu,” jawab saya untuk pertama kalinya.
“Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas
kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi
sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan
menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan,
luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!” bidas
lelaki tua itu.
Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang
pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang
dan diam.
“Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?” soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.
“Kata Imam Ghazali, “Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah
'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan
dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu
berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah
jarang betul saya melihat kamu solat.”
“Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat
saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu,” bidas saya geram
dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..
“Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah
perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada
hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap
manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang
terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti
gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian.
Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran,
gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi
jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal
pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada
kegagalan,” terang lelaki tua itu.
“Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal,” hujah saya.
“Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak
saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya
'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana
walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi,
tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah
kamu kepada kamu!”
Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang
disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang
terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini
berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.
“Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?” soal dia lagi.
“Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan
berjumpa dengan lebih banyak tangisan,” balas saya lalu tersenyum sinis.
“Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan
senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu,
saya yakin kamu tidak akan lagi begini,” jelas dia.
Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya
memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada
ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah
dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan
ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.
“Rasulullah pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang beriman apabila
ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah
karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Seperti besi yang
kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih?
Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya
dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya
dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa
menjadi sesuatu yang berguna.”
“Apa kena-mengena dengan saya?” soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.
“Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian
Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi
itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api.
Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur,
sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik.
Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi
kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan
kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi
kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya.”
Saya pantas berkata, “Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?”
“Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus
asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum
kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu
tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya,
dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar,
jalan yang diredai Allah.”
Saya terdiam dan dia menyambung lagi,
“Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan
senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri
kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya
tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya
boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap
kesempatan. Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata
seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini.”
Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya
sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati
saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang
panjang.
..........................................................................................................
-Titipan Tuan Bahruddin Bekri
1 comment:
Assalamualaikum.
Hidup kita di dunia adalah singkat. Dalam keadaan bekalan dan masa dan tempoh hidup yang terhad, Allah SWT menyuruh kita membuat pemilihan. Surah AlBaqarah:36 وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ ﴿dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
Tak mungkin kita dapat membuat segala2nya dlm tempoh terhad krn Allah SWT sebdiri yg menciptakan manusia. Surah AzZmar:18 الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
Sebab itu kita mesti membuat pekerjaan yang terbaik diantara yang baik2. Dalam keadaan sistem sekarang, manusia telah banyak menjauhkan dari AlQuran dan Hadis kerana salah satu faktornya adalah faktor masa! Masa utk kita bekerja seharian, masa bekeluarga, masa utk beribadah khusus, bermuamalah dgn masyarakat dsb. Jadi bilakah masanya kita hendak mentadabbur AlQuran dgn 114 Surah? Masa kita utk mempelajarinya mmg terhad, itu belum lagi mengambil faktor2 halangan lain! Sebenarnya kita byk memboroskan masa dan tidak byk mendapat manafaat bagi diri kita keran hidup dlm sistem boros masa. Namun jangan putus asa dgn memilih seseuatu perkara yang paling baik. Surah AzZumar:53 قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚKatakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Bukankah tujuan kita hidup didunia mesti dalam petunjuk Allah SWT dan walaupun kta memberi pelbagai alasan. Surah AlBaqarah:38 فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدَايَ Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka).
Surah AlQiyammah:14-15 بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ ﴿١٤﴾ وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُ ﴿١٥﴾Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,) 15. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
Wallahualam
Post a Comment