Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Tuesday, December 4, 2012

Metabolisme. Makan.

Tahu tak apa itu metabolisme? metabolisme adalah jumlah tenaga atau kalori yang dibakar oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi-fungsi tubuh yang asas. Salah satu punca sukar untuk mengurangkan berat badan adalah kerana mempunyai tahap metabolisme badan yang rendah. Metabolisme rendah menyebabkan tahap pembakaran kalori menjadi lebih perlahan, namun ia boleh berubah dan ditingkatkan. Berikut disenaraikan beberapa jenis makanan yang boleh meningkatkan metabolisme dan mengekalkan tahap kecerdasan badan kita:

1. Air putih


Kadar metabolisme setiap individu tidak sama, ia bergantung kepada jumlah otot dan lemak di dalam tubuh. Kandungan air yang mencukupi dalam badan akan membantu proses metabolisme berjalan dengan baik. Amalan minum 8 gelas air putih setiap hari akan membantu tubuh untuk berfungsi pada tahap yang optimum.

2. Kalsium

 
Kekurangan kalsium di dalam badan akan menyebabkan badan berpaut dengan lemak yang sebenarnya boleh dibakar. Kalsium bukan sahaja boleh didapati daripada susu rendah lemak malah ia boleh diperolehi daripada keju, dadih, ikan salmon, taufu dan oat.

3. Snek

 
Apabila perut kita sudah mula memulas dan berbunyi, bermakna ia memerlukan 'minyak'. Makan snek dengan kerap secara sedikit demi sedikit akan dapat membantu masalah ini. Jika kita tidak makan, fungsi tubuh akan menurun dan kita mungkin akan makan berlebihan pada waktu makan seterusnya. Seeloknya pilih snek yang mempunyai kandungan fiber dan kandungan protien yang tinggi seperti buah-buahan, biskut berfiber tinggi atau dadih.

4. Makanan pedas

 
Tisu otot membakar atau menggunakan lebih banyak kalori untuk mengekalkan fungsinya berbanding dengan lemak. Jika kita mempunyai banyak tisu otot, kita akan mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi berbanding dengan individu yang mempunyai banyak lemak. Makan makanan pedas bukan sahaja membuat kita berasa kenyang dengan lebih lama. Malah, kandungan capsaicin di dalam cili mampu membakar kalori sehingga 30 minit selepas kita memakannya.

5. Teh hijau atau teh oolong

 
Teh hijau dan teh oolong mengandungi polifenol yang dapat meningkatkan kadar metabolisme. Gantikan secawan kopi atau teh tarik yang kita minum setiap hari dengan teh hijau atau teh oolong. Seelok-eloknya minum 4 atau 5 cawan sehari untuk melihat kesannya.

6. Limau bali


 
Dengan menambah limau bali setiap kali waktu makan walaupun tidak menukar saiz hidangan boleh membantu kita mengurangkan berat badan. Hal ini kerana limau bali mempunyai kandungan fiber yang tinggi dan rendah kalori. Di dalamnya juga terdapat enzim yang berfungsi untuk membakar lemak. Malah, ia boleh merendahkan insulin dan kolesterol dalam tubuh kita.

Thursday, October 25, 2012

Booster

Booster

Oleh: Abdul Rahman bin Ramdzan, Tahun 6, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah
Peperiksaan memang kadang kala membuatkan rutin harian kita agak terganggu sehingga membuatkan seseorang itu terjerumus untuk menjadi tertekan atau pun stres.
Sebenarnya stres adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh seseorang. Isunya di sini bagaimana seseorang itu menangani stres sedangkan Allah telah menjadikan sistem badan kita berupaya menghadapi apa jua tekanan yang berlaku dengan penghasilan hormon kortisol.
Menghadapi tekanan lebih-lebih lagi pada musim peperiksaan ini bukanlah perkara yang mudah sehingga ada di kalangan kita yang telah sampai ke tahap ‘exam stress sindrome’ dengan menunjukkan tanda-tandanya seperti insomnia(sukar tidur) dan hyperphagia(kuat makan). Jadi di sini ada beberapa tip yang ingin dikongsikan seperti:
  • Menjaga waktu tidur dan mendapat rehat yang secukupnya
  • Amalkan bangun sebelum waktu fajar dan hanya mengambil sedikit rehat (nap) sebelum atau selepas Zohor
  • Mengambil hidangan makanan sihat yang sedikit tetapi enam kali sehari
  • Mengambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Dianjurkan untuk mengambil makanan yang akan menjadikan kita gembira seperti pisang, kurma, epal hijau dan coklat
  • Dianjurkan untuk keluar berjalan-jalan melihat alam selama 15 minit
  • Yang paling penting sekali adalah dengan mendekatkan diri dengan pencipta kita
Namun, tanpa kita sedari ketika kita sedang diserang demam peperiksaan ini dan menghadapi stres, terdapat satu pasukan yang sedang sibuk melekakan kita agar kita jauh daripada-Nya.
Ketahuilah penipuan yang dibuat oleh mereka agar kita mampu mengelak dari terperdaya dengan tipu daya mereka. Syaitan sengaja menjadikan kita leka dengan belajar sehingga kita lupa dengan suruhan Allah.
Analogi mudah:
Kita masih boleh melengah-lengahkan solat sedangkan iqamah sedang dilaungkan di masjid. Gara-gara ingin habiskan target sehari, kita gadaikan Subuh berjemaah kita di masjid dengan stay up hingga larut malam. Dulu kita mampu mentadabur Al-Quran tetapi sekarang membacanya pun mungkin tidak sempat lagi. Itu belum lagi dengan zikir mathurat dan qiamulailnya. Entah lari ke mana semuanya. Kesian rohani kita kurus kering pada tika ini.
Dari luaran memanglah nampak baik kita belajar bersungguh-sungguh  tetapi awas itulah strategi meraka untuk melalaikan kita daripada melakukan perintah Allah. Sama-samalah kita muhasabah diri. Tepuk dada tanya iman!
Sepatutnya pada saat ini kita makin dekat dengan-Nya. Hubungan dan pandangan-Nya yang kita dahulukan. Sebab kita tahu kita hamba-Nya yang hanya mampu merancang tetapi tidak mampu menentukan. Kita perlu yakin yang Dia yang memberi ilham untuk menjawab dalam peperiksaan nanti bukan kerana usaha kita. Walau banyak mana kita belajar sekali pun jika kita tidak menjaga hubungan dengan-Nya, maka mana tahu pada hari peperiksaan itu kita demam ataupun blank atas sebab Dia murka dengan kita (na’uzubillah min zalik). Yakinlah hanya Allah sahaja yang mampu melakukan segalanya dan niat yang bersih, belajar hanya kerana-Nya, InsyaAllah akan Dia permudahkan segalanya…
Oleh sebab itu, ada berapa garis panduan untuk kita amalkan agar kita masih mampu menyukakan Allah:
  • Solat lima waktu secara berjemaah di masjid pada awal waktu serta sunat rawatib
  • Baca Al-Quran dan tadabur
  • Qiamullail
  • Puasa sunat
  • Zikir dan mathurat pagi dan petang
Inilah yang paling kurang kita lakukan pada musim peperiksaan ini. Memang tidak dinafikan, masa sangat tidak mencukupi untuk kita menghabiskan semua pelajaran. Tetapi janganlah pula ia dijadikan alasan agar kita jauh daripada-Nya. Ingat, kita bersemangat untuk menegakkan Islam, lagak pejuang Islam tetapi jika ujian dunia ini sudah meruntuhkan Islam dalam diri kita jadi bagaimana hendak tertegaknya Islam ke seantero dunia. Fikirkanlah.
“Jadikanlah peperiksaan ini hanya sebagai booster yakni pencetus tetapi bukanlah sebagai matlamat untuk kita belajar agar terpelihara niat kita belajar kerana Allah SWT.”

------------------------------------------------------

T___T

Thursday, September 6, 2012

Lebih Baik TIDAK BERSEKOLAH


Oleh : FADHLINA SIDDIQ

Lebih Baik Tidak Sekolah - tajuk sebuah buku kecil nukilan Bapak Sujono Samba yang memperkatakan tragedi  dan masa depan pendidikan di Indonesia. Dalam perkembangannya sekolah  ternyata tidak menjadi media pembebasan dan penanaman nilai-nilai kemanusiaan. Sekolah sudah menjadi penjara yang memisahkan anak didik daripada  dinamika persoalan masyarakatnya. Semakin lama seseorang bersekolah semakin besar jarak antara dirinya dan realiti kehidupan yang sebenarnya.
Sekolah bukan lagi tempat untuk belajar melainkan tempat murid diarahkan dan dicetak menurut pola yang sudah baku. Dengan demikian, lembaga pendidikan gagal menjalankan tugasnya yang paling dasar, iaitu membantu seorang menjadi manusia yang bebas dan merdeka. Sekolah sudah sepertinya factory atau kilang yang tugasnya hanya mencetak watak-watak manusia A+ dan menolak manusia lain yang hanya mendapat B dan C. Malah yang berstatus D dan F akan terus tersingkir dengan sendirinya.
Di Malaysia tidak kurang keresahannya. Dalam keributan menentukan sistem yang terbaik kita mula meminggirkan aspek teras bangsa dan budaya apabila berterusan meminggirkan Bahasa Melayu dan tulisan jawi. Keranda Bahasa Melayu diusung secara simbolik tanda protes bahawa watak bangsa akan terhapus dengan peminggiran Bahasa Melayu.
Sudah nampak riak akan berlaku kebobrokan dalam aspek nilai dan produk manusia dalam masyarakat dengan meningkatnya gejala sosial dalam kalangan anak muda saban hari.
Dari memaknai soal mendidik asalnya ia sudah menjadi mencetak, tatkala sekolah diperjuangkan untuk rakyat dan pendidikan percuma adalah hak asasi rakyat, aspirasi itu dimatikan dengan pembinaan institusi pendidikan swasta yang terus mematikan hasrat rakyat kononnya ia dibina demi kualiti pendidikan.
Begitulah seterusnya episod-episod menyayat hati dalam isu pendidikan negara yang kemudiannya menjadikan anak-anak kita sebagai eksperimen dan tikus makmal bagi menguji keberkesanan setiap kali dasar pendidikan baru dirombak.
Semua menjadi kalut dan cemas! Ibu bapa sudah tidak ketahuan jadual peperiksaan anak-anak. Guru-guru menggalas beban dengan kelas tambahan dan tuisyen. Anak-anak sudah terobses dengan kecemerlangan akademik atas permintaan pasaran dan prosedur dunia. 
Ivan Illich pernah mengejutkan masyarakat dengan gagasan kontroversinya tentang deschooling society (masyarakat tanpa sekolah). Illich meramalkan bahawa jika pengetahuan dan tingkat kedewasaan masyarakat sudah berkembang dengan wajar maka institusi-institusi pendidikan formal tidak lagi diperlukan.
Masyarakat akan mampu menjalankan fungsi pendidikan lewat elemen sosial dan budaya yang luas tanpa harus terikat dengan autoriti perlembagaan seperti sekolah. Ertinya dalam masyarakat ini sekolah sudah tidak diperlukan lagi. Gagasan ini sampai sekarang masih belum terbukti dalam kehidupan konkrit. Tetapi jika dilihat dengan mendalam, maka betapa tepatnya Illich dalam menilai dan mendekripsi peranan pendidikan.
Dalam serba ketidaktentuan arah pendidikan ini, terbitnya buku Excellence Wihout Soul karya Harry R Lewis - membicarakan tentang Universiti Harvard yang sudah kehilangan roh dan menghadapi bencana kehilangan arah tujuan. Ketika Harvard memikul jenama universiti tertua, ternama dan terunggul di dunia, mereka telah melupakan the fundamental job of undergraduate education tanggungjawab dasar terhadap anak didik termasuk to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives and to leave college as better human beings.
Oleh yang demikian, sistem pendidikan negara sewajarnya menjaja pendidikan keinsanan yang mana seharusnya ia memaknai sabda nabawi khairu ‘n-nas anfa’uhum li n-nas (orang yang terbaik adalah yang paling berguna kepada orang lain).
Anak bangsa ini harus dididik untuk terus menjadi warga yang baik, anak yang meletakkan sifat keinsanan serta mengangkat darjat karamah insaniyyah serta menjadi manusia yang terus memanfaatkan manusia lain. Ini juga nyata bertepatan dengan kata pujangga Melayu dalam menggambarkan erti manusia yang baik dan bermanfaat itu adalah;
Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.
* Penulis ialah Naib Presiden (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Wednesday, April 18, 2012

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Jodoh, Jodoh, Jodoh. Sampai Lembik!


Dahulu, semasa saya memulakan kembara cinta. Saya sama seperti kebanyakan orang. Terperangkap dalam paradigma jodoh. Biasalah, semangat nak dapat jodoh yang baik, bercinta dengan cinta yang baik. Jadi, urusan jodoh ini sering berada dalam fikiran.

Sehingga satu tahap, saya usaha menjadi ala-ala malaikat dengan mengangkat statement seperti:

“Kita ini hanya menunggu jodoh yang Allah telah tuliskan untuk kita di lauh mahfudz sana.”

‘Menanti’, ‘Memendam’, dengan kepercayaan bahawa, nanti Allah bagi kita jodoh yang baik. 

Ya, begitulah yang saya percaya. Dan ketika waktu-waktu begini, sangatlah saya obses dengan mimpi-mimpi yang saya rasa, saya ulang, saya rasa menjadi isyarat kepada jodoh saya.

Hari ini, saya telah lama meninggalkan semua itu.

Saya melihat, perasaan sedemikian adalah penyakit.

Hingga Tidak Tentu Arah.

Apabila saya menjadi penulis dan mula menempa nama, maka Facebook saya sering diketuk dengan pelbagai persoalan mengenai cinta. Soalan paling popular adalah: “Bagaimana hendak mengetahui bahawa dia itu jodoh saya?” Begitu.

Ramai yang bercerita akan dia bermimpi sekian dan sekian. Terlihat wajah sekian dan sekian. Berlaku sekian dan sekian. Ada pula yang menceritakan tentang degupan jantungnya begini dan begitu, akalnya yang begini dan begitu, dan sebagainya. Ada pula yang cuba menjustifikasikan perasaannya dengan menyatakan kebetulan-kebetulan yang berlaku seperti asyik terserempak, bila diperiksa minat si fulan/fulanah itu sama dengan dirinya, dan sebagainya.

Kemudian mereka menceritakan bagaimana mereka tidak tenang, kerana asyik terfikirkan perkara ini. Bagaimana mereka takut untuk membuat keputusan yang ‘tidak direstui petanda-petanda’ ini. Lebih teruk, ada pula yang telah bertunang, telah mengikat janji hendak berkahwin, sudah berurusan dengan keluarga dan sebagainya, kemudian diserang ‘fikiran-fikiran sebegini’, hingga menjadi tidak tentu arah dan ragu-ragu dengan pilihannya.
Masa muda, habis disibukkan dengan perasaan-perasaan sebegini. Kemudian buat keputusan terburu-buru, kerana ‘dipandu’ kefahaman sebegini.

Mereka menamakannya dengan pelbagai nama.

‘Panggilan Tuhan’, ‘Petunjuk Tuhan’ dan pelbagai nama yang menunjukkan ketuhanan, untuk menyatakan inilah dia ‘hidayah, ilham’ daripadaNya.

Tetapi bagaimanakah petunjuk Tuhan itu boleh menjadikan seseorang tidak tenang dan fikiran seseorang bercelaru? Bagaimanakah Tuhan, memandu seseorang tanpa praktikal yang logik sedang hamba-hambaNya hidup di alam realiti?

Jodoh, Di TanganNya. Mereka Sendiri Kata.

Siapakah Jodoh Kita?

Sebenarnya satu soalan yang tidak mampu dijawab sesiapa.

Apakah dengan yang kita berkahwin, itu jodoh kita? Belum tentu. Ada orang berkahwin, cerai. Ada orang berkahwin, kemalangan, seorang mati dan seorang lagi hidup, lalu yang hidup kahwin pula dengan orang yang lain.

Jadi apakah mafhum ‘jodoh’? Ya. Terlalu abstrak. Tidak mampu diikat dengan apa-apa.

Maka bagaimanakah kita boleh menyibuk-nyibukkan diri berfikir akan perkara sebegini sehingga menganggu kehidupan kita?

Jodoh itu ditanganNya. Ayat ini, sering disalah guna, untuk melarang mereka yang ingin berusaha mencari jodoh yang baik buat diri mereka. Mereka ini akan sering dinasihatkan oleh sekumpulan manusia: “Tak payah usaha kuat sangat, jodoh itu di tangan Allah, Dia telah menetapkanNya.”

Apakah nasihat ini? Ya, jodoh itu di tangan Allah SWT. Justeru, kita tidak tahu. Tetapi Allah SWT telah memberikan kita petunjuk, ‘orang yang bagaimana sepatutnya kita ambil sebagai pasangan’ melalui firmanNya:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” Surah Al-Baqarah ayat 221.

Jadi, memang kita tidak akan tahu ‘siapa’ jodoh kita. Tetapi kita tahu, ‘orang yang bagaimana sepatutnya kita ambil sebagai pasangan’. Maka bergeraklah. Cari. Risik. Selidik. Usaha dapatkan yang terbaik. Jelas Allah SWT sendiri mengisyaratkan kita untuk ‘mencari’. Lihatlah bagaimana Dia berfirman: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan…”

Bukankah itu tandanya, pilihan di tangan kita? Kalau semuanya telah diaturkan, ditetapkan, buat apa Allah SWT pesan agar kita jangan berkahwin dengan sekian-sekian jenis orang?

Maka, sepatutnya, kita bergerak mencari. Bukannya menanti petanda-petanda ajaib. Kita ini walikah sehingga kita dapat membezakan mana satu mimpi yang Allah berikan petunjuk, mana satu mimpi mainan syaitan? Kita ini walikah sehingga kita dapat menjangka dengan tepat kebetulan-kebetulan itu adalah tanda Allah nak si fulan/si fulanah itu jodoh kita? Bukan. Kita bukan wali!

Maka hendaklah kita berpijak di bumi yang nyata.

Bergerak secara praktikal!

Jodoh di tanganNya. Kita tidak tahu. Sebab itu kita berusaha!

Jangan Takut Selepas Berusaha.

Sebab itu, amat penting untuk kita meneliti semula kefahaman kita terhadap rumahtangga di dalam Islam. Tujuan berumahtangga. Ianya adalah untuk membina ummah. Bukannya untuk berseronok-seronok, sekadar hendak memenuhi kehendak nafsu dan hayat.

Bila kita memahami bahawa rumahtangga adalah untuk membina ummat, maka kita tidak akan serahkan perkara sebesar ini semata-mata kepada mimpi.

Bila kita telah berusaha, telah bersungguh-sungguh mencari ciri-ciri yang baik, yang sesuai untuk dijadikan isteri/suami kepada kita, maka percayalah dengan pilihan itu. Apa yang ada di tangan, usahakan. Sebab itu, perlu ada reason yang sangat kuat, kenapa kita pilih si dia untuk menjadi isteri/suami kita.

Sebab itu saya sarankan agar kita meneliti, menyelidik, usaha untuk at least kenal serba sedikit dengan orang yang ingin kita jadikan sebagai bakal pasangan kita dalam rumahtangga. Ada banyak cara yang syar’ie dalam hal ini. Tidak perlu mengorat, tidak perlu bercouple. Yang diperlukan adalah kesabaran dan keberanian.

Pergi kepada wakilnya, tanyakan perihalnya serba sedikit. Pergi kepada yang mengenalinya, tanya bagaimana dia. Perempuan pun sama, pergi selidik. Tanya sesiapa yang kenal dengannya. Kalau dia ada adik atau kakak perempuan, gunakan peluang itu sebaiknya. Kalau ada wakil lelaki dari pihak anda, minta agar wakil lelaki anda selidiki diri lelaki itu.

Yang penting, carilah sebab yang paling ampuh(semestinya sebab yang syara’ dan diredhai Allah) untuk menjadikan dia pasangan kita.

Bukan atas mimpi, bukan atas kebetulan-kebetulan.

Kemudian sibuk fikirkan itu adalah jodoh, jodoh, jodoh, sampai serabut kepala dan lembik peribadi. Syok sendiri.

Usaha, pilih, dan selepas pilih, istiqomahlah!

Usaha dah syara’, jalan pilih dan ciri-cirinya sudah menyenangkan jiwa kita, apa lagi mahu diragu-ragukan? Jalan terus. Usah pandang-pandang kiri dan kanan lagi.

Penutup: Buanglah Mainan Perasaan Ini. Cinta Adalah Serius!

Buanglah mainan perasaan seperti mimpi-mimpi dan kebetulan-kebetulan ini. Buanglah statement-statement malaikat seperti ‘Menanti Jodoh Yang Telah Ditetapkan’ dan sebagainya. Mana kita tahu?

Mari, saya ajak kepada yang lebih praktikal. Saya dahulu juga sibuk dengan benda-benda jodoh ini, tetapi selepas saya memahami betapa Allah SWT menganjurkan kita agar berusaha, dan betapa saya memahami Islam ini adalah praktikal, maka saya telah meninggalkan semua kelembikan ini.

Islam itu berdiri di atas perkara yang solid. Bukan rasa-rasa, dan perkara selemah mimpi!
Bukannya saya melarang perkara seperti istikharah. Namun meletakkan semua ke atas perkara yang kita sendiri tidak pasti, samalah seperti kita menguruskan urusan Tuhan. Allah sendiri suruh kita usaha, sudah Dia berikan ciri-ciri yang Dia suka, maka apa lagi? Usahakanlah!

Isu Istikharah juga hangat. Banyak salah faham di dalamnya. Sangka orang, istikharah, maka jika selepas itu mimpi, itulah jawapannya. Jika selepas itu nampak ‘tanda’, itulah jawapannya. Sedangkan, perkara yang sebenar bukan semudah itu!

Saya akan terangkan perihal istikharah secara khusus dalam lembaran yang lain.

Yangpenting, buanglah permainan perasaan ini.

Jangan jadi nujum jodoh.

Pandanglah dengan mata realiti. Bukan mata majazi.

Usalah dengan apa yang telah Tuhan beri, bukan fikirkan apa yang Tuhan akan beri.

Ketepikan kelembikan atas perihal jodoh, jodoh, jodoh ini!


...........................................................................................................................


Belakangan ini, hasil tulisan serta status FB Akh Hilal menyenangkan. 

Ya, memang 'sweet'. Iyalah, orang tengah bahagia. haha. [selamat ya akh!]

Namun bahagia yang terarah. Saya senang dengan pencerahan yang diberikan beliau.

Entri ini khusus untuk kamu, dia juga saya.

Terkadang seseorang itu tersilap dalam membuat perkiraan, terutama perkara yang melibatkan perasaan. [Harus bagaimana lagi?!]

Terpanggil untuk berkongsi artikel ini. 

Moga bermanfaat! Insya Allah.

Thursday, February 18, 2010

Keranda 152

Usaha martabat bahasa Melayu dibelit lingkaran lapuk


Bersama Salbiah Ani

dahiyah @nstp.com.my
SAMBUTAN Hari Pejuang Bahasa 152 - 14 Februari - dalam bentuk beberapa program yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Rumah Pena disambut baik sesetengah pengguna bahasa, tetapi ada juga melihatnya sebagai tidak memberi kesan ampuh untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dicatat bahasa itu suatu waktu dulu.
Penat lelah Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), DBP, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dilihat masih bergerak dalam lingkaran lapuk!

Begitu juga dengan Ceramah dan Forum Bahasa Kebangsaan sempena genap setahun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) melancarkan perarakan menyampaikan memorandum membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

Pandangan yang tidak memihak kepada usaha terbabit disebabkan penganjur lupa mengambil kira aspek bahawa sasaran sebenarnya ialah kesedaran dan mendapatkan penyertaan serta perhatian daripada kelompok yang tidak peduli terhadap daya hayat bahasa Melayu, baik sebagai bahasa harian apalagi dalam hal berkaitan ilmu!

Seorang pengguna bahasa dan pakar linguistik bahasa Melayu ketika ditanya pandangan mengenai Hari Pejuang Bahasa menjawab pertanyaan penulis dengan selamba lagi mengejutkan sehingga penulis terpinga-pinga: “Saya tak ambil peduli mengenai hari itu. Hari kelahiran sendiri pun tak ingat.”
Pengakuan ini pasti mengguris hati pejuang bahasa Melayu, tetapi perlu diingat majoriti rakyat Malaysia kini berfikiran demikian, apalagi masyarakat kelompok bawahan yang terpaksa bertungkus lumus demi meneruskan kehidupan, manakala kelompok menengah atas tidak peduli kerana dibelenggu kemewahan, lalu ‘biaq pi’ bahasa Melayu!

Perkara seumpama ini terjadi bukan saja kerana kesilapan di kalangan kelompok berwewenang yang lupa diri apabila diri sudah menikmati kemewahan dan kuasa, tetapi juga ekoran kealpaan orang bahasa dan sastera selama ini kerana ‘mencicirkan’ kelompok di luar lingkungan sehingga mereka terus jauh daripada milik bangsa sendiri!

Untuk menyuburkan kembali rasa sayang kepada bahasa Melayu dan betapa penting mempertahankan haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 pasti mengambil jangka masa panjang, malahan mungkin lebih lama daripada ulang tahun kemerdekaan negara yang mencatat usia 53 tahun ini!

Dalam hal kebahasaan, Indonesia selalu beruntung kerana kata sepakat yang dicapai dalam memartabatkan bahasa Indonesia sebagai bahasa untuk semua rakyatnya seperti dipersetujui pada Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928, terus bertahan sehingga ke hari ini!

Tidak seperti di Malaysia, meskipun haknya sudah diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961/1996, tetapi sentiasa ada usaha mengganggu gugat, seolah-olah seperti suatu dosa jika membiarkan ia bertahan sebagai bahasa untuk semua bangsa, usia dan kedudukan di negara ini!

Kelompok yang memandang remeh hari terbabit juga tidak mahu melihat program itu digunakan sesetengah pihak yang hanya membisu seribu bahasa ketika bahasa Melayu dilanyak dan hanya bersuara selepas dicabar beberapa pihak sehingga mengeluar janji untuk menyaman dan mengadakan perarakan Keranda 152, tetapi akhirnya hanya tinggal janji!

Golongan yang memandang sepi itu juga melihat Hari Pejuang Bahasa tidak perlu kecuali jika bahasa Melayu sudah pupus kerana memperingati sesuatu adalah untuk perkara dan orang yang sudah tiada dan perjuangan bahasa suatu yang bersifat berterusan,

Mereka tidak nampak kewajaran hari terbabit dan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera yang dilancarkan tanpa sebarang dana daripada pihak berwajib bukan saja tampak lucu, suatu sandiwara dan temberang, tetapi juga boleh digunakan golongan pengambil kesempatan!

Meskipun merah telinga dan terbakar hati mendengar hujah kelompok terbabit, tetapi hakikatnya itulah kenyataan yang sering diabaikan iaitu golongan bahasa mahupun sastera bergerak secara syok sendiri sehingga tampak usaha seperti anjing menyalak bukit, sedangkan bukit yang disalak tidak runtuh dan si penyalak akhirnya kering tekak dan kepenatan!

Sudah pasti gerakan lebih wajar ialah dengan mengambil tindakan seperti memberi ingatan, mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan menghantar memorandum apabila berlaku pencabulan bahasa tanpa perlu menunggu kes menjadi busung seperti dalam hal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)!

Tanpa menafikan hakikat bahawa ia menjadi amanah semua insan bernama Melayu, tetapi tanggungjawab terbabit lebih terpikul di tangan pejuang bahasa dan sastera, apalagi mereka yang terbabit sama serta menyaksikan peristiwa Keranda 152 kerana mereka lebih berpengetahuan, berpengalaman selain disegani kelompok berwewenang negara ini!

Tidak banyak pilihan yang tinggal kini bagi memartabat, memperkasa dan mengangkasa bahasa Melayu di negara ini kerana hakikatnya majoriti Melayu sudah lama tidak boleh bergantung kepada senator yang dilantik ke Parlimen bagi membawa usul berhubung bahasa Melayu.

Peta sejarah negara ini merakam kelompok ini hanya mengulangi apa yang pernah diutarakan editor dan wartawan sastera, meskipun hakikatnya pelantikan mereka berdasarkan ‘wibawa’ masing-masing, lalu tampak semangat juang mereka tidak ke mana dan lebih kepada gah diri selain asal fulus masuk saku!

Peristiwa demonstrasi besar-besaran Kongres Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) di Balai Budaya DBP, Kuala Lumpur, pada 3 Mac 1967 dan perarakan membawa Keranda 152 sambil membawa sepanduk ke kediaman Tunku Abdul Rahman bagi menyampaikan surat protes rakyat akan sikap liberal terhadap bahasa Melayu, akan kekal sebagai tindakan paling berani bangsa Melayu dalam mempertahankan hak bahasa itu!

Sumber : http://www.bharian.com.my/  & Bahasa Itu Indah