Showing posts with label Ibu. Show all posts
Showing posts with label Ibu. Show all posts

Friday, January 18, 2013

Mama Tercinta

Ya Rabb, 
dengan limpah rahmat kasih-Mu
kumohon penuh harap moga jiwa bonda bahagia
dipenuhi takwa dan sabar
dalam mengendong isi hidup.

Bonda, selamat ulang tahun kelahiran.

-Jeda-

Mata Ibu

sejak dulu kala
matamu hulu kali


airnya lelehan cermin
menggenangi pipi, telaga tempat ikan-ikan
berenang; anak-anak yang engkau lahirkan
dan tumbuh dewasa lalu melepaskan
siripnya di antara batu-batu buta


air itu jualah menguap ke langit
sebab tak ada mulut laut
mau jadi muara


di ceruk pipimu, para pemancing datang
bagai gelombang pengungsi dari pulau-pulau jauh


tetapi engkau sungguh tak tahu mengeluh
sebab air kali itu membuat langit
selalu biru,
selalu baru
dan lelaki bangun mendapati
setiap hari sebagai hari baik buat memancing


tetapi engkau sungguh tak tahu mengeluh
mulutmu corong seluruh doa paling minta
agar tuhan tak mengeringkan kali
sebelum ternak dan anak-anak
menemukan hujan


-Aan Masyur (2006)

Sunday, May 8, 2011

Kita, anak soleh?

Sifat anak yang soleh...
Mentaati ibu ayah..
Tidak membantah malah mentaatinya....

Lirik 'Anak Soleh' nyanyian kumpulan nasyid UNIC ini, benar-benar memberi kesan. Bait-bait lirik yang membawa makna besar dalam diri seorang anak. Wajar bagi individu yang bergelar anak, mengambil iktibar daripada senikata lirik ini. Ya, saya, awak, kita, sebagai anak, perlu menghayatinya.

Sedikit perkongsian mengenai anak soleh. Pada hemat saya, pandangan Ustaz Baei ini sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita, sebagai seorang anak.
.......................................................................................................................................................................................


Tindakan anak soleh
Di sini saya menyenaraikan tindakan wajar yang patut dilakukan oleh anak terhadap ibu mereka:
1. Mentaati perintah ibu
Sebagai anak anda wajib mentaati perintah ibu berdasarkan ayat di atas. Malah Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang masyhur:
 الجنة تحت اقدام الامهات
Maksudnya: Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Maknanya untuk menikmati syurga anak perlu mengikut langkah dan rentak ibu. Apa yang dikata dan apa yang disuruh perlu diikut. Namun ketaatan itu hendaklah pada perkara yang tidak menderhakai Allah. Sabda Rasulullah: 
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Allah.
Maknanya jika ibu menyuruh anak mencuri barang orang atau menyuruh anaknya menyebarkan fitnah, maka perkara itu tidak boleh ditaati. Tetapi perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud anak boleh menentang ibu. Malah anak tidak boleh memusuhi ibu. Sebaliknya anak perlu memberi alasan yang islami mengapa dia tidak boleh mentaati perintah ibu itu.
Ingatlah ibu tetap ibu walaupun mereka terdiri daripada orang yang pernah derhaka kepada Allah. Walaupun anak tidak boleh mentaati ibu dalam perkara maksiat, tidak bermakna si anak boleh mengisytiharkan perang terhadap ibu. Jadi, perkara baik yang disuruh tetap wajib ditaati, hanya perkara yang bercanggah dengan Islam sahaja yang patut diabaikan.

2. Berdoa untuk ibu
Berdasarkan ayat 24 Surah al-Isra’ di atas, si anak wajar mendoakan ibunya semasa hidupnya apatah lagi selepas dia mati. Sabda Rasulullah:
اذا مات ابن الادم انقطع عمله الا ثلاث، صدقة جارية،
علم ينتفع به، وولد صالح يدعوله
Maksudnya: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
Namun tiga perkara di atas banyak bergantung kepada usaha ibu semasa hidupnya. Kalau ibu banyak buat sedekah yang berupa wakaf, tentu faedahnya berkekalan, kalau ibu ada mendidik anaknya dan anak orang lain dengan ilmu yang berfaedah atau dia menghasilkan buku yang boleh dimanfaatkan orang lain, tentulah manfaatnya berpanjangan. Begitu juga kalau anaknya soleh, pasti dia mendoakan ibunya baik waktu hidup mahu waktu matinya.

3. Tidak menyakitkan hati ibu
Anak tidak boleh menyakitkan hati ibu walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun anak tidak suka kepada tindakan ibu, tidak bolehlah bertindak menyakitkan hatinya. Carilah jalan yang boleh membuatkan ibu sentiasa gembira. Ingatlah sabda Rasulullah yang antara lain bermaksud: 
“Keredaan Allah s.w.t. ada dalam keredaan ibu bapa, dan murka Allah ada dalam kemurkaan ibu bapa.”

4. Tidak menyusahkan ibu
Anak juga tidak wajar menyusahkan ibu dalam apa tindakan. Kadang-kadang anak tidak sedar bahawa tindakannya boleh menyebabkan ibu menjadi susah hati. Permintaan yang bukan-bukan juga boleh menyebabkan ibu rasa susah untuk mendapatkannya. Kalau ibu orang yang berada, bolehlah dia mengadakannya, namun hati ibu tetap tidak senang. Apatah lagi kalau ibu orang yang miskin.
Berdasarkan senarai ini saya dapati pengorbanan ibu yang begitu besar, jarang dihargai. Anak-anak sering mengabaikan ibu, apatah lagi sesudah tua. Oleh sebab itu amat wajarlah hari ini disambut sebagai Hari Ibu. Setidak-tidaknya anak yang terlalai seketika dapat dikejutkan semula. Walaupun dalam Islam, mentaati, menghormati dan mengasihi ibu perlu dibuat setiap hari, tetapi realitinya tidak begitu. Oleh sebab itu mulai hari ini kasihilah ibu dan kekalkanlah dalam keadaan itu sehingga ke akhir hayat.
Ingatlah pesanan Rasulullah, tiga keadaan umat manusia yang mereka tidak akan masuk syurga iaitu orang yang membuat dosa kepada ibu bapa, orang yang tiada cemburukan anak atau isterinya bertemu dengan orang laki-laki (yang bukan mahram), dan orang perempuan yang (berpakaian) menyerupai laki-laki. Wallahu a'lam.

Kerna Dirimu Sungguh Bermakna

Ibu, Bonda, Emak, Mama, Mummy, Ummi.

Ini panggilan mesra, pengikat hati antara anak dan juga insan mulia yang digelar ibu. Zaman kini, tiada insan yang dilahirkan tanpa seorang ibu. Ibu merupakan watak utama dalam kehidupan seorang anak. Peribadi seorang anak banyak dipengaruhi oleh didikan ibu kerana banyak masa dihabiskan bersama-sama.

........Hari Ibu, Mother's Day.... 

Saya kurang gemar untuk meraikan ibu pada hari yang khusus sebegini. Pada pendapat saya, setiap hari, hari yang istimewa untuk ibu. Saya lebih gemar meraikan ibu pada ulangtahun kelahirannya atau ulangtahun perkahwinan. Namun, semuanya bergantung kepada individu.

Saya gunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka yang bergelar ibu dan guru. Terima kasih atas jasa dan kasih yang kalian curahkan. Hanya doa yang mampu diberikan, Allah jua yang layak membalas jasa kalian.

Inilah hal yang saya suka berkaitan Hari Ibu, saya punya peluang untuk menganggap mereka, para ibu dan guru-guru, sebagai ibu saya. Saya sayang mereka!

Pastinya kasih yang tak berbelah bagi ini tetap kepada insan yang kukasihi dan kuhormati, Ibu.


Kasih Ibu hingga ke syurga....