Showing posts with label Ucapan. Show all posts
Showing posts with label Ucapan. Show all posts

Sunday, August 11, 2013

Syawal 1434 H

Sebulan berlalu. Puasa katanya.

Sekarang dah tiba bulan raya. Katanya.

Yang pasti, yang jauh mendekat, yang dekat makin erat.

Saya kira belum terlewat ya untuk membuat ucapan. Mercun masih berdentum. Kuih belum bersisa.

Selamat hari raya! Minta maaf semua atas salah silap.



Tahun ni hanya dapat satu kad raya. Sayu pula rasanya. Haha... Walaupun kad raya tak banyak macam sebelum ni, sms hari raya yang diterima cukup bermakna. Terima kasih!

Samping budak ni mirip dengan kain pelikat ungu tu. #eh...


Jemput datang ke rumah jika berkelapangan.





Friday, January 18, 2013

Mama Tercinta

Ya Rabb, 
dengan limpah rahmat kasih-Mu
kumohon penuh harap moga jiwa bonda bahagia
dipenuhi takwa dan sabar
dalam mengendong isi hidup.

Bonda, selamat ulang tahun kelahiran.

-Jeda-

Mata Ibu

sejak dulu kala
matamu hulu kali


airnya lelehan cermin
menggenangi pipi, telaga tempat ikan-ikan
berenang; anak-anak yang engkau lahirkan
dan tumbuh dewasa lalu melepaskan
siripnya di antara batu-batu buta


air itu jualah menguap ke langit
sebab tak ada mulut laut
mau jadi muara


di ceruk pipimu, para pemancing datang
bagai gelombang pengungsi dari pulau-pulau jauh


tetapi engkau sungguh tak tahu mengeluh
sebab air kali itu membuat langit
selalu biru,
selalu baru
dan lelaki bangun mendapati
setiap hari sebagai hari baik buat memancing


tetapi engkau sungguh tak tahu mengeluh
mulutmu corong seluruh doa paling minta
agar tuhan tak mengeringkan kali
sebelum ternak dan anak-anak
menemukan hujan


-Aan Masyur (2006)

Thursday, December 6, 2012

Tamat.

Langit tersenyum melihat camar riang berterbangan. Sekumpulan ke utara, sekumpulan ke barat. Merpati pula lebih mesra berpasang-pasangan, terbang bersama-sama lalu berehat di atas tali elektrik. Sesekali riuh kicau camar memecah sunyi petang nan nyaman. Tenang.

Petang nan indah mesti diisi sebaiknya. Guna sebaik mungkin! 

Masa untuk melembutkan kekaki, tetangan juga otaku. Yeah!


> Tahniah dah tamat SPM! Gunakan masa senang lenang ni sebaiknya.

> Selamat ulangtahun kelahiran inche kecik. Be blessed. You are still my little one.

Wednesday, November 14, 2012

Salam 1434 Hijri.


Dua

I am inspired with the words of my superior, which sound like this:

'It's okay to make mistakes, we learn from mistakes, but do not repeat the same mistakes.'

Monday, November 5, 2012

Empat tahun.

Empat tahun lalu.

Debar. Resah. Tak senang duduk. Mata berpinar-pinar.

*Bismillahirrahmanirrahim*

Kini, kondisi yang sama namun watak berbeza. Ah, hanya diriku yang berlebihan rasa. Sedang dia tenang-tenang sahaja.

*****

Adinda yang dikasihi, 

tenang-tenang dalam dewan peperiksaan ya. Hanya mampu menembak doa bertalu-talu dari jauh. 

Lontarkan semuanya dengan teratur. Buat yang terbaik!

Sebulan ni, khusus, special service. =D

Selamat Menghadapi SPM!


All the best!

Allahumma rabbuna yusahhil....
 



Jaga diri baik-baik. Kalau sakit, susah nak jawab periksa.

Monday, October 29, 2012

Takwim.

Kehadapan kamu,

Telah berlalu beberapa purnama, membukit kasihku padamu. Terkadang, hangat desah bayu membawa rinduku pergi mengenang masa lalu, saat kamu dan aku bertemu. Dingin yang menghangatkan. Mesra nian.

Masihkah kau ingat, saat-saat kita saling menatap, memandang penuh erti, penuh harap dan pengertian?

Kamu tersipu-sipu. Namun kamu sentiasa bersedia. Aku pula ragu. Benarkah kamu yang telah ditelusuri sepanjang menangguk di air yang keruh?

Saatku mendekatimu, harapanku hanya satu. Kuharap benarlah kamu. Kamu, bukan dia atau mereka. Besar harapanku bak menatang air yang penuh.

Kini, dirimu kuseru kesekian kalinya. Hadirlah kepadaku sepenuhnya, mengisi ruang rindu ini.

Salam kasih,

Pena Fikir. 

***** 


Dia tersenyum. "Oh Pena Fikir, you make me smile!"  jerit kecil Warkah penuh riang.

------------------------------------------------------


Demikianlah kisah manis Pena Fikir dan Warkah. 
 
- Jeda -

Musim peperiksaan yang menggembirakan. *senyum*

Masa untuk melakar kisah manis sendiri... Yeah!

Perkaitan entri dan tajuk? Biarkan... 
 


Cik Mata dan Cik Kelopak, sila stabilkan diri anda.


Sahabat, kawan, rakan, teman, taulan, adik, abang, kakak;

Selamat Maju Jaya! 

Allahumma Rabbuna yusahhil.... 


Wednesday, October 24, 2012

Sabar itu Syukur.

Petang agak kelat memancarkan sinar. Barangkali malu kerna hujan tiada bertamu di tengah hari. 

Bayu berpuput lesu. Mujur camar masih sudi berkicau, menghadirkan senyum di raut muka. Syukur.

Malam berlabuh bawa angin hangat mendesah. Aneh-aneh rasanya. 

Gusar bertandang. Apa khabar saudaraku di sana?

- teett - 

"Alhamdulillah masih diberi kekuatan. Bersyukur dengan ujian yang diberi."

- teett -

"Alhamdulillah," esak syukur tiada mampu diempang. Perlahan-lahan mengalir, hangat meratai pipi.


Sakit juga salah satu nikmat yang harus disyukuri.




ii -





Esoklah harinya. Khamis, 25 Oktober bersamaan 9 Zulhijah.

Apa lagi, ini tawaran istimewa. Terus daripada Tuhan!

^_^


TIGA

HARI ARAFAH

Sabda Nabi saw:

"Barangsiapa berpuasa pada hari Arafah kerana mengharapkan redha Allah,Allah akan menghapuskan dosa 1 tahun yang lalu dan 1 tahun yang akan datang"

>>Hadith riwayat Muslim<<

[2] Banyakkan baca:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحي ويميت
وهو على كل شىء قدير

[3]Perbanyakkan istighfar

[4]Baca Doa yang dibaca Nabi saw:


اللهم لك الحمد كالذي نقول وخير من ما نقول
اللهم لك صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي
وإليك مأبي ولك رب تراطي اللهم إني أعوذ بك
من عذاب القبر ووسوسة الصدر وشتات الأمر
اللهم إني أعوذ بك من شر ما تجى به الريح

[5]Banyak-banyak mohon apa-apa doa

<>Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll<>
DOA DAN HAJAT HARI ARAFAH

Sekadar berkongsi doa dan hajat yang telah diajarkan oleh Mutawwif kami ketika berwukuf di Padang Arafah beberapa tahun yang lalu antaranya:

1-Berdoa supaya diampunkan dosa-dosa kita dan ahli keluarga kita.

2-Mohon dimatikan dalam khusnul khatimah (sebaik-baik pengakhiran)

3-Mohon supaya diterima menjadi ahli syurga dan diselamatkan dari segala azab Allah.

4-Doa supaya diterima segala amalan kita.

5-Doa untuk seluruh muslimin dan muslimat

6-Doa supaya diperkenankan segala hajat kita dan sebutkan ia..

P/s:Jangan lupa masukkan para masyaikh dan saudara-saudara muslim kita yang sedang ditindas oleh musuh-musuh laknatullah ya dalam Doa kita untuk esok hari..barakallahu lakum..

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد
#kopiteh daripada Kakanda Insyirah Hafizah

Tuesday, September 11, 2012

Adik sayang, selamat-selamat.

Pesanan untuk anak-anak yang akan mengambil Peperiksaan UPSR.

Miliki redha ibu bapa. Caranya amat mudah. 

Jagalah hati ibu bapa.

Belajar bersungguh-sungguh itu sunnatullah untuk berjaya. Namun apa yang disimpan di dalam otak tidak semestinya mampu dikeluarkan ketika peperiksaan.

Ketika ibu bapa redha, Allah pasti akan redha. InshaAllah dimudahkan Allah ketika menjawab peperiksaan. Di masukkan cahaya terus ke dalam jiwa.

Maka jagalah sentiasa hati ibu bapa. 

Juga berusaha kerana berusaha adalah syariat yakni sunnatullah yang perlu dijalankan.

Kerja itu harus diiringi dengan redha.

****

Untuk saudara yang lain, saya belajar dan perhatikan tentang anak yang bagaimana disukai ibu bapa.

Ternyata bukan anak yang selalu beri duit atau selalu pulang menziarahi ibu bapa tetapi ternyata anak yang sentiasa membahagiakan yakni menjaga hati ibu bapa.

Seandainya beri duit setiap bulan atau selalu pulang menziarahi ibu bapa namun sering menyakiti hati ibu bapa, dia tetap anak yang tidak dapat membahagiakan hati ibu bapa.

Kuncinya… 

Redha ibu bapa. 

Lalu pasti miliki redha Allah.

Untuk memilikinya, senangkan hati ibu bapa. Bahagiakan mereka. Simpan ketidakpuasan hati terhadap ibu bapa. Mereka ibu bapa dan kita ini sekadar anak mereka sahaja.

Jika tidak tertahan ketidakpuasan hati itu…. 

MENGAPA TIDAK CAKAPKAN SAHAJA DENGAN ALLAH? 

Bukankah Allah lebih mengerti? Malah Allah yang memegang setiap jiwa kita. 

Berlatihlah agar mampu sentiasa berkomunikasi dengan Allah.

Fuad Latip
9 September 2012

Tersendiri



Kehadapan Tuan Yang Budiman,
Tunas mulai besar
menjadi pohon nan rendang
Anak burung mula berkicau
mengibas kepak melayarkan sayap.
Elok sejahtera ciptaan Yang Esa,
Cukup sifat kuat kudrat,
Pekerti dicanai
bentuk arca sahsiah terpuji.

Tuan,
Ranum kopi membangkit rasa
mengait fikir ke daerah itu.
Titi rasa nan goyah menggugah pasak di kalbu.

Memori tersingkap,
rangkai hikmah pendeta bersipongang:
Janganlah Engkau pejamkan mata hati kami,
hingga kami terlupa akan nikmat-Mu,
dan pasrahkanlah kami dengan takdirMu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan…
adalah yang terbaik buat kami,
jangan Engkau biarkan kami sendiri…
di dunia ini mahupun di akhirat nanti,
bimbinglah kami agar tetap tegar.
Agar hidup kami tak hilang dalam kehancuran,
Ya Allah Ya Ghaffur.
Benih-benih doa kutabur
Moga subur dalam siraman kudus
Menemani tuan menghadapi usia.

Tuan Yang Budiman,
Harum semerbak bunga melur
Indah jambangan hiasan melati;
Andai maaf dapat kuhulur
Kupohon maaf setulus hati.

Tuesday, August 28, 2012

Kasih

Hingga saat ini
Dikaulah telinga dan mulutku yang setia.

Tiada jemu mendengar
meski mulut sering meminta.
Tiada jemu memberi nasihat
walau terkadang lalai mendengar.

Kuhampar permaidani doa buatmu
mengiringi perjalanan di dunia ini
kala usia masih berbaki.

Tuhan, Dikaulah Pemberi Kurnia atas segala nikmat.


Monday, July 23, 2012

Yang dirindu.....

Ihsan PTS


Saya selaku wakil yang bersangkut paut dengan PTS turut mengucapkan salam Ramadan.
Semoga istiqamah dalam kebaikan.
Hati-hati menjaga hati.

#sukasukikejap# eheh.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Dah masuk hari ketiga Ramadan. 

Barakallahu fikum.

Thursday, June 14, 2012

Jun Yang Manis

Sudah empat tahun.

Jika kanak-kanak, sudah pandai berlari.
Ya, saya pun sudah mula berlari. Terkadang jatuh, lalu bangun semula.
Kehidupan manusia bukan selalu di atas. Hidup ini ibarat roda, berputar.
Pilihan di tangan individu, bagaimana cara yang diingini agar roda itu tidak tersasar.

Hidup penuh pilihan.

....................................................................................

Saya memilih untuk berada di sini, empat tahun yang lalu. Hingga kini. haha.

Saya tidak tahu bagaimana pembaca menilai hasil penulisan saya. Harap sudi beri respon ya. Saya amat hargai. Melalui respon yang diterima, moga-moga saya dapat memperbaiki kesilapan yang tidak disedari.

Hakikatnya, hanya beberapa kerat merupakan idea asal. Lain-lain, banyak dikopitehkan. haha.
Sedang cuba dan berusaha untuk mencanai idea sendiri untuk manfaat bersama.

Ilmu yang ada bukan milik persendirian, namun perlu dikongsi. Inilah konsep hidup bermasyarakat. *senyumlebar*

......................................................................................

Catatan awal dan catatan kini, ada beza, kot. Pendapat anda?

Monday, May 14, 2012

Izinkanku mengutip semangat

 I

Mei. Bulan yang sarat dengan pelbagai sambutan. 

Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Ibu,  Hari Guru dan pelbagai jenis hari lagi. fuh.

Juga, hari peperiksaan. Ahah. 

Lazimnya, hujung penggal pertama - juga penggal kedua, saban tahun, di mana-mana akan ada entri atau status berkaitan peperiksaan. Tak kira di mana sekalipun seseorang itu belajar; dalam negara, luar negara, dalam negeri, luar negeri, dalam tanah (?!).

Peperiksaan ini, peperiksaan bertulis - menilai tahap keupayaan seseorang dalam memahami sesuatu perkara yang dipelajari. Ini adalah dasar  penilaian yang digunakan oleh kebanyakan institusi pendidikan di seluruh dunia. Peperiksaan bertulis.

Hakikatnya, kehidupan juga merupakan satu medan peperiksaan. Setiap saat, langkah dan niat, punya pelbagai cabang untuk dipilih. Setiap pilihan yang dilakukan, mengukur tahap keupayaan diri untuk menimbangtara sesuatu perkara. Kelak, keputusan diterima saat Hari Kebangkitan.

Sedangkan saat menunggu keputusan peperiksaan bertulis sudah rasa cuak, bagaimana pula saat menerima keputusan yang hakiki daripada Ilahi?

 Ayuh bersedia! 


II

Bingkisan daripada mama seorang teman. Indah. 

Kata teman, kuhidangkan bingkisan ini agar intipatinya mampu dinikmati bersama. Perkara baik perlu dikongsi. 

Saya senyum sendiri. [Untung kau, Haniff!]

Pada mama 20 tahun yang abang lalui adalah keindahan buat mama. Kelahiran abang dan adik-adik adalah kurniaan yang tak terhingga.

Alhamdulillah,  mama terus belajar bersyukur di atas setiap pemberian-Nya. Ingat sayang, setiap inci penyesalan adalah kerinduan pada suatu kejayaan, kerna apa yg kita tinggalkan adalah kenangan dan usah ditinjau andai membuku keresahan. Biarkan ia terus berlalu mencatat zaman. Pasti ada hikmah yang Allah sisipkan.

Sememangnya tika maya semakin rencam berencana penghuni kerap hilang wacana. Tarian kita bukan lagi gemalai rentaknya tapi bersama gendang peniup tekad dan semangat juang. Kembalinya nanti dari rantauan adalah kudup-kudup yang kan terus berkembang menyeri taman-taman nusa. InsyaAllah. 


III

Jujur, saat begini kubutuh nenda di sisi. 

Entah mengapa, nenda punya pengaruh besar dalam hidup. Butir bicara yang terlantun daripada bibirnya, penuh hikmah. Hikmah. Sesuatu yang amat berharga. Walhal perkara itu sering diulang-ulang, di meja makan, di perkebunan, hatta ketika menonton peti kaca.

"Atok, boleh akak duduk dengan atok je? Setiap masa?"

*dush* -sila kembali ke alam nyata-


IV

Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
[73:20]

 

Wednesday, May 2, 2012

Periuk Tanah

Cahaya bulan samar-samar melimpah ke dalam ruang kecil itu. Stor kecil mulai terang dalam balam cahaya rembulan. Kelihatan sepasang tangan menguis-nguis dari tepi pintu, mencari sesuatu. Debu tanah mulai berterbangan, memenuhi sudut sempit itu. Batuk kecil memecah kesunyian malam. Sesekali bunyi bersin pula kedengaran.

Mak Kiah kehairanan. Pintu dan tingkap sudah ditutup rapat. Bayu pula sepoi-sepoi bahasa. Setahunya, Pak Sudin keluar kota untuk beberapa ketika. Khali. Mak Kiah duduk di tepi katil, meneliti bunyi yang mengusik gegendang telinganya.

***

"Gendang gendut, tali kecapi.
Kenyang perut hai suka hati.
Mata berselirat dari pagi.
Baca dah penat rebuslah nota ini. Ohoi..."

Zaki menari-nari sambil menatang periuk tanah yang baru diambil dari stor. Ke kanan ke kiri sambil berpusing-pusing. Mulutnya pula terus bersiul, menyanyikan lagu empat kerat ciptaan sendiri. Paip dibuka deras, sambil melalukan periuk tanah yang sedikit berdebu. Diberus bahagian dalam periuk yang sedikit usang, setelah dua biji limau diperah ke dalamnya. 

"Buat apa susahkan diri Zaki. Mujur aku jumpa kau periuk tanah," ujar Zaki sedikit berbisik.  Riak mukanya puas. Zaki tersengih sendiri.

Dapur mula berasap. Membawa hangat kala dingin malam. Periuk tanah yang berisi air separuh penuh, mula ditenggekkan di atas api. Beberapa daun pandan yang sudah disimpul, dicampak masuk ke dalam periuk. Zaki tekun menanti, sabar.

Saat tekun, sabar menanti, Zaki mula membayangkan hasil rebusannya itu. Dia tersengih lagi. Tangan yang menopang kepala, mulai lemah. Perlahan-lahan, Zaki menyandar lelah di tepi meja. 

***

Mak Kiah mengatur langkah, penuh cermat menuju ke ruang dapur. Dia terkejut.

"Apa yang Zaki buat tengah-tengah malam begini? Selalunya liat benar hendak ke dapur," getus hati kecil Mak Kiah, curiga.

Anak bujangnya sudah lena di tepi meja. Letih barangkali. Seharian di bilik, menekuni helaian kertas yang berselerak. Katanya, ada ujian. Keluar hanya apabila lapar ataupun haus. Menolongnya menguruskan rumah, jauh panggang dari api.

Mak Kiah meninjau periuk tanah yang bertenggek di atas dapur. Sekali lagi Mak Kiah kehairanan. Kertas?

***
"Zaki! Siapa yang ajar kamu rebus segala nota-nota ini? Kamu sudah kebuluran sangat ke?" sergah Mak Kiah.

Zaki terpisat-pisat lalu mengangkat kepalanya. Alangkah terkejutnya dia kerana sesusuk tubuh di hadapannya itu telah mengetahui perancangannya. Zaki resah.

"Aduh, habislah aku. Mak sudah tahu," getus Zaki di dalam hati.

"Err, emak. Ini bahan eksperimen Zaki. Sengaja Zaki merebusnya malam ini. Pagi esok Zaki boleh meneruskan ujikaji seterusnya. Mudah sikit urusan," dia mula mencari helah.

"Kamu fikir emak tak tahu niat sebenar kamu? Kamu hendak minum air rebusan nota ini, kan? Alahai Zaki, anak bertuah. Sudah besar panjang namun bertindak seperti budak-budak. Kamu percaya kata-kata Doraemon dan Nobita ini? Mujurlah roti imbasan itu tidak wujud. Jika tidak, pasti kamu memborongnya hingga penuh dapur ini. Sudahlah, usah diteruskan kerja yang sia-sia ini. Masuk tidur, esok bangun awal. Boleh kamu meneruskan ulangkaji," ujar Mak Kiah panjang lebar.

"Eh, mak pun tahu tentang roti imbasan? Mana aci begini. Mak pun tengok Doraemon rupanya. Haih. Tak menjadi lagi," Zaki mengeluh kesal. Riak muka ceria menjadi muram. Hampa.

Api dapur ditutup. Periuk tanah dibersihkan. Helaian nota yang masih nyata tulisan, digantung di bawah kipas, dengan harapan akan kering dan mampu dibaca.

"Apalah nasib diri. Hajat dihati tak kesampaian. Manalah tahu air rebusan itu dapat membantu aku semasa ujian. Alahai emak....," Zaki merungut sendiri. Lambat dia mengatur langkah menuju ke bilik.

"Ya, aku perlu berehat. Moga bermimpikan jawapan ujian esok," bisiknya berbaur harap. Lena.




....................................................................................................................................




Kehidupan sebagai seorang pelajar, pasti tidak asing dengan angan dan harapan.

Mengharapkan skema jawapan.
Spot.
Mimpi soalan ujian mahupun jawapannya.

Khususnya saat peperiksaan atau ujian menjelang.

Sebenarnya, di mana pati ilmu itu? 

Hanya pada helaian soalan dan jawapan peperiksaan?

Atau,
pada pemahaman serta kesan ilmu terhadap penuntut ilmu?

Saya juga tak terlepas daripada norma sebegini. 
Mengharapkan sesuatu yang sedemikian agar mudah urusan pada hari ujian.
Namun, sampai bila ya?


Exam-oriented!


***


Selamat berjuang semua! All the best.

Man jadda wa jada.

Saturday, November 26, 2011

Salam 1433 Hijrah!


 Transformasi diri dan iman ke arah yang lebih baik. 
Biar sedikit namun istiqamah.


Ayuh mulakan langkah baharu, 
agar setiap derap langkah membawa ke jalan yang diredhai Ilahi.

Salam Ma'al Hijrah 1433!


* Ini gambar Ustaz Azman. ^_^

Sunday, May 8, 2011

Kerna Dirimu Sungguh Bermakna

Ibu, Bonda, Emak, Mama, Mummy, Ummi.

Ini panggilan mesra, pengikat hati antara anak dan juga insan mulia yang digelar ibu. Zaman kini, tiada insan yang dilahirkan tanpa seorang ibu. Ibu merupakan watak utama dalam kehidupan seorang anak. Peribadi seorang anak banyak dipengaruhi oleh didikan ibu kerana banyak masa dihabiskan bersama-sama.

........Hari Ibu, Mother's Day.... 

Saya kurang gemar untuk meraikan ibu pada hari yang khusus sebegini. Pada pendapat saya, setiap hari, hari yang istimewa untuk ibu. Saya lebih gemar meraikan ibu pada ulangtahun kelahirannya atau ulangtahun perkahwinan. Namun, semuanya bergantung kepada individu.

Saya gunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka yang bergelar ibu dan guru. Terima kasih atas jasa dan kasih yang kalian curahkan. Hanya doa yang mampu diberikan, Allah jua yang layak membalas jasa kalian.

Inilah hal yang saya suka berkaitan Hari Ibu, saya punya peluang untuk menganggap mereka, para ibu dan guru-guru, sebagai ibu saya. Saya sayang mereka!

Pastinya kasih yang tak berbelah bagi ini tetap kepada insan yang kukasihi dan kuhormati, Ibu.


Kasih Ibu hingga ke syurga....