Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Friday, October 5, 2012

# Anatomi Hati

Kalaulah kita tahu di mana hati sebenar hati, tentu akan ada kajian histologi, pathologi, tentang hasrat dan niat.

Tentu akan terbongkar ikhlas tidaknya persahabatan. Tentu pasangan ingin berumahtangga boleh menguji sejauhmana cinta. Tentu tersebar siapa munafiq, kuffar, dan fasiq. Hanya perlu ke klinik ambil ujian.

Begitu indahnya Tuhan mengaturkan; kita tidak tahu, hari ini, dan sepanjang zaman.

Tinggal kita mengukurtimbang hati sendiri.

- Dr. Haniff

___________________________________

 Saat dilupakan. Terjelepok.

Monday, September 17, 2012

Che(ri)ta

i.

Sesekali teringat, tangan menaip. #eh....

----------------------------------------------------

Kata orang tua-tua, 
sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Kalau direnung-renung (baca: ingat) kembali pepatah pepitih yang pernah dipelajari semasa di bangku sekolah satu ketika dahulu, otak ligat mencari satu kesimpulan hasil pemerhatian. Ternyata mereka berpandangan jauh. Ya, tidak simplistik. Ah, bukan lipstik tetapi simplistik.

Setiap pepatah pepitih, peribahasa, simpulan bahasa, bidalan dan yang serumpun dengannya, pasti sarat dengan makna tersirat. Halus. Indah.

Kadangkala, tak tercapai dek akal akan maksud disebalik kata-kata yang diucapkan oleh mereka, orang tua-tua ini. Hingga dalam perbualan seharian, kehalusan berbahasa masih santun terjaga walaupun hakikatnya mereka tengah 'huhahuha' (baca:ngobrol) sesama rakan. 

Beruntung sesiapa yang berpeluang membesar dalam suasana sebegini; bermesra dengan warga emas, orang dewasa yang santun berbahasa, berfikiran jauh dan sering berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara. Malah, orang muda ini pasti membesar dan kaya dengan pengalaman yang dititipkan oleh mereka yang lebih makan garam akan rencah kehidupan.

Sekarang ini, mereka, warga emas juga orang dewasa ini, turut digelar sebagai generasi WX, amat memerlukan kita, orang muda, generasi YZ. Terlalu banyak yang ingin mereka titipkan, umpama empangan yang menanti masa untuk melimpah.

Jadi, di mana generasi YZ? Generasi WX mencarimu.

#Santuni warga tua, sayangi orang muda.

ii.

Banyak cara untuk memaknakan cuti. Cuti yang lalu bagaimana?

Wednesday, July 25, 2012

Selagi Ibu Masih Di Sisi

Hari itu, perasaan saya seperti orang yang ditimpa batu yang berduri. Semuanya berpunca hanya daripada sekeping surat. Sekeping surat yang masih ada di tangan saya. Sekiranya sahaja saya tahu perkara itu, pasti saya tidak mahu terbabit langsung, walaupun cuma sehujung kuku.

Hadiah. 

Hari itu, adalah seperti hari-hari biasa saya. Saya duduk di kedai makan, sambil menghirup kopi susu, sambil itu juga saya menyelak akhbar. Dan seperti biasa juga, pasti ada rakan kuliah yang menyertai saya, dan pada hari itu, pasti sudah takdir Tuhan, rakan saya yang seorang ini menyertai saya. 

Dengan dia, saya cuma kenal nama. Namanya Jamal. Bin apa saya tidak tahu, lalu apatah lagi hal-hal lain, selain saya tahu dia adalah rakan kuliah saya yang sering duduk satu barisan dengan saya, tetapi tidak pernah duduk sebelah-menyebelah. 

Biasanya, kami tidak berbual secara langsung dan perlu orang ketiga barulah kami berbual, dan takdir Tuhan, hari itu tidak ada orang ketiga, dan perbualan saya dan dia terus mengalir. Ternyata, dia seorang yang tahu apa yang mahu dibualkan. Cuma tidaklah hal berat-berat selain hal pelajaran dan hal minat masing-masing. 

“Jamal, kamu kata, kamu minat menulis. Cuba kamu masuk peraduan ini,” kata saya lalu menghulurkan akhbar kepada dia. 

Dia membaca sepintas lalu sebelum menyerahkan kembali kepada saya. 

Dia tersenyum. 

“Aku tidak minat masuk peraduan.” 

“Bukannya kamu perlu bayar, malah sekiranya kamu menang, kamu pula yang dibayar. Kamukan mengaku penulis.” Saya masih memujuk. 

Dia tersenyum lagi. 

“Penulis itu ada berjenis-jenis. Aku pun termasuk yang berjenis-jenis itu. Aku jenis penulis yang, malas mahu menghantar karya ke media. Sangat malas dan aku tidak tahu mengapa. Termasuklah pertandingan. Cuma aku sangat rajin menulis. Lagipula, untuk apa menghantar ke media dan masuk peraduan, sekiranya falsafah penulisan aku berbeza dengan editor majalah ataupun juri pertandingan? Bukankah ia sia-sia?” 

Sempat juga dua hirup kopi masuk ke perut saya, sebelum saya ada idea bagi membalas hujahnya itu. 

“Tetapi, ini pertandingan yang sangat mudah, hanya tulis sepucuk surat kepada ibu. Takkan falsafah penulisan kita berkenaan ibu itu berbeza?” soal saya, dan dia lagi lagi hanya tersenyum. Cuma kali ini dia tidak lagi memberi hujah. 

Lalu saya terus berusaha. 

“Begini sahajalah, kamu tulis dan aku hantar. Kamu jangan risau. Semuanya percuma.” 

Saya tidak tahu mengapa, atas sebab apa dia akhirnya setuju. Adakah kerana dia mahu menjaga hati saya yang sangat bersungguh-sungguh, ataupun kerana tertarik dengan tawaran, yang dia tidak perlu menghantar sendiri. Akhirnya, tulisan dia siap dan saya pun terus menghantarnya ke peraduan itu tanpa membuka lipatannya, dan tanpa membacanya. Yang pasti, saya tahu ia sudah takdir Tuhan. 

Surat. 

Sebenarnya saya sudah lupa akan perkara itu, sehinggalah pada suatu hari Jamal datang berjumpa saya dengan wajah yang tidak tersenyum. 

“Saya menang peraduan itu,” kata Jamal perlahan, dan saya terus melompat-lompat gembira. Bertubi-tubi ucapan tahniah saya berikan kepada dia sebelum dia berkata, “Jujur dengan aku, kamu pernah baca tulisan aku ataupun tidak?” 

Saya tergamam. Soalan itu membuatkan saya tidak mampu menjawab lain selain tersengih dan berkata, “Maaf, Jamal. Aku memang belum baca.” 

“Jadi, kamu bacalah.” 

Sambil tersenyum lemah dia menghulurkan tulisan yang sudah memenangkan dia itu.


Untuk ibu, 

Untuk surat ini, saya cuma mahu menuliskan rasa rindu saya kepada ibu, saya cuma mahu mencuba menzahirkan kasih saya kepada ibu, dan saya cuma mahu menumpahkan kekesalan saya kerana surat ini tidak akan saya hantarkan kepada ibu. 

Ibu, saya rindu kepada diamnya diri ibu. Ibu tidak banyak bicara tetapi ibu tekun memerhati. Saya tahu, semasa saya turun dari tangga, ibu sudah berdiri di muka pintu memerhati saya, dan pada ketika bayang saya sudah hilang, ibu masih tetap berdiri di situ seperti saya masih ada pada mata ibu. 

Saya juga tahu, pada waktu saya sudah lena, ibu diam-diam masuk ke bilik dan memerhati wajah saya. Saya tahu, pada setiap ketika, pada ketika saya sedang memanjat rambutan di hadapan rumah, pada ketika saya bermain bola di halaman rumah, dan malah pada ketika saya sudah duduk jauh dari ibu, ibu masih tekun memerhatikan foto saya, ibu masih setia memerhatikan baju-baju saya, ibu masih tekun memerhatikan tempat tidur saya, dan saya tahu ibu masih tidak jemu memerhatikan bayang-bayang saya di muka pintu. 

Maafkan saya ibu, kerana selama ini saya hanya berkata, “Ibu jangalah tengok saya tidur, malu saya.” Maafkan saya ibu kerana saya berkata, “Ibu asyik tengok saya main bola, malu saya dengan kawan.” Maafkan saya ibu, maafkan saya. 

Maafkan saya ibu kerana selama ini saya tidak pernah memerhatikan ibu di muka pintu, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang mencari rezeki untuk saya, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang sedang tidur, saya tidak pernah memerhatikan ibu semasa ibu sedang berdoa untuk saya. Saya langsung tidak pernah mahu memerhatikan ibu. Saya cuma melihat tetapi tidak pernah memerhati dengan hati. 

Maafkan saya ibu, kerana saya cuma memerhatikan ibu semasa sudah dikafankan. Maafkan saya ibu kerana hanya memerhatikan ibu semasa diturunkan ke liang lahad. Maafkan saya ibu. 

Ibu, saya rindu kepada ibu. Sekarang, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya di muka pintu, tidak ada lagi insan yang memertikan tidur saya, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya dalam doa dan hatinya seperti yang ibu lakukan. 

Ya, Allah ampunilah dosa ibu aku, ya Allah. Tempatkanlah dia bersama dengan orang yang beriman. Ampunkan saya, ibu. Ampunkan saya. 

Yang tidak sempat memerhatikanmu, 
Anakmu. 


Usai membaca surat itu, saya tersentak. Sepertinya ada sesuatu di balik mata saya yang mahu keluar. Saya tahan dan cuba tahan. 

Namun itu bukanlah akhirnya kerana Jamal menghulurkan saya satu sampul surat. 

“Ambillah hadiah kemenangan ini. Untuk awak.” 

Segera saya tolak. Itu bukan hak saya dan atas alasan apapun saya tidak berhak untuk hadiah itu, sehinggalah Jamal sekali lagi berkata. 

“Hadiah peraduan ini, adalah melancong bersama dengan ibu. Aku sudah tidak punyai ibu. Kamu pula masih ada ibu yang memerhatikan kamu setiap hari. Jadi, anggaplah hadiah saya ini adalah hadiah untuk ibu yang tidak sempat saya bahagiakan. Jagalah ibu kamu baik-baik. Janganlah hanya melihat , tetapi cuba perhatikan ibu kamu, kerana pada kata melihat itu hanya ada 'lihat', tetapi pada kata perhati itu ada 'hati'. Perhatikanlah ibu kamu dengan hati kamu selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti saya, yang hanya mampu memandang dan memerhati nisannya.” 

Mendengarkan sahaja duduk hal sebenar, rasa bersalah terus sahaja menyerang hati saya. Sekiranya saya tahu Jamal sudah tidak ada ibu, pasti saya tidak begini. Tetapi saya tahu seperkara, pasti ini atas takdir Tuhan juga. Dan apa yang ada di balik mata saya itu pun keluar juga.
 
.....................................................................................................
 
Sentuhan hati: Tuan Bahruddin Bekri

Wednesday, May 2, 2012

Periuk Tanah

Cahaya bulan samar-samar melimpah ke dalam ruang kecil itu. Stor kecil mulai terang dalam balam cahaya rembulan. Kelihatan sepasang tangan menguis-nguis dari tepi pintu, mencari sesuatu. Debu tanah mulai berterbangan, memenuhi sudut sempit itu. Batuk kecil memecah kesunyian malam. Sesekali bunyi bersin pula kedengaran.

Mak Kiah kehairanan. Pintu dan tingkap sudah ditutup rapat. Bayu pula sepoi-sepoi bahasa. Setahunya, Pak Sudin keluar kota untuk beberapa ketika. Khali. Mak Kiah duduk di tepi katil, meneliti bunyi yang mengusik gegendang telinganya.

***

"Gendang gendut, tali kecapi.
Kenyang perut hai suka hati.
Mata berselirat dari pagi.
Baca dah penat rebuslah nota ini. Ohoi..."

Zaki menari-nari sambil menatang periuk tanah yang baru diambil dari stor. Ke kanan ke kiri sambil berpusing-pusing. Mulutnya pula terus bersiul, menyanyikan lagu empat kerat ciptaan sendiri. Paip dibuka deras, sambil melalukan periuk tanah yang sedikit berdebu. Diberus bahagian dalam periuk yang sedikit usang, setelah dua biji limau diperah ke dalamnya. 

"Buat apa susahkan diri Zaki. Mujur aku jumpa kau periuk tanah," ujar Zaki sedikit berbisik.  Riak mukanya puas. Zaki tersengih sendiri.

Dapur mula berasap. Membawa hangat kala dingin malam. Periuk tanah yang berisi air separuh penuh, mula ditenggekkan di atas api. Beberapa daun pandan yang sudah disimpul, dicampak masuk ke dalam periuk. Zaki tekun menanti, sabar.

Saat tekun, sabar menanti, Zaki mula membayangkan hasil rebusannya itu. Dia tersengih lagi. Tangan yang menopang kepala, mulai lemah. Perlahan-lahan, Zaki menyandar lelah di tepi meja. 

***

Mak Kiah mengatur langkah, penuh cermat menuju ke ruang dapur. Dia terkejut.

"Apa yang Zaki buat tengah-tengah malam begini? Selalunya liat benar hendak ke dapur," getus hati kecil Mak Kiah, curiga.

Anak bujangnya sudah lena di tepi meja. Letih barangkali. Seharian di bilik, menekuni helaian kertas yang berselerak. Katanya, ada ujian. Keluar hanya apabila lapar ataupun haus. Menolongnya menguruskan rumah, jauh panggang dari api.

Mak Kiah meninjau periuk tanah yang bertenggek di atas dapur. Sekali lagi Mak Kiah kehairanan. Kertas?

***
"Zaki! Siapa yang ajar kamu rebus segala nota-nota ini? Kamu sudah kebuluran sangat ke?" sergah Mak Kiah.

Zaki terpisat-pisat lalu mengangkat kepalanya. Alangkah terkejutnya dia kerana sesusuk tubuh di hadapannya itu telah mengetahui perancangannya. Zaki resah.

"Aduh, habislah aku. Mak sudah tahu," getus Zaki di dalam hati.

"Err, emak. Ini bahan eksperimen Zaki. Sengaja Zaki merebusnya malam ini. Pagi esok Zaki boleh meneruskan ujikaji seterusnya. Mudah sikit urusan," dia mula mencari helah.

"Kamu fikir emak tak tahu niat sebenar kamu? Kamu hendak minum air rebusan nota ini, kan? Alahai Zaki, anak bertuah. Sudah besar panjang namun bertindak seperti budak-budak. Kamu percaya kata-kata Doraemon dan Nobita ini? Mujurlah roti imbasan itu tidak wujud. Jika tidak, pasti kamu memborongnya hingga penuh dapur ini. Sudahlah, usah diteruskan kerja yang sia-sia ini. Masuk tidur, esok bangun awal. Boleh kamu meneruskan ulangkaji," ujar Mak Kiah panjang lebar.

"Eh, mak pun tahu tentang roti imbasan? Mana aci begini. Mak pun tengok Doraemon rupanya. Haih. Tak menjadi lagi," Zaki mengeluh kesal. Riak muka ceria menjadi muram. Hampa.

Api dapur ditutup. Periuk tanah dibersihkan. Helaian nota yang masih nyata tulisan, digantung di bawah kipas, dengan harapan akan kering dan mampu dibaca.

"Apalah nasib diri. Hajat dihati tak kesampaian. Manalah tahu air rebusan itu dapat membantu aku semasa ujian. Alahai emak....," Zaki merungut sendiri. Lambat dia mengatur langkah menuju ke bilik.

"Ya, aku perlu berehat. Moga bermimpikan jawapan ujian esok," bisiknya berbaur harap. Lena.




....................................................................................................................................




Kehidupan sebagai seorang pelajar, pasti tidak asing dengan angan dan harapan.

Mengharapkan skema jawapan.
Spot.
Mimpi soalan ujian mahupun jawapannya.

Khususnya saat peperiksaan atau ujian menjelang.

Sebenarnya, di mana pati ilmu itu? 

Hanya pada helaian soalan dan jawapan peperiksaan?

Atau,
pada pemahaman serta kesan ilmu terhadap penuntut ilmu?

Saya juga tak terlepas daripada norma sebegini. 
Mengharapkan sesuatu yang sedemikian agar mudah urusan pada hari ujian.
Namun, sampai bila ya?


Exam-oriented!


***


Selamat berjuang semua! All the best.

Man jadda wa jada.

Sunday, April 22, 2012

Kisah Manis Hati Anakanda

Mata Amira sudah merah, dan ada surat di tangannya. Entah beberapa kali Amira membaca surat itu, tetapi setiap kali membacanya, pada setiap kali itu juga hati Amira umpama dirayapi semut merah yang bisa.

Amira sekali lagi membaca surat di tangannya.

Assalamualaikum,

Apa khabar anakanda di sana? Ayah doakan semoga anakanda ceria semasa membaca surat ini. Maafkan ayah kerana masih ketinggalan zaman. Perkara yang sepatutnya diberikan melalui e-mel, ayah hantarkan melalui surat. Salah ayah juga kerana tidak bertanya e-mel baru anakanda.

Ringkaslah ceritanya, ayah sudah tahu kisah anakanda daripada bonda. Kisah manis hati anakanda. Namun janganlah anakanda khuatir sehingga surat ayah ini anakanda berhenti baca, kerana ayahanda bukanlah mahu marah, bukan juga mahu mengarah-ngarah anakanda yang sudah dewasa, melainkan ayah cuma mahu bercerita kepada anakanda berkenaan apa dalam hati ayah ini.

Ayah yakin dan sangat percaya, anakanda adalah anak yang solehah, yang taat kepada agama. Namun pada usia anakanda, ayah juga tahu suatu perkara, anakanda dalam diam sedang berperang dengan perasaan di dalam dada.

Ayah khuatir betul dengan perkara yang namanya cinta. Walaupun sudah ayahanda jelaskan, dan walaupun puas bonda terangkan kepada anakanda berkenaan cinta, pasti ada ketika hati anakanda terdetik juga mahu mencuba apa rasanya cinta, dan ayah tahu sudahlah datang waktu itu kepada anakanda.

Janganlah salahkan bonda kerana memberitahu ayah, tetapi ayah jugalah yang salah kerana setiap hari ayah bertanya tentang kamu daripada bonda. Bonda kamu itu sangat taat kepada ayah, dan tidak mungkinlah dia mampu merahsiakan sesuatu pun daripada ayah.

Ingat lagi ayah, pada ketika anakanda baru empat tahun dan anakanda mahu membeli belon warna merah. Ayah belikan dan anakanda sangat gembira. Anakanda terus berlari-lari dengan belon merah di tangan sambil ketawa riang. Malangnya, belon anakanda pecah tergeser daun lalang. Anakanda menangis, dan ayah sekuat hati memujuk anakanda dan waktu itu walaupun anakanda sangat kecewa, marah dan sedih tetapi tetap juga anakanda terpujuk dengan kata-kata ayah. Terpujuk apabila ayah mengangkat anakanda tinggi dan meletak anakanda pada bahu ayah. Anakanda gembira, dan tangisan pun mereda.

Namun kini, apa yang ayah takutkan semasa anakanda umur empat tahun, terjadi lagi. Bukan lagi belon yang pecah tetapi akankah hati anakanda yang pecah? Itulah yang ayah khuatirkan tentang anakanda, pada ketika umur anakanda sudah tidak memungkin ayah meletak anakanda pada bahu ayah, itu juga bermakna anakanda tidak mungkin lagi terpujuk.

Itulah cinta sebelum nikah, ia seperti belon merah yang anakanda inginkan semasa kecil. Ia lembut, ia menggoda dan ia nampak manis. Namun hakikatnya, ia sangat nipis, dan banyak perkara mampu membuatnya pecah pada ketika anakanda membawanya berjalan di jalan penuh lalang.

Ayah, berharap tahan-tahan dahulu perasaan kamu itu. Jangan ditunjuk kepada si lelaki sehingga anakanda terlihat murah. Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa.

Banyakkan ingat Allah sayang. Banyakkan menyebut namanya. Berzikirlah, bertahmidlah, bertasbihlah dan bertakbirlah. Banyakkan membaca ayat-ayat-Nya. Kerana hanya kepada Dia anakanda dapat bergantung dengan sepenuh hati selepas ayah dan bonda jauh dari anakanda.

Janganlah pula anakanda menyangka ayah ini kolot orangnya sehingga tidak mahu anakanda bercinta. Tidak salah anakanda bercinta, cuma bagi setiap perkara akan ada masanya yang tepat. Seperti embun yang lembut, tidaklah ia turun ketika matahari sudah tegak di kepala, tidak juga turun pada ketika matahari condong ke barat, ia turun pada waktunya yang tepat, walaupun singkat tetapi itulah yang terindah untuknya.

Sedangkan embun di hujung daun pun punya waktu, apatah lagi cinta yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anakanda bertanya, bila waktu yang tepat untuk yang bernama cinta? Jawab ayah, pada ketika semuanya sudah bersedia.

Cinta itu anakanda, bukan sekadar hati yang bersedia menerima dan memberi tetapi, fikiran juga perlu bersedia, emosi perlu bersedia, fizikal perlu bersedia, dan paling utama, adakah pasangan anakanda itu juga sudah bersedia untuk semuanya? Bersedia menerima dan memberi? Pada ketika hanya hati yang bersedia, pada ketika itulah cinta itu umpama belon yang mudah pecah.

Pada ketika anakanda sudah tidak mampu menahan rasa hati, ingatlah anakanda ayah dan bonda di sini. Jaga air muka kami dengan menjaga air muka anaknda, jaga maruah kami dengan menjaga maruah anakanda, dan jaga akhirat kami dengan menjaga akhirat anakanda. Ingat jugalah, jodoh itu terkadang datang lebih awal daripada cinta.

Sekiranya anakanda berasa surat ayah ini sudah keterlaluan, ketahuilah, ayah memang keterlaluan dalam soal sayang dan kasih kepada anakanda. Sayang ayah dan bonda kepada anakanda, keterlaluan sepertinya matahari yang terik, bukannya seperti matahari pagi tidak juga seperti matahari senja.

Sekiranya keterlaluan sayang dan kasih itu salah untuk anakanda, maafkan ayah kerana ayah tidak mampu untuk mengurangkannya. Tidak mampu walaupun sekuman. Baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata dalam hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil.

Akhir kata, semoga anakanda sudah mengerti sedikit hati ayah. Tidak banyak, sedikit pun itu sudah membuat ayah tersenyum. Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah.

Salam sayang,
Ayah.

...............................................................................

Sentuhan hati : Bahruddin Bekri

Saturday, April 14, 2012

Lelaki-Lelaki dan Bengkel Besi

Dia bertanya, “Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?”

Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan termangu saya menjadi menungan yang panjang.

Lelaki dan bengkel besi

Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya. Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya, tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia bukan kata-kata untuk mengambil hati.

Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok, parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.

Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat, bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.

Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting besi.

Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia. Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh seorang lelaki tua.

Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.

Bapa saudara.


Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin, memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.

Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu, setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya. Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.

“Sampai bila kamu mahu membuat parang?” Itu soalan pertamanya kepada saya.

Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.

“Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?” Lelaki tua itu terus bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali merah.

“Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan pengalaman kerja kamu.”

Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi, bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.

Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!

Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu yang menyala di hadapan saya.

“Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini, tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma tidak dapat menerima ujian hidup.” Lelaki tua itu mula bersyarah, dan saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap bilah parang daripada tangan saya.

“Mengapa kamu diam?” Lelaki tua itu mula keras suaranya.

“Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu,” jawab saya untuk pertama kalinya.

“Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan, luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!” bidas lelaki tua itu.

Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang dan diam.

“Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?” soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.

“Kata Imam Ghazali, “Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah jarang betul saya melihat kamu solat.”

“Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu,” bidas saya geram dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..

“Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian. Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran, gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada kegagalan,” terang lelaki tua itu.

“Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal,” hujah saya.

“Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya 'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi, tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah kamu kepada kamu!”

Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.

“Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?” soal dia lagi.

“Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan berjumpa dengan lebih banyak tangisan,” balas saya lalu tersenyum sinis.

“Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu, saya yakin kamu tidak akan lagi begini,” jelas dia.

Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.

“Rasulullah pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Seperti besi yang kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih? Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa menjadi sesuatu yang berguna.”

“Apa kena-mengena dengan saya?” soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.

“Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api. Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur, sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik. Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya.”

Saya pantas berkata, “Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?”

“Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya, dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredai Allah.”

Saya terdiam dan dia menyambung lagi,

“Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap kesempatan.  Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini.”

Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang panjang.


..........................................................................................................


-Titipan Tuan Bahruddin Bekri

Tuesday, June 22, 2010

"Sebagai manusia, aku sayang kepadamu"

"Sinetron Sunan Gunung Jati?" bisikku sendirian tatkala menonton televisyen petang Ahad yang lalu. Persis novel-novel Ramlee Awang Murshid pula. Ku tertawa sendiri.

Sudah lama saya tidak meluangkan masa, menonton televisyen secara tekun. Sinetron pada petang itu menggamit hati, mudah-mudahan tidak menonjolkan unsur yang bertentangan dengan syariah seperti sinetron sebelum ni. Jelak menontonnya.

Ternyata tajuk kali ini tidak mengecewakan. Persis benar dengan karya Ramlee Awang Murshid, novelis thriller yang terkenal. Cuma ada beberapa adegan yang saya kira kurang sesuai.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai sinetron ini. Sesiapa yang berminat untuk menontonnya, boleh klik pautan di atas.

Saya lebih berminat dengan ini, kenal?


Ya, Ramlee Awang Murshid(RAM). Beliau merupakan novelis thriller yang terkenal.




Saya mengimpikan novel-novel ini berada di kutub khanah saya. Bila ya waktunya? Tiga daripadanya telah saya habisi. Oh Hijab Sang Pencinta, saya menanti waktu untuk membacamu.

Ternyata cerita yang digarap oleh RAM  tidak mengecewakan. Indah diadun fantasi, mistik, serta aspek Islami. Ingin tahu lebih lanjut? Anda perlu menghayatinya sendiri.

Novel-novel  ini berada dalam 'wishlist' saya. Menanti masa untuk dituai.
Oh, tidak sabar rasanya.

"Sebagai manusia, aku sayang kepadamu" - Laksamana Sunan